Kebanjiran kes jangkitan COVID-19 baru-baru ini menyebabkan jentera perubatan tidak kiralah para saintis, pakar farmasi, doktor sehinggalah para pengendali makmal perubatan bertungkus lumus untuk mencari penawar serta kaedah terpantas untuk mengesan virus ini. Saban hari, kualiti kaedah pengesahan juga dipertingkatan bagi mempercepatkan proses mengenal pasti pesakit yang dijangkiti disamping mengoptimakan kecekapan rawatan. Oleh itu, terdapat pelbagai jenis ujian pengesahan yang boleh untuk digunakan dalam mengesan jangkitan virus ini.
Ketahui Jenis Dan Kaedah Ujian Pemeriksaan COVID-19 Yang Sering Dilakukan
Pendahuluan
Kaedah Reverse Transcriptase - Polymerase Chain Reaction (RT-PCR)
Kaedah ini sememangnya tidak asing dalam dunia perubatan dan ia mula ditemui serta dikembangkan oleh tokoh saintis bernama Kary Mullis sejak tahun 1983. Selain untuk mengenalpasti virus serta bakteria, ia juga digunakan meluas dalam bidang forensik serta pembangunan teknologi. Persoalannya, bagaimanakah proses pengesahan melalui kaedah ini berlaku ?
Secara dasarnya, teknik ini berupaya untuk membuat jutaan salinan Deoxyribonucleic Acid (DNA). DNA pula merupakan rantaian kod yang menyimpan maklumat genetik sesuatu organisma termasuklah virus, bakteria dan fungi. Melalui proses ini, salinan asal DNA diperbanyakkan dan diterjemahkan dalam bentuk data yang boleh difahami. Informasi berkenaan virus ini akan disimpan dalam data perubatan dan ia digunakan untuk membandingkan kod genetik jangkitan baru. Informasi ini memudahkan serta mempercepatkan proses untuk mengenalpasti jenis patogen yang menjangkiti seseorang.
Bagi jangkitan COVID-19 pula, virus ini menjangkiti seseorang melalui saluran pernafasan manusia dan sampel akan diambil sejajar dengan saluran tersebut. Sebagai contoh:
- Spesimen daripada saluran pernafasan bahagian atas:
- Sampel diperolehi melalui teknik kesatan pada bahagian tekak atau nama saintifiknya nasopharyngeal dan oropharyngeal.
- Spesimen daripada saluran pernafasan bahagian bawah:
- Saluran pernafasan bahagian bawah pula merangkumi paru-paru serta bronkiole. Oleh itu sampel kahak pesakit boleh digunakan. Pengambilan tisu paru-paru juga antara kaedah lain untuk mendapatkan sampel.
Setelah sampel ini diambil, ia akan dihantar ke makmal secepat mungkin dan akan disimpan pada suhu 4 darjah celsius. Sampel ini kemudiannya akan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan ataupun beberapa makmal khas untuk tujuan pengenalpastian organisma. Di situ, proses RT-PCR akan dikendalikan.
Pengenalpastian Melalui Sampel Darah
Apabila seseorang dijangkiti virus, badan akan bertindak balas dengan menghasilkan antibodi yang bertujuan untuk melawan virus tersebut. Antibodi yang terhasil pula amatlah spesifik kepada beberapa virus. Oleh itu, pengenalpastian antibodi spesifik dalam darah boleh digunakan untuk mengetahui sumber jangkitan dan dalam isu ini ialah jangkitan virus COVID-19.
Namun, kaedah ini hanya boleh dilakukan setelah 7 ataupun 14 hari seseorang itu dijangkiti virus. Hal ini kerana, antibodi akan terhasil seawal 7 hari selepas jangkitan berlaku. Kaedah ini nescaya lebih pantas jika dibandingkan dengan kaedah PCR dan ia juga tersedia dalam bentuk kit ujian. Ujian ini mengunakan darah pesakit sebagai spesimen.
Pengesanan Melalui Teknik Radiografi
Apabila virus ini menyerang seseorang, ia akan menyebabkan keradangan pada saluran pernafasan yakni tonsil, tekak dan organ vital seperti paru-paru. Fenomena ini sekaligus akan mengubah struktur paru-paru seseorang dan komplikasi ini boleh untuk dikesan melalui imbasan X-ray ataupun imbasan CT pada dada. Pada awal penemuan jangkitan ini, para doktor mula mengesyaki akan kehadiran virus baru ini pada imej X-ray pesakit yang mengalami sesak nafas. Ia merupakan klu terawal dalam merungkai misteri jangkitan ini dan kaedah imbasan ini digunakan secara meluas di negara China. Antara perubahan yang dapat dikesan pada paru-paru ialah tanda konsodilasi dan kelegapan berbentuk kaca jam (hour-glass opacities) pada imej X-ray.
Konklusi
Di Malaysia, kaedah pengesanan melalui proses Reverse Transcriptase - Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan pengenalpastian antibodi melalui sampel darah merupakan teknik standard yang dipakai di setiap hospital yang mengendalikan jangkitan COVID-19 ini. Mekanisme pengesanan virus ini akan terus berevolusi sesuai dengan keadaan semasa jangkitan wabak ini.