Apakah itu kancing gigi (Tetanus) dan tanda-tandanya?
Anonymous
Selamat petang, doktor. Saya seorang lelaki berumur 30 tahun yang berasal dari Bangladesh. Saya telah datang ke Malaysia sejak 5 tahun yang lepas untuk bekerja sebagai pembantu tukang kayu. Semalam, saya terpijak sebatang paku yang kotor apabila bekerja di kedai. Lukanya agak dalam tetapi saya sudah membersihkannya dengan sabun dan menutupnya dengan kain pembalut. Setakat ini, luka saya tidak lagi berdarah ataupun sakit. Rakan sekerja saya telah menasihati saya untuk mengambil suntikan dari klinik untuk pencegahan suatu penyakit dikenali sebagai kancing gigi yang boleh membawa maut.
Apakah penyakit ini doktor? Adakah saya sudah menghidapi penyakit ini hanya disebabkan oleh luka dari tercucuk sebatang paku berkarat sahaja? Saya berasa sihat dan masih boleh makan dan minum seperti normal. Boleh saya merawat penyakit ini dengan cara lain? Saya seorang yang fobia dengan jarum. Terima kasih doktor kerana sudi menjawab soalan saya.
Anonymous
Selamat petang, doktor. Saya seorang lelaki berumur 30 tahun yang berasal dari Bangladesh. Saya telah datang ke Malay... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Terima kasih atas soalan encik. Untuk menjawab soalan encik, penyakit kancing gigi (Tetanus) merupakan penyakit yang biasa berlaku di seluruh dunia, terutamanya di negara-negara yang masih membangun. Tetanus disebabkan oleh sejenis spora bakteria yang memasuki tubuh manusia melalui luka terbuka, contohnya luka tercucuk.
Terlebih dahulu, encik tidak perlu terlalu bimbang jika encik sudah mendapat penyakit kancing gigi kerana kecederaan baru berlaku semalam. Walaupun encik mempunyai risiko menghidap penyakit kancing gigi ini, namunpenyakit kancing gigi mengambil masa beberapa hari atau minggu selepas kecederaan berlaku untuk menunjukkan tanda.
Pada pendapat saya, encik haruslah berjumpa dengan doktor di mana-mana klinik untuk mendapatkan suntikan pencegahan tetanus.. Walaupun orang ramai telah menerima vaksin untuk mencegah tetanus semasa umur bayi, namun orang dewasa masih disyorkan untuk menerima vaksin “booster” terutamanya jika mengalami luka besar seperti encik. Selain itu, encik yang berasal daripada negara asing mungkin tidak pernah menerima vaksin kancing gigi ini.
Penyakit ini mampu mendatangkanpelbagai komplikasi termasuklah maut. Nasihat saya untuk encik, janganlah membiarkan phobia terhadap jarum menjejaskan kesihatan diri. Encik bolehlah meminta rakan atau ahli keluarga untuk menemani encik semasa mendapat suntikan tersebut. Sekiranya encik mempunyai sebarang pertanyaan yang lain, para doktor kami pada laman web www.doctoroncall.com.mysentiasa sedia membantu.
Terima kasih atas soalan encik. Untuk menjawab soalan encik, penyakit kancing gigi (Tetanus) merupakan penyakit yang ... See More
Apakah itu kancing gigi
Penyakit kancing gigi atau tetanus merupakan jangkitan bakteria yang melibatkan sistem saraf.Tetanus juga boleh menjejaskan pernafasan lalu membawa maut. Seperti yang dinyatakan di atas, penyakit ini boleh berlaku di mana-mana sahaja di dunia. Namun demikian, bakteria tersebut lebih kerap dijumpai di negara beriklim panas dan lembap seperti Malaysia.
Jumlah kes tetanus serta kes kematian akibat tetanus telah menurun oleh sebab program vaksinasi global yang terbukti efektif. Kes-kes tetanus ini biasanya terjadi di negara-negara Dunia Ketiga yang kekurangan sistem kesihatan yang mantap. Penyakit kancing gigi ini jarang berlaku di negara-negara maju.
Apalah penyebab kancing gigi
Kancing gigi ini disebabkan oleh spora bakteria Clostridium tetani.
Bakteria ini biasanya dijumpai dalam tanah, debu serta najis binatang dan manusia. Oleh itu, bakteria ini lebih kerap dijumpai di kawasan penternakan binatang atau kawasan pertanian yang menggunakan baja najis binatang.
Clostridium tetani ini boleh memasuki tubuh manusia melalui luka, terutamanya luka yang kotor dan terbuka. Contohnya, gigitan anjing juga berupaya mengakibatkan kancing gigi. Luka akibat tercucuk oleh benda yang berkarat juga berkemungkinan besar mendedahkan badan kepada bakteria ini.
Bakteria ini menghasilkan neurotoksin berbahaya yang menjejaskan fungsi sistem saraf dalam badan.
Oleh itu, sekiranya anda mengalami luka yang dalam dan kotor anda haruslah berjumpa doktor dengan segera.
