Penyakit kusta atau lebih dikenali sebagai ‘Hansen’s disease’ atau ‘leprosy’ merupakan penyakit yang digeruni ramai. Penyakit kusta merupakan disebabkan oleh jangkitan kuman ‘Mycobacterium leprae’. Jangkitan kuman ini boleh menyebabkan kesan sampingan serius pada kulit, saraf, mata serta bahagian dalam hidung. Sekiranya penyakit kusta ini dikenal pasti pada tahap awal maka ia lebih mudah disembuhkan. Orang yang mengidap penyakit ini masih mampu bekerja dan menjalani aktiviti seharian seperti biasa.
Apakah kaitan penyakit kusta (Leprosy) dengan kulit?
Selamat pagi, doktor. Saya seorang lelaki berusia 34 tahun yang bekerja sebagai seorang guru. Saya sudah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak. Isteri saya berumur 32 tahun dan beliau tidak bekerja. Baru-baru ini, adik lelaki saya yang berumur 30 tahun datang tinggal dengan saya kerana baru sahaja kehilangan kerja. Pada dua hari yang lepas, saya mendapati adik saya mempunyai sejenis tompok besar atau ‘patch’ pada kulit lengannya. Apabila saya bertanya, beliau pun tidak tahu punca ‘patch’ tersebut muncul. Dia juga mengadu kepada saya bahawa dia tidak boleh rasa apa-apa pada bahagian ‘patch’ tersebut seperti penyakit kusta. Dia juga membuktikan kepada saya dengan mencucuknya berkali-kali dengan garpu. Saya berasa sangat bimbang dan segera menyuruhnya mendapatkan rawatan. Saya juga bimbang ia akan merebak kepada ahli keluarga saya. Bolehkah doktor terangkan apa yang telah terjadi kepada adik saya ini?
Terima kasih encik atas soalan tersebut. Berdasarkan apa yang diceritakan, saya berpendapat adik encik mungkin mempunyai penyakit kusta (leprosy). Penyakit kusta atau juga dikenali sebagai ‘Hansen’s disease’ atau ‘Leprosy’ bermaksud ia sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan kuman ‘Mycobacterium leprae’ atau ‘Mycobacterium lepromatosis’.Jangkitan kuman ini yang akan membawa kepada masalah ‘patch’ pada permukaan kulit yang berlainan warna dengan warna kulit. Selain itu, penyakit ini juga boleh menyerang mata, saraf serta bahagian dalam hidung.
Selalunya rawatan bagi penyakit kusta melibatkan beberapa jenis antibiotik. Ubatan ini haruslah diambil tanpa gagal kerana ia akan membantu membasmikan bakteria dalam badan. Oleh sebab penyakit ini berjangkit, anda harus mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak merebak kepada encik sekeluarga. Penyakit kusta lebih mudah sembuh jika rawatan diberi pada tahap awal penyakit.
Apakah itu penyakit kusta
Apakah jenis penyakit kusta
Terdapat tiga jenis penyakit kusta iaitu:
- ‘Tuberculoid’. Ini merupakan keadaan yang tidak begitu serius dan masih dalam tahap awal. Golongan ini hanya akan mempunyai beberapa ‘patch’ sahaja. Permukaan yang dijangkiti akan berasa kebas kerana saraf telah terjejas. Penyakit tuberculoid juga kurang berjangkit kepada orang lain.
- ‘Lepromatous’. Keadaan ini lebih serius dan selalunya melibatkan ‘patches’ dan benjolan pada keseluruhan kulit. Bahagian hidung, ginjal dan alat sulit lelaki juga akan turut terjejas dalam jenis ini. Tambahan pula, keadaan Ini juga lebih mudah berjangkit berbanding yang lain.
- ‘Borderline’. Golongan yang mempunyai penyakit kusta jenis ini akan mempunyai kombinasi simptom kedua-dua jenis penyakit kusta yang dinyatakan di atas.
