8 Cara Mengatasi Hidung Tersumbat Pada Bayi Yang Anda Perlu Tahu
Jika anda ibu bapa yang mempunyai anak yang masih kecil, tentu anda pernah mengalami masalah bayi meragam, kerana hidung tersumbat. Sesetengah bayi yang mempunyai mukus yang banyak secara semula jadi semasa 6 bulan pertama usianya dan ini adalah normal. Namun ia mungkin mengganggu tidurnya atau menyukarkan bayi untuk menyusu.
Bayi juga boleh mengalami masalah hidung tersumbat akibat selsema. Bagi bayi yang mempunyai mukus yang banyak, jangkitan boleh memburukkan keadaan kerana bayi juga boleh mengalami kesukaran bernafas.
Bayi yang mempunyai masalah hidung tersumbat boleh menunjukkan gejala seperti:
Nafas berbunyi ketika tidur atau tidur berdengkur
Hidung bayi tersumbat dan berbunyi apabila bernafas
Banyak lendiran keluar dari hidung
Sukar menyusu
Kerap meragam atau menangis
Sukar tidur dengan nyenyak
Batuk
Pernafasan cepat dan kerap (sniffling)
Bawa bayi ke klinik atau hospital dengan segera jika bayi demam panas, batuk atau mengalami kesukaran bernafas.
Bagaimana Cara Melegakan Hidung Bayi Yang Tersumbat?
Bayi yang hidungnya tersumbat akan berasa tidak selesa. Mereka juga sukar minum susu dan tidur sekaligus menyebabkan mereka meragam dan ibu bapa juga tentu bimbang dan tidak dapat tidur malam. Mari ikuti perkongsian kami tentang cara-cara melegakan hidung tersumbat bayi anda.
1. Alat Sedutan Lendir
Anda boleh mendapatkan alat sedutan ini di mana-mana farmasi atau kedai peralatan bayi. Cara menggunakan alat ini adalah mudah. Namun ia bergantung kepada jenisnya. Baca risalah panduan penggunaan alat sebelum menggunakannya pada bayi anda.
Kebiasaanya, alat ini digunakan dengan memicit alat pam sebelum memasukkan corong kecil ke hidung bayi. Pastikan tidak terlalu dalam sehingga menyakiti bayi anda. Kemudian lepaskan picitan dan lendiran dalam hidung anak anda akan disedut ke dalam alat ini.
Sesetengah alat penyedut mempunyai tiub kecil panjang yang memerlukan anda untuk menyedutnya secara manual. Ini akan merendahkan tekanan dalam aspirator dan lendiran dalam hidung bayi akan disedut masuk ke dalam bekas.
2. Gunakan Bilasan Air Garam / Saline
Semburan atau titisan air garam yang juga dipanggil bilasan saline ini boleh mencairkan hingus atau lendiran dalam hidung bayi. Ini memudahkan lendiran yang menyumbat hidung bayi keluar dan melegakan pernafasan bayi.
Titisan atau semburan ini boleh didapati di farmasi, elakkan membuatnya sendiri kerana khuatir bancuhan anda buat tidak sesuai atau tidak cukup bersih. Pastikan anda membaca risalah panduan penggunaan sebelum menggunakkannya pada bayi anda. Anda juga boleh menggunakan alat penyedut selepas menggunakan cecair bilasan saline ini bagi membersihkan lendiran di dalam hidung bayi.
3. Teknik Wap Panas
Wap panas mampu mencairkan lendiran dalam hidung bayi anda. Namun perlu berhati-hati jika ingin menggunakan teknik ini agar anda atau bayi anda tidak melecur semasa proses rawatan.
Selain menggunakan wap daripada air panas, anda juga boleh lakukakn teknik ini dengan membiarkan air panas dari pancuran mengalir ketika pintu bilik air tertutup. Setelah beberapa ketika bawa bayi anda ke bilik air yang dipenuhi wap panas ini dan mandikannya dengan air suam.
4. Gunakan Pelembap Udara (Air Humidifier)
humidifier atau pelembap udara juga membantu melegakan hidung tersumbat anak anda. Alat ini menambahkan kelembapan udara dan memudahkan pencairan di dalam hidung. Ia juga membantu agar hidung bayi yang sensitif tidak mudah kering sekaligus mengelakkan iritasi.
Anda boleh letakkan alat ini di dalam bilik tidur atau bilik mainan bayi anda untuk memberi kelegaan daripada hidung tersumbat. Titisan pati minyak atau minyak essential juga boleh ditambah ke dalam sesetengah humidifier yang juga dipanggil diffuser.
5. Teknik Tepukan Atau Percussion
Lendiran atau kahak juga boleh berkumpul di dalam saluran pernafasan. Untuk menguraikan lendir yang terkumpul, ibu bapa boleh gunakan teknik percussion iaitu menepuk belakang anak dengan tangan.
Tepukan yang dilakukan adalah dengan tangan yang