Apakah gejala kancing gigi
Kancing gigi ini biasanya menunjukkan tanda-tanda selepas 3 hingga 21 hari dari insiden kecederaan. Purata tempoh masa pengeraman bakteria ini sebelum menunjukkan tanda adalah 10 hari. Gejala yang biasa dialami pesakit adalah:
Kekejangan otot yang amat menyakitkan, yang lazimnya bermula dengan otot bahagian rahang. Simptom ini dipanggil “lockjaw” atau trismus. Pesakit tidak dapat membuka mulut kerana otot rahang kejang.
Kekejangan juga boleh melibatkan otot leher, belakang badan, peha dan kumpulan otot yang lain. Otot pernafasan juga mungkin terlibat sehingga menjejaskan pernafasan.
Kekejangan ini bertahan untuk tempoh masa lama malahan bertambah teruk sehingga menyebabkan tulang patah atau otot koyak.
Kekejangan tubuh yang sakit ini boleh dicetuskan oleh rangsangan luar yang minor seperti bunyi kuat, angin, sentuhan atau cahaya.
Sukar untuk menelan
Kencing dan membuang najis yang tidak terkawal
Demam panas sehingga berpeluh
Tekanan darah tinggi
Kadar denyutan jantung yang meningkat(tachycardia)
Gejala-gejala ini boleh mengambil masa beberapa minggu hingga bulan untuk pulih. Walaupun pesakit berada bawah rawatan, kadar kematian tetanus adalah antara 10% hingga lebih daripada 80%, terutamanya dalam kalangan mereka yang tidak pernah menerima vaksin tetanus atau warga berusia 60 tahun ke atas dan bayi yang baru lahir.
Apakah rawatan kancing gigi
Setakat ini, tiada rawatan untuk kancing gigi. Segala rawatan yang diberi hanya untuk menangani komplikasi hasil daripada jangkitan tetanus. Rawatan yang diberi termasuk:
Penjagaan luka. Luka haruslah dibersihkan dengan air dan sabun. Benda asing, kekotoran serta tisu mati haruslah dikeluarkan dari luka tersebut. Pembalut luka harus digunakan untuk melindungi luka daripada jangkitan kuman dan haruslah ditukar sekali setiap hari.
Antitoksin tetanus. Antitoksin ini disuntik ke dalam otot atau vena. Ia hanya boleh menyingkirkan toksin bakteria dalam badan yang belum berpaut pada sistem saraf. Antitoksin ini tidak dapat mengurangkan gejala yang sudah ada tetapi boleh mengelakkan gejala daripada menjadi semakin teruk.
Antibiotik. Antibiotik seperti metronidazole diberikan melalui suntikan intravena untuk membunuh bakteria di dalam badan.
Ubat penenang. Ubat penenang diberikan untuk mengurangkan kesakitan pesakit serta mengurangkan kekejangan otot.
Bantuan pernafasan. Sekiranya otot pernafasan terjejas, pesakit mungkin memerlukan alat pernafasan seperti ventilator.
Memandangkan kancing gigi ini tidak dapat dirawat dan mengakibatkan komplikasi yang teruk, pencegahan kancing gigi adalah inisiatif yang amat penting. Antara langkah-langkah pencegahan ialah:
Kanak-kanak diberikan vaksin Toksoid Tetanus sekurang-kurangnya 3 dos semasa bayi serta dos tambahan mengikut jadual yang ditetapkan.
Ibu mengandung juga diberikan vaksin Toksoid Tetanus supaya antibodi boleh dipindahkan ke dalam tubuh badan bayi dalam kandungan. Ianya dapat melindungi bayi yang baru lahir daripada mendapat jangkitan kancing gigi. Sekiranya tali pusat bayi dipotong dengan peralatan yang tidak bersih, ini boleh menyebabkan bayi menghidap tetanus.
Kontraindikasi: Sekiranya pernah mengalami kesan sampingan atau alahan yang teruk terhadap vaksin tersebut.
Kesan sampingan vaksin: Biasanya pengguna hanya mendapat kesan sampingan ringan seperti sakit sementara di bahagian yang disuntik.
Rawatan melibatkan penggunaan imunisasi pula diberikan kepada pesakit yang baru sahaja mendapat kecederaan. Vaksin Toksoid Tetanus sekiranya diberikan dalam masa 4 empat hari selepas mendapat luka dapat mencegah toksin bakteria daripada menjejaskan sistem saraf. Sekiranya suntikan booster terakhir melebihi 5 tahun, individu yang mendapat luka yang dalam harus mendapatkan suntikan tersebut sekali lagi.
Kesimpulannya, setiap orang haruslah peka terhadap penyakit kancing gigi ini dan tidak memandang ringan terhadap luka kerana kebarangkalian boleh mengakibatkan komplikasi yang teruk ini. Sekiranya suntikan booster vaksin diberi lebih daripada 5 tahun yang lalu, anda disarankan untuk berjumpa doktor walaupun luka kelihatan ringan sahaja. Untuk info lanjut dari pakar perubatan, anda boleh melayari laman web kami di www.doctoroncall.com.my untuk bercakap dengan doktor.