Apakah penyebab penyakit kusta
Penyebab utama penyakit kusta ialah sejenis bakteria yang bernama ‘Mycobacterium leprae’ dan ‘Mycobacterium lepromatosis’. Selain itu, penyakit ini merebak apabila pesakit bersentuhan dengan individu yang sihat. Akan tetapi, penyakit ini jarang sekali merebak melalui hubungan seks.
Di samping itu, faktor genetik dipercayai boleh membawa kepada punca berlakunya penyakit kusta ini. Oleh itu, jika seseorang dalam keluarga mempunyai penyakit kusta maka kemungkinan gene mereka akan diwarisi oleh anak mereka sekali gus menyebabkan anak mereka berisiko mendapat penyakit kusta.
Punca lain yang membolehkan seseorang berisiko mendapat penyakit ini ialah sistem imun badan yang lemah.
Apakah gejala penyakit kusta
Gejala berikutan jangkitan hansen ini haruslah dipantau dari semasa ke semasa dan pastikan ia tidak bertambah teruk. Antara gejala penyakit kusta ini ialah seperti:
- ‘Patch’ pada permukaan kulit
- Kulit menjadi kering dan keras
- ‘Nodule’ pada permukaan kulit
- Ulser yang tidak sakit pada tapak kaki
- Bengkak atau benjolan yang tidak sakit pada muka atau cuping telinga
- Kehilangan bulu mata atau bulu kening
- Kebas
- Otot menjadi lemah atau lumpuh
- Masalah penglihatan malahan boleh menjadi buta
- Hidung tersumbat
- Hidung berdarah
- Kurang deria rasa
Apakah komplikasi penyakit kusta jika tidak dirawat
Penyakit kusta haruslah segera diberi perhatian perubatan jika tidak dirawat boleh mengundang komplikasi yang berpanjangan pada masa akan datang. Antara komplikasi yang dimaksudkan di sini ialah seperti:
- Buta
- Kecacatan tangan dan kaki
- Lumpuh
- Kehilangan seluruh bulu kening
- Ulser yang membesar dan menjadi kronik sehingga tidak sembuh
- Kecacatan hidung yang menjadi bengkok
- Jari kaki dan tangan menjadi pendek
- Kerosakan saraf menyebabkan sensasi sakit yang melampau
- Kulit terasa seolah-olah terbakar
Bagaimakah cara kenalpasti diagnosis penyakit kusta
Penyakit hansen ini boleh dikenal pasti melalui ‘patch’ pada permukaan kulit yang mungkin lebih gelap atau lebih cerah daripada warna kulit asal.Pesakit akan mempunyai kehilangan deria rasa pada ‘patch’ tersebut. Walaupun dicucuk dengan jarum yang tajam, mereka tidak akan dapat merasai apa-apa langsung.
Selain itu, para doktor akan mengambil sampel ‘patch’ tersebut atau mengambil sampel saraf untuk dihantarkan kepada makmal bagi menjalani biopsi. Di makmal, mereka akan mengkaji sampel tersebut di bawa mikroskop dan mengenal pasti bakteria yang ditemukan.
Apakah rawatan penyakit kusta
Penyakit kusta boleh dirawat melalui kombinasi penggunaan beberapa jenis antibiotik. Rawatan yang akan diberikan oleh doktor ialah kombinasi 2 atau 3 antibiotik yang diambil sekali gus. Kaedah ini dipanggil ‘multidrug therapy’. Kaedah ini dapat membantu memastikan bakteria tersebut dapat disingkirkan dengan lebih cepat. Antibiotik untuk penyakit ini diberikan untuk jangka masa yang panjang agak membimbangkan kerana bakteria tersebut mungkin akan dapat mengatasi fungsi antibiotik tersebut. Jangka masa yang ditetapkan untuk rawatan selalunya dijalankan selama satu hingga dua tahun. Selalunya pesakit boleh pulih jika individu tersebut patuh kepada arahan dan nasihat doktor serta tidak lupa mengambil ubat.
Sepanjang terapi rawatan sekiranya terdapat masalah seperti kebas atau hilang deria rasa pesakit disarankan untuk segera berjumpa dengan doktor untuk rawatan lebih lanjut.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor kami di laman web www.doctoroncall.com.my
References