Bayi Anda Sukar Menyusu? Ketahui Teknik Penyusuan Yang Betul

Susu Ibu: Cara Betul Penyusuan Badan & Kelebihannya - DoctorOnCall

Menyusukan bayi baru lahir boleh menjadi satu pengalaman yang mencabar terutamanya kepada para ibu yang pertama kali menimang cahaya mata. Proses penyusuan bayi seringkali dianggap mudah oleh kebanyakan orang dan menganggap proses ini akan berlaku secara semulajadi selepas kelahiran. Walaupun proses menyusu badan nampak natural dan mudah, sebenarnya ia adalah satu cabaran besar yang hanya dapat dirasai oleh para ibu. Mungkin disebabkan pemikiran begini juga, kebanyakan para ibu tidak menyiapkan diri dengan ilmu yang sepatutnya sebelum kelahiran bayi. 

Hakikatnya, ramai para ibu yang menghadapi kesulitan pada peringkat awal terutamanya enam minggu pertama, ketika bekalan susu masih belum banyak serta masih dalam proses adaptasi dan bayi pula sedang belajar untuk menyusu, para ibu mungkin akan mengalami perkara yang berikut:

  • pembengkakan: payudara yang sangat penuh.
  • mastitis: keradangan pada payudara.
  • Sakit di bahagian puting.

Jadi amat penting untuk para ibu mengetahui cara yang betul ketika menyusukan bayi seperti lekapan yang baik (deep latch) kerana ini kunci utama kejayaan penyusuan ibu sehingga anak berusia 2 tahun. Dan amat bagus jika para ibu dapat bersedia dengan ilmu ini sebelum melahirkan anak.

Untuk membantu memudahkan anda melalui perjalanan menyusukan bayi dengan betul dan berkesan serta mendapatkan manfaatnya, boleh ikuti dengan lanjut artikel ini. 


Bagaimana mendapatkan lekapan yang betul

Untuk menguasai cara menyusukan bayi dengan betul, terlebih dahulu para ibu perlu mengetahui teknik lekapan atau dipanggil latch on. Teknik ini adalah untuk kedua-dua puting dan kawasan sekitar areola. Lazimnya areola akan menjadi sedikit gelap ketika anda sedang hamil dan perubahan ini terjadi sebagai petunjuk kepada bayi kawasan yang perlu dihisap untuk memperolehi susu.

Cara untuk melakukan teknik ini adalah dengan meletakkan bayi anda pada sebelah tangan dalam keadaan posisi yang betul dan selesa. Kemudian, pegang payudara dengan menggunakan tangan yang satu lagi dan halakan puting kepada bayi secara perlahan. Tujukan puting ke arah mulut si kecil dan masukkan puting secara perlahan-lahan ke dalam mulut bayi.

Cara lekapan yang betul adalah dengan memastikan kedudukan hujung hidung dan dagu bayi yang bersentuhan dengan payudara anda. Bibir bayi juga perlu berada dalam keadaan selesa ketika menyusu, bukannya dalam keadaan seperti terpaksa.

Untuk menguasai teknik lekapan yang betul mungkin agak sukar untuk dilakukan, namun ia adalah penting dalam cara penyusuan bayi. Ini kerana jika para ibu tidak menguasai teknik lekapan yang sebenar, si manja anda mungkin tidak akan mendapat jumlah kuantiti susu yang mencukupi untuk tumbesaran. Selain itu, puting anda juga akan terdedah kepada risiko untuk mudah terluka ketika proses penyusuan dilakukan.


Tanda-tanda lekapan yang salah

Jika lekapan dilakukan dengan betul, puting ibu tidak mudah cedera kerana puting berada jauh ke dalam mulut bayi. Kebanyakan masalah yang berlaku kepada para ibu adalah disebabkan posisi dan cara lekapan yang tidak betul. Antara tanda–tanda lekapan yang tidak betul dan boleh mengundang masalah sewaktu penyusuan adalah:

  • Puting dalam keadaan leper semasa dikeluarkan dari mulut bayi setelah selesai penyusuan.
  • Sakit di bahagian puting.
  • Terasa sakit di bahagian puting semasa dan selepas penyusuan.
  • Payudara bengkak.
  • Susu tidak dapat dikeluarkan dengan berkesan.

Cara betul untuk menyusukan bayi

1. Persediaan awal sebelum menyusukan bayi

  • Tenangkan diri dan duduk dengan selesa. Pastikan ada sokongan pada bahagian belakang badan, payudara dan tangan ibu.
  • Pegang bayi dengan lembut, kemudian rapatkan bayi ke arah badan dan payu dara ibu. Usahakan bayi untuk membuka mulut dengan luas supaya bayi dapat melekap dengan baik pada puting ibu.
  • Perhatikan kepala dan badan bayi agar sentiasa dalam keadaan lurus.
  • Berikan sokongan pada bahagian belakang dan punggung bayi dengan kemas.

2) 5 Posisi menyusu bayi yang boleh dicuba

Mendukung (cradle): 

Posisi ini amat popular di kalangan para ibu. Posisi ini sangat mudah hanya perlu mendukung sahaja. Posisi ini juga sesuai untuk ibu yang perlu menyusu di luar. Namun, jika lekapan tidak dibuat dengan betul dan sokongan tidak cukup untuk menampung bayi, boleh menyebabkan tangan para ibu menjadi cepat lenguh.

