Anda tertanya mengapa vaksin ini mengambil masa yang terlalu lama untuk disiapkan? Hal ini kerana terdapat beberapa fasa dalam proses menghasilkan vaksin. Fasa pre-klinikal adalah tempoh dimana vaksin dihasilkan di makmal sebelum ianya dicuba pada haiwan. Setelah ianya terbukti selamat dan akan memberi hasil dalam pembentukan imuniti menentang virus tersebut, ianya akan mula memasuki fasa klinikal dimana ia dicuba ke atas manusia. Fasa klinikal ini terbahagi kepada 3. Setiap fasa mengambil masa serta melibatkan lebih subjek dari yang sebelumnya.
Fasa pertama dilakukan ke atas individu yang sihat. Tujuan fasa ini untuk memastikan keselamatan vaksin tersebut serta menyanggah kesan sampingan yang berbahaya. Manakala fasa ke-2 dan ke-3 adalah untuk menguji keberkesanan vaksin. Dalam fasa ini, vaksin mula diberi di kawasan yang mempunyai kes yang banyak. Berkesinambungan dengan 2 fasa terakhir, penghasilan vaksin tersebut beransur-ansur semakin banyak. Untuk itu, agensi penguatkuasaan akan menilai masa untuk vaksin tersebut diberikan lesen agar kilang dapat menghasilkan jumlah vaksin dalam kuantiti yang banyak bagi menampung permintaan. Selepas vaksin mula diedar dan diberikan kepada masyarakat, pengawasan ke atas vaksin ini masih diteruskan bagi memastikan vaksin tersebut selamat.
Manakala, berita yang mengatakan bahawa vaksin untuk coronavirus ini sudah siap, bukanlah berita palsu. Hal ini kerana sekarang terdapat beberapa vaksin yang telah melepasi fasa pre-klinikal atau vaksin yang sebelum ini dihasilkan untuk virus lain, diguna pakai untuk merawat coronavirus. Akan tetapi vaksin ini semua masih dalam fasa klinikal. Oleh itu, untuk mengharapkan vaksin ini siap dan sedia untuk dilancarkan dalam masa terdekat adalah mustahil.
Akan tetapi, terdapat banyak langkah yang dicadangkan oleh syarikat yang menghasilkan vaksin tersebut dengan pertubuhan kesihatan dunia (WHO) bagi mempercepatkan proses ini. Antaranya, memulakan ujian dalam fasa yang berbeza pada masa yang sama. Selain itu, ada syarikat yang mengambil risiko menghasilkan vaksin dalam jumlah yang besar walaupun vaksin tersebut masih dalam kajian dan belum diluluskan lagi. Hal ini kerana, pengeluaran secara besar-besaran adalah sangat penting dalam menangani pandemik ini. Bukan itu sahaja, persatuan perubatan sedunia (WHO) juga mencadangkan agar ujian fasa 2 dan 3 dilakukan dalam sebilangan calon secara serentak, di pelbagai negara mengikut kriteria standard.
Masih terlalu banyak yang belum diketahui dan difahami mengenai virus ini. Ini juga termasuk berapa lama tempoh vaksin tersebut boleh melindungi kita. Terdapat beberapa laporan ringkas mengenai pesakit yang dijangkiti oleh virus ini setelah sembuh. Hal ini yang menjadi tanda tanya sama ada bolehkah virus ini menyerang kita selepas sembuh. Ianya petanda yang buruk sekiranya imuniti badan kita tidak mampu menghalang virus ini dari menjangkiti lagi. Hal ini kerana, fungsi vaksin adalah untuk menghasilkan imuniti yang diharap boleh mencegah dari jangkitan virus tersebut.