Plasenta Previa Atau Hamil Uri Di Bawah, Apakah Penyebab Dan Risikonya?

Plasenta Previa - Apakah Penyebab Dan Risiko Hamil Uri Di Bawah? - DoctorOnCall
Anonymous
Hai doktor, salam sejahtera. Saya wanita berusia 18 tahun. Saya tahu saya masih muda, tapi jodoh saya sampai awal dan saya sudahpun berkahwin selepas SPM. Kini saya hamil setelah setahun berkahwin. Usia kandungan saya sudahpun 28 minggu, masalahnya lepas scan dekat klinik, doktor kata uri bayi saya dekat bawah. Tapi doktor tak buat apa-apa pun. Katanya nanti cek balik selepas sebulan. Jadinya, saya nak tanyalah. Apa masalahnya dengan uri kat bawah ni? Doktor kata kalau uri ni tak beralih nanti saya kena bersalin bedah. Uri ni boleh berubah-ubah ke? Apa yang saya perlu buat sekarang? Ada apa-apa prosedur, urutan atau makanan yang boleh saya ambil untuk betulkan uri ni? Dan apa pula risikonya pada bayi dalam kandungan saya? Kawan saya kata ada posisi tidur ibu hamil dengan plasenta previa. Betul ke?
Anonymous
Hai doktor, salam sejahtera. Saya wanita berusia 18 tahun. Saya tahu saya masih muda, tapi jodoh saya sampai awal dan sa... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Salam sejahtera puan, terima kasih atas soalan yang diajukan. Uri di bawah dipanggil sebagai plasenta previa. Ia adalah keadaan di mana uri atau plasenta berada di bahagian rahim yang bawah berdekatan laluan serviks. Apabila ini terjadi, ibu berisiko mengalami pendarahan ketika kehamilan. Terdapat beberapa jenis kedudukan uri di bawah ini, salah satunya yang menutupi keseluruhan laluan serviks, jadi keadaan seperti ini menyebabkan bayi tidak dapat lahir secara normal. Walaubagaimanapun, kedudukan uri boleh berubah sepanjang kehamilan sehingga minggu ke 32. Selepas minggu ke 32, kedudukan uri adalah tetap. Oleh itu, jika kedudukan uri anda masih lagi di bawah selepas minggu ke 32, anda mungkin perlu bersalin secara pembedahan, bergantung kepada jenis kedudukan uri anda. Seperti yang saya katakan, kedudukan uri di bawah boleh menyebabkan pendarahan ketika kehamilan. Sesetengah wanita yang mengalami keadaan ini boleh mengalami pendarahan yang teruk sehingga menjejaskan kesihatan ibu dan kandungan. Oleh itu ibu hamil yang mengalami masalah ini akan dipantau dengan lebih kerap. Saya akan menerangkan lebih lanjut tentang rawatan dan perkara-perkara lain berkenaan masalah plasenta previa ini dalam artikel di bawah.
Salam sejahtera puan, terima kasih atas soalan yang diajukan. Uri di bawah dipanggil sebagai plasenta previa. Ia adalah ... See More

Apa Itu Plasenta Previa?

Fungsi plasenta atau uri adalah untuk membekalkan segala nutrien dan oksigen kepada janin dalam kandungan dan membawa keluar bahan buangan yang tidak diperlukan bayi. Melalui organ inilah berlakunya pertukaran antara darah bayi dan ibu. Anda pernah dengar tentang plasenta previa? Bagaimana pula dengan uri di bawah? Pernah dengar istilah low lying placenta? Adakah semuanya sama? Plasenta previa (placenta previa) adalah keadaan di mana uri berada di bahagian bawah, berhampiran serviks ketika kehamilan. Biasanya keadaan ini dikenalpasti pada trimester ketiga, melalui ujian ultrasound pada minggu ke-28. Terdapat beberapa jenis plasenta previa, mari kita lihat apakah perbezaan jenis-jenis plasenta previa atau kedudukan uri di bawah yang boleh berlaku ketika kehamilan.

Jenis-jenis plasenta previa

Sebelum ini, plasenta previa dikelaskan kepada 4 jenis, namun kini ia dibahagikan kepada dua sahaja iaitu major dan minorplacenta previa. Ia juga boleh dikenali sebagai marginal atau complete placenta previa, namun terma ini sudah jarang digunakan.

  1. Minor Placenta Previa (Marginal)

Plasenta previa minor yang juga dikenali sebagai marginal plasenta previa adalah kedudukan uri yang berada dalam jarak sekurang-kurangnya 2 cm dari bukaan serviks. Bagi keadaan seperti ini, plasenta atau uri biasanya berada berdekatan serviks, tetapi tidak sehingga menutupi laluan pintu rahim. Oleh itu, ibu yang mengalami keadaan ini masih boleh bersalin secara normal.

  1. Major Placenta Previa (Complete)

Plasenta previa major atau complete placenta previa pula adalah apabila kedudukan plasenta atau uri betul-betul menutupi pintu rahim. Ibu hamil yang mengalami keadaan ini tidak boleh bersalin secara normal dan biasanya akan bersalin melalui kaedah pembedahan caeserean secara elektif. 

Siapakah Yang Berisiko Mendapat Masalah Plasenta Previa Ketika Hamil?

Berikut merupakan faktor risiko bagi masalah plasenta previa bagi seorang wanita:

  • Umur ibu hamil : Usia 35 tahun ke atas adalah mereka yang lebih berisiko
  • Pernah menjalani rawatan kemandulan
  • Kehamilan kembar (lebih dari satu janin)
  • Ibu yang telah melahirkan kandungan lebih dari 5 kali (Grand multiparity)
  • Jarak antara kehamilan yang singkat
  • Pernah menjalani sebarang pembedahan pada rahim
  • Pernah bersalin secara pembedahan caesarean
  • Ibu yang merokok
  • Ibu yang mengambil kokaine
  • Kedudukan sosio-ekonomi yang rendah

Bagaimana Mengenalpasti Gejala Plasenta Previa?

Plasenta previa boleh dikenalpasti melalui beberapa cara. Biasanya masalah ini ditemui melalui imejan ultrasound yang dilakukan ketika pemeriksaan antenatal dilakukan. Sekiranya penemuan ini berlaku ketika usia kandungan kurang daripada 32 minggu, ia dipanggil low-lying placenta dan diagnosis ini tidak muktamad kerana kedudukan plasenta masih boleh berubah. Dalam masalah ini, kerana kedudukan uri berada di bawah dan berdekatan atau menutupi pintu rahim (serviks), ibu hamil boleh mengalami gejala pendarahan ketika hamil. Kebiasaannya pendarahan ini berlaku sesekali tanpa disertai rasa sakit. Masalah ini juga boleh menyebabkan kedudukan bayi songsang atau dipanggil “breech presentation” iaitu kepala bayi menghala ke atas dan bukan menghala ke serviks seperti yang sepatutnya.

Bagaimana Diagnosis Plasenta Previa Dibuat?

Seperti yang diterangkan di atas, masalah plasenta previa biasanya dikenalpasti daripada ujian ultrasound yang dilakukan ketika pemeriksaan antenatal berkala dilakukan. Ia juga boleh dikenalpasti melalui ujian ultrasound ekoran gejala pendarahan ketika hamil yang dialami oleh wanita mengandung. Sekiranya keadaan ini dikesan sebelum 32 minggu, temu janji seterusnya perlu dibuat untuk ujian ultrasound melalui faraj sebelum diagnosis muktamad dibuat. Hal ini adalah kerana kedudukan uri masih boleh berubah dalam tempoh waktu ini. Selepas 32 minggu, sekiranya kedudukan uri masih di bawah, barulah seorang wanita itu dikatakan mengalami masalah plasenta previa. 

Apakah Komplikasi Yang Boleh Berlaku Akibat Plasenta Previa?

Adakah bahaya uri di bawah? Kedudukan uri yang tidak normal ini boleh menyebabkan komplikasi kepada kehamilan.

  1. Pendarahan yang banyak : Plasenta previa boleh menyebabkan pendarahan yang banyak ketika wanita dalam proses melahirkan, sebelum melahirkan atau selepas melahirkan bayi. Pendarahan ini boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan betul.
  2. Melahirkan secara pembedahan : Kebiasaannya, wanita yang mengalami masalah plasenta previa menyebabkan kedudukan bayi songsang. Ini menyukarkan ibu untuk bersalin secara normal. Kebanyakan ibu hamil yang mengalami keadaan ini perlu bersalin secara pembedahan cesearean section terutamanya jika jenis plasenta previa yang dialami adalah plasenta previa major.
  3. Kelahiran pra matang : Walaupun wanita yang mengalami masalah plasenta previa sama ada yang boleh bersalin secara normal atau pembedahan ceaserean secara elektif kebanyakannya akan bersalin apabila cukup bulan, bagi sesetengah keadaan seperti pendarahan yang terlalu banyak sehingga boleh mengancam nyawa ibu dan bayi, mereka memerlukan pembedahan kecemasan ketika bayi masih pra matang.

Bagaimana Merawat Masalah Plasenta Previa?

Plasenta previa atau masalah uri dibawah tiada rawatan khusus. Tiada cara agar plasenta naik ke atas yang boleh dilakukan. Biasanya, wanita yang mengalami keadaan ini akan dipantau melalui pemeriksaan antenatal berkala yang lebih kerap. Sekiranya berlaku pendarahan, ibu hamil perlu segera ke hospital. Di hospital, wanita yang mengalami gejala ini akan segera diperiksa dan dimasukkan ke wad untuk pemantauan lanjut dan rawatan atau sekiranya perlu, mereka akan menjalani pembedahan melahirkan bayi dengan segera bagi mengelakkan kehilangan lebih banyak darah.

Apakah Yang Boleh Dilakukan Oleh Ibu Hamil Yang Mengalami Plasenta Previa?

Ibu yang mengalami masalah plasenta previa atau uri dibawah haruslah mematuhi arahan doktor atau jururawat yang merawat anda. Sila patuhi jadual pemeriksaan antenatal dan segera ke hospital jika berlaku sebarang pendarahan. Tiada larangan ibu hamil plasenta previa yang pernah digariskan, namun wanita hamil haruslah berhati-hati dan elakkan daripada melakukan kerja-kerja berat yang boleh membahayakan anda dan kandungan. Apa yang paling penting, segera laporkan ke hospital apabila berlakunya sebarang gejala pendarahan sedikit mahupun banyak.



References