Bagaimana untuk mengenali simptom dan tanda kanser perut (Stomach Cancer Signs) pada tahap awal?

Anonymous

Selamat pagi doktor. Saya Encik A, memerlukan nasihat doktor. Datuk saudara saya telah disahkan menghidap kanser perut tahap 4 sebulan yang lalu. Perkara ini tidak dijangka kerana beliau tidak mengalami apa-apa simptom yang jelas, melainkan hilang selera makan serta cepat berasa letih berbanding biasa.


Kami hanya membuat keputusan untuk merujuknya ke hospital, setelah beliau kehilangan berat sebanyak beberapa kilogram dalam masa yang agak singkat, iaitu tiga bulan. Beliau tidak pernah mengadu tentang gejala lain seperti sakit perut, muntah-muntah, ketidakhadaman, dan sebagainya. Bagaimana boleh saya mengenal pasti tanda kanser perut dengan lebih awal supaya penyakit ini boleh dirawat sebelum terlambat? Mohon pandangan doktor.

Anonymous
Selamat pagi doktor. Saya Encik A, memerlukan nasihat doktor. Datuk saudara saya telah disahkan menghidap kanser peru... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima kasih atas soalan anda. Saya bersetuju bahawa tanda kanser perut (Stomach Cancer Signs) sememangnya sukar untuk dikenal pasti pada peringkat awal, disebabkan oleh gejala-gejalanya yang kurang jelas dan tidak spesifik. Oleh itu, seseorang yang menghidap kanser ini sering didiagnosa pada masa yang agak lewat, iaitu pada tahap 3 atau tahap 4.

Walaupun simptomnya kurang jelas, terdapat beberapa simptom boleh menjadi petanda kewujudan kanser dan perlu dirujuk kepada doktor. Contohnya ialah ketidakhadaman, loya dan muntah, sakit perut, pedih ulu hati, keturunan berat badan yang drastik, atau kehilangan selera yang berlarutan.

Penyakit ini boleh didiagnosa melalui prosedur endoskopi, di mana sampel tisu perut akan diambil dan dikaji. Setelah disahkan, doktor perlu menilai tahap kanser sebelum memulakan rawatan. Pilihan yang sedia ada termasuklah kemoterapi, radioterapi, dan pembedahan.

Terima kasih atas soalan anda. Saya bersetuju bahawa tanda kanser perut (Stomach Cancer Signs) sememangnya sukar untuk d... See More

Apakah Itu Kanser Perut?

Kanser perut (gastric cancer) adalah salah satu kanser yang sering ditemui di Malaysia. Ianya merupakan kanser ke-6 paling umum terjadi dalam kalangan lelaki, dan ke-10 dalam kalangan wanita. Hal ini kerana gejala-gejala kanser perut akan manifes pada tahap lewat dan rawatan kanser sudah tidak berkesan.

Apakah Penyebab Kanser Perut?

Kanser perut terjadi apabila sel-sel di bahagian dinding dalam perut manusia berkembang secara tidak terkawal sehingga menyebabkan ketumbuhan berlaku. Terdapat pelbagai faktor atau risiko yang boleh membuatkan sel-sel ini berkembang secara tidak normal.

Siapakah berisiko untuk mendapat kanser perut?

  • Jantina. Lelaki adalah lebih berisiko untuk mendapat kanser perut berbanding dengan wanita.
  • Usia. Mereka yang berumur 60 tahun ke atas lebih berisiko untuk mendapat kanser perut.
  • Keturunan. Sekiranya terdapat penghidap kanser perut dalam kalangan ahli keluarga terdekat, risiko keturunannya untuk mendapat penyakit yang sama adalah lebih tinggi.
  • Kaum. Di Malaysia, pesakit kanser perut adalah paling ramai dalam kalangan kaum Cina (61.7%), diikuti kaum Melayu (25.9%), dan kaum India (12.4%).
  • Merokok. Tabiat ini turut menjadi penyebab bagi peningkatan risiko kanser perut kerana kandungannya merupakan bahan karsinogenik.
  • Jangkitan Helicobacter pylori. Bakteria ini sering ditemui pada seseorang yang menghidap penyakit gastritis. Jika dibiarkan tanpa rawatan, jangkitan ini mungkin boleh berlarutan sehingga menyebabkan kanser.
  • Diet. Pengambilan makanan yang telah disalai, dijeruk, atau diasinkan (contohnya ikan salai, sayur jeruk) dengan kerap boleh meningkatkan risiko untuk mendapat kanser perut.

Apakah Tanda Kanser Perut?

Kanser perut sukar dikenal pasti di peringkat awal kerana simptomnya yang kurang jelas dan mengambil masa yang lama untuk bermanifes. Antara gejala yang boleh berlaku dalam kanser perut ialah

  • Penurunan berat badan
  • Hilang selera makan
  • Cepat berasa letih
  • Ketidakhadaman
  • Kembung perut
  • Sakit perut
  • Pedih ulu hati
  • Muntah darah
  • Loya dan muntah
  • Najis berwarna hitam
  • Sukar menelan makanan
  • Bengkak di bahagian perut
  • Bengkak kelenjar limfa

Apakah Penyakit Lain Yang Hampir Serupa Dengan Kanser Perut?

