Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi. Kini sudah hampir sebulan perintah berkurung ini berjalan dan menurut pakar, ia mungkin tidak akan berakhir 28 April ini. Banyak rungutan yang kita dengar apabila tempoh PKP ini dilanjutkan. Anak terpisah dengan ibu, suami terpisah dengan isteri, serta anak-anak yang terperangkap di asrama masing-masing. Pelbagai kisah sedih yang kita dengar, namun perintah ini harus dipatuhi demi kebaikan semua.
Bagi mereka yang bersama keluarga sepanjang PKP ini berlangsung, kebosanan sedikit sebanyak dapat dihilangkan dengan interaksi bersama keluarga. Mungkin sebelum ini masing-masing sibuk dengan kerjaya, masa yang terluang ini boleh diambil untuk mengeretkan kembali hubungan dengan melakukan aktiviti bersama. Namun, bagi mereka yang tinggal berseorangan, bagaimana mereka menghadapi PKP ini dengan terkurung di apartment atau bilik asrama seorang diri?
Sebagai seorang manusia, sekalipun kita merupakan seorang yang pemalu atau introvert, interaksi dengan manusia lain adalah satu keperluan dalam hidup. Tanpa interaksi ini dalam satu tempoh yang lama, seseorang itu boleh merasa tertekan dan ini boleh memberi impak negatif kepada kesihatan fizikal dan mental. Perkara ini mungkin lebih dirasai oleh seorang yang biasa keluar rumah, bertemu ramai orang dan bergerak aktif.
Bagaimana seseorang boleh mengurangkan tekanan ini apabila terpaksa tinggal seorang diri sepanjang tempoh PKP ini berlangsung? Apa yang patut dilakukan agar tekanan ini tidak menjadi serius dan boleh menyebabkan keadaan yang lebih teruk?
Tentu sukar untuk merasa gembira apabila terpaksa tinggal seorang diri, jauh dari keluarga dan rakan, hendak keluar menikmati alam juga tidak boleh. Sebanyak mana pun rancangan menarik di Netflix, tidak mungkin kita boleh menghabiskan masa hanya dihadapan tv tanpa merasa bosan. Sehingga satu tahap, tiada satu rancangan pun yang menarik minat. Permainan game yang menyeronokkan pada hari biasa juga mungkin menjadi sesuatu yang tidak bermakna lagi. Jadi, kami bawakan tips buat anda menghadapi hari-hari PKP ini walaupun seorang diri.