Semenjak bilangan pesakit yang disahkan positif virus COVID-19 meningkat, pelbagai langkah dilaksanakan oleh semua pihak termasuklah kerajaan, pakar perubatan dan saintis serta masyarakat sendiri untuk mencegah penyebaran virus ini. Antara langkah yang memberi kesan terhadap setiap aspek sosial ialah Perintah Kawalan Pergerakan. Di Malaysia, kita mula diarahkan untuk menjalani perintah kawalan pergerakan ini semenjak 18 Mac 2020. Mulanya, tempoh ini ditetapkan selama 2 minggu namun atas sebab jumlah pesakit dan nyawa yang diragut penyakit berjangkit ini mula menggusarkan masyarakat tempoh tersebut dilanjutkan. Mengapa ia perlu dilaksanakan? Apakah signifikan tinggal dirumah selama dua minggu dan selanjutnya? Pihak perubatan dan saintis mendapati dengan melaksanakan perintah ini, masyarakat boleh memutuskan rangkaian penyakit benjangkit ini. Dalam tempoh ini, pesakit yang positif akan menunjukkan simptom dan akan disaring secara lanjut. Oleh sebab perintah kawalan ini juga, usaha agar pesakit positif ini dikenalpasti dan tidak menjangkiti pesakit lain kerana patuh dengan arahan perintah kawalan pergerakan.
Walaubagaimanapun, duduk di rumah sepanjang tempoh 2 minggu boleh menjadi cabaran kepada segelintir masyarakat lebih-lebih lagi bagi mereka yang aktif dan gemar bersosial bersama sahabat dan warga awam. Apabila tempoh 2 minggu hendak berakhir, tempoh perintah kawalan pergerakan dilanjutkan. Segelintir masyarakat mula terdesak dan cuba untuk melanggar peraturan dengan melepak di tempat awam tanpa menghiraukan risiko jangkitan. Ada yang bertegas untuk beriadah sehingga ditangkap oleh pihak berkuasa. Namun, bagi yang setia di rumah, ada yang mula mati kutu kerana tidak tahu untuk mengisi masa lapang ini dengan aktiviti sehingga mental dan fizikal mula terjejas. Sebenarnya terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilaksanakan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini untuk kekal sihat, selamat dan bertenaga. Artikel ini akan mengupas langkah-langkah untuk kekal sihat, selamat dan bertenaga sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan ini.
Tips untuk membentuk tubuh badan yang sihat bukanlah pertama kali dikupas dimana-mana artikel sebelum ini. Tiada jalan singkat untuk kekal sihat. Kuncinya adalah berdasarkan aktif beriadah dan mengamalkan pemakanan yang seimbang. Namun, bagaimana untuk kekal aktif beriadah jika kita diperlukan untuk tinggal dirumah sepanjang masa? Teknologi yang semakin berkembang ini tidak pernah melalaikan kita daripada melakukan aktiviti seperti bersenam dan beriadah. Mulakan carian dengan video zumba, senam aerobik, senaman jantung yang tidak memerlukan sebarang peralatan. Bagi mereka yang mempunyai alatan bersenam dirumah, inilah masanya untuk mengelap habuk dan memanfaatkan peralatan yang ada. Jika boleh, ajak pasangan anda dan anak-anak bersama-sama mengamalkan aktiviti bersenam ini. Ia bukan sahaja menyihatkan tubuh badan dan mental, namun merapatkan hubungan kekeluargaan. Jika dahulu kita sukar mencari masa untuk bersenam kerana sibuk bekerja, inilah masanya untuk menjalankan aktiviti sihat ini. Luangkan 30 minit atau sejam pada setiap hari. Badan sihat, otak akan mula cergas jika diamalkan aktiviti bersenam tanpa gagal. Dalam gembira-gembira bersenam bersama keluarga, jangan dilupakan aspek keselamatan sewaktu bersenam. Alihkan permaidani dan karpet yang boleh menyebabkan anda tergelincir sewaktu bersenam. Sediakan kotak rawatan “First Aid” kerana tidak rugi untuk sentiasa bersedia dalam menghadapi kecederaan. Jika posisi tarian zumba atau yoga melebihi jangkauan, tidak perlulah meneruskannya, teruskan dengan posisi yang tidak berisiko untuk memberi kecederaan kepada anda.
Memandangkan masa yang terluang amat panjang, isteri dan wanita mula menjadi kreatif memasak resepi yang memeriahkan skrin telefon bimbit melalui media sosial. Sementara itu, pilihlah resepi yang boleh menyihatkan tubuh badan. Pelbagaikan dan perbanyakkan penggunaan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam resepi yang dimasak. Tidak kira resepi yang anda cuba lakukan, namun, amalkan konsep suku-suku separuh yang boleh mengekalkan tubuh badan yang sihat. Pemakanan yang sihat bukan sahaja memberi fizikal yang cergas namun juga emosi yang stabil. Bukan sahaja bersenam, memasak bersama- sama juga boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan. Kebiasaannya pemakanan yang seimbang akan memenuhi zat besi dan vitamin yang diperlukan badan. Namun, jika anda masih lagi rasa tidak puas hati, tidak salah untuk mengambil supplemen seperti Vitamin C untuk mengekalkan sistem imun yang tinggi dan kekal bertenaga sepanjang wabak ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama melaksanakan aktiviti yang boleh mengekalkan tubuh sihat, selamat dan kekal bertenaga semasa tempoh kawalan ini.