Sekiranya seseorang datang hanya dengan simptom berat badan turun mendadak, disertai dengan keletihan dan hilang selera makan, diagnosis kanser biasanya akan diutamakan oleh para doktor sehingga ujian dijalankan dan punca sebenar ditemui.

Selain itu, sekiranya seseorang datang dengan simptom berkaitan perut seperti ketidakhadaman, sukar menelan, sakit dan kembung perut, dan lain-lain, antara diagnosis lain yang boleh difikirkan termasuklah:

  • Radang esofagus (Esophagitis)
  • Gastritis (penyakit Gastrik)
  • Ulser perut

Apakah Ujian Yang Dilakukan Bagi Mengesahkan Kanser Perut?

Tujuan prosedur atau ujian dilakukan pada seseorang yang disyaki menghidap kanser perut ialah untuk mengenal pasti diagnosa, menilai tahap kanser (tahap 1 hingga 4) sekiranya disahkan dan menentukan rawatan terbaik. Antara ujian yang dijalankan ialah ujian imbasan, endoskopi, dan biopsi. Antara contoh ujian imbasan ialah CT-Scan (Computed tomography scan) dan MRI (magnetic resonance imaging) yang dapat membantu untuk mengenal pasti saiz ketumbuhan kanser dan kawasan yang terlibat.

Prosedur Endoskopi dan Biopsi (Endoscopy and Biopsy)

Prosedur ini dijalankan dengan memasukkan kamera kecil berwayar melalui mulut pesakit, sehingga ianya sampai ke bahagian perut dan usus kecil. Endoskopi dapat membantu para doktor melihat bahagian dinding perut yang dijejaskan oleh kanser dan mengambil sampel tisu bagi pengajian sel-sel kanser.

Apakah Rawatan Kanser Perut?

Rawatan bagi kanser perut terbahagi kepada tiga. Doktor akan memilih salah satu atau menggabungkan semua modal rawatan mengikuti tahap keberkesanan dalam setiap tahap kanser perut ini. Rawatan kanser perut merangkumi:

  1. Pembedahan
  2. Radioterapi
  3. Kemoterapi

Rawatan Pembedahan

Sekiranya pesakit kanser perut masih berada dalam peringkat awal, iaitu ketika kanser masih kecil dan belum merebak sehingga melangkaui dinding perut, doktor boleh menyarankan satu modal rawatan, iaitu ‘Endoscopic Mucosal Resection’ (pembedahan mukosa secara endoskopik).

Sekiranya kanser perut telah membesar dan merebak, doktor boleh mencadangkan pembedahan bagi membuang sebahagian atau keseluruhan perut termasuk tisu yang berada di sekitarnya.

Rawatan Radioterapi

Radioterapi diberikan kepada pesakit sama ada sebelum atau selepas pembedahan. Sebelum pembedahan, radioterapi digunakan untuk mengurangkan saiz kanser perut. Sinar riadiasi berkuasa tinggi akan dipancar dan ditumpukan pada bahagian yang terlibat bagi membunuh sel-sel kanser. Selepas pembedahan pula, radioterapi berperanan untuk membunuh sel-sel kanser yang tertinggal.

Rawatan Kemoterapi

Rawatan kemoterapi adalah rawatan yang menggunakan ubat-ubatan yang kuat untuk membunuh sel-sel kanser. Rawatan ini juga boleh diberi sebelum atau selepas pembedahan dan sering digabungkan bersama rawatan radioterapi.

Apakah Kesan Sampingan Ubatan Kemoterapi?

Ubat kemoterapi dicipta untuk membunuh sel-sel yang tumbuh dengan pantas seperti sel kanser. Pada masa yang sama, terdapat juga sel-sel normal yang lain dalam badan manusia yang tumbuh dengan cepat. Contohnya seperti folikel rambut, sel-sel saluran pemakanan, dan tulang sumsum yang menghasilkan sel darah.

Sel-sel normal ini boleh dijejaskan oleh kesan sampingan ubat kemoterapi ini. Antara kesan sampingan ialah:

  • Risiko mendapat jangkitan akibat kekurangan sel darah putih
  • Keletihan dan sesak nafas akibat kekurangan sel darah merah
  • Mudah lebam akibat kekurangan sel platelet
  • Hilang selera makan
  • Keguguran rambut
  • Loya dan muntah
  • Cirit-birit

Kesan sampingan ini akan hilang selepas rawatan kemoterapi dihentikan.

Rawatan Paliatif (Palliative Treatment)

Sekiranya kanser telah mencapai tahap yang serius di mana rawatan tidak lagi berefektif, rawatan paliatif akan disarankan oleh doktor untuk memberi keselesaan dan kualiti hidup serta mengurangkan simptom kanser perut ini.

Apakah Langkah Pencegahan Kanser Perut?

  • Berjumpa dengan doktor secepat mungkin sekiranya mempunyai apa-apa gejala yang disebut di atas.
  • Mengelakkan makanan yang meningkatkan risiko kanser
  • Makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Berhenti tabiat buruk seperti merokok atau berminum alkohol dengan berlebihan.

Lawati www.doctoroncall.com.my untuk bercakap dengan doktor kami.


References