Selain itu, posisi begini tidak sesuai untuk digunakan oleh para ibu yang menghadapi keadaan seperti bersalin secara pembedahan, mengalami masalah puting tenggelam, melahirkan bayi kuning atau tidak cukup bulan.

Mendukung secara bersilang (cross cradle): 

 Posisi ini pula hampir serupa seperti posisi mendukung (cradle) tetapi amat sesuai bagi para ibu yang mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Payudara yang besar
  • Mulut bayi bersaiz kecil
  • Bayi yang baru lahir dan baru belajar menekap
  • Bayi yang tidak dapat menyusu dengan baik
  • Bersalin secara pembedahan

Caranya dengan memegang kepala bayi menggunakan tangan bertentangan daripada sisi payudara yang disusukan jika menyusu daripada payudara kanan, pegang kepala bayi dengan tangan kiri). Pergelangan tangan perlu diletakkan di antara bahu bayi, ibu jari pula menekan payudara.

Posisi mendakap (football): 

Posisi ini juga dikenali sebagai clutch. Posisi ini biasanya kurang lenguh dan sangat membantu bagi ibu yang menghadapi situasi seperti:

  • Bersalin bayi kembar kerana boleh melakukan penyusuan secara serentak
  • Masalah puting rata atau tenggelam
  • Bayi bermulut kecil
  • Payudara besar
  • Bersalin melalui pembedahan

Tambahan lagi, posisi ini sesuai untuk bayi yang suka tidur akibat kuning serta bayi yang tidak cukup bulan.

Berbaring ke belakang:

Posisi ini boleh dikatakan sebagai posisi semula jadi kerana sejurus selepas kelahiran berlaku, bayi akan mencari puting. Posisi ini sesuai bagi bayi yang baru lahir, bayi yang mengalami masalah lekapan dan di saat para ibu ingin berehat.

Posisi mengiring (side-lying):

Antara posisi yang menjadi kegemaran para ibu adalah posisi mengiring. Hal ini kerana disamping menyusu, para ibu juga boleh berehat. Ia juga posisi yang sesuai bagi ibu yang bersalin melalui pembedahan.

Namun begitu, perlu diberi perhatian buat bayi yang masih kecil. Sebaiknya elakkan daripada menggunakan posisi ini ketika bayi masih kecil kerana risau jika ibu tertidur ketika menyusu dan hidung bayi tertutup, perkara ini boleh mengundang bahaya.

Seandainya kejadian hidung bayi tertutup sewaktu menyusu, apa yang perlu dilakukan oleh para ibu hanyalah meninggikan posisi bayi terutama bahagian punggungnya agar kedudukan bayi menjadi lurus dan selari sekaligus dapat melancarkan pengaliran susu.

 

​                                                                            

Bagaimana untuk menilai samada bayi menyusu dengan betul?

  • Mulut bayi terbuka dengan luas.
  • Dagu bayi menyentuh payu dara ibu.
  • Bibir bayi pada bahagian bawah bergulung keluar.
  • Hidung bayi terletak pada payudara dan penafasan bayi berjalan dengan normal.
  • Bayi akan menghisap dan berhenti sejenak dan kemudian menghisap semula. Hisapan dilakukan secara perlahan dan dalam.
  • Para Ibu dapat mendengar bunyi bayi ketika menelan susu.
  • Payudara menjadi semakin lembut semasa penyusuan.
  • Bayi menelan dengan perlahan.
  • Bayi mengalihkan mulut dan badan dari payudara dengan sendiri.
  • Bayi kelihatan tenang selepas menyusu.
  • Najis bayi bertukar warna daripada gelap kepada berwarna kekuningan.
  • Lampin kerap ditukar dalam tempoh beberapa jam sekali.

Kebaikan susu ibu kepada bayi

  • Susu ibu mempunyai nutrien yang terbaik dan mencukupi untuk bayi. Ia dapat melindungi bayi dari jangkitan seperti selsema, bronkitis, cirit birit dan lain-lain.
  • Susu ibu mencegah pelbagai masalah alahan seperti asma dan ekzema.
  • Susu ibu mengandungi nutrien tertentu membantu perkembangan otak. Ia dapat meningkatkan kecerdasan bayi.
  • Ia tidak mudah tercemar jika dibandingkan dengan cara penyusuan lain.
  • Ia memberi keselesaan dan keselamatan emosi kepada bayi.
  • Ketika menyusu, interaksi antara ibu dan bayi berlaku sekaligus mengeratkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak.


Kesimpulan

Memilih posisi penyusuan bayi yang sesuai bergantung kepada keselesaan bayi dan ibu itu sendiri. Jesteru itu, jangan mudah berputus asa andai bayi masih tidak mahir menekap dengan betul tetapi cuba pelbagaikan posisi dan menambah baik teknik penyusuan. Asbab daripada penyusuan yang betul dan berkesan, para ibu dan bayi bersama-sama dapat mengecapi manfaatnya. Selain itu, para ibu juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada kauselor bertauliah dalam bidang ini untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.


Pastikan persoalan anda terjawab berkenaan ibu dan bayi. Doktor pakar ibu dan anak (obstetrician) kami dapat membantu anda.



Rujukan:

Ditulis oleh Mohd Syafiq, Bachelor's Degree In Medicine and Surgery (MBBCh) of Zagazig University, Egypt on

Disemak oleh DoctorOnCall Panel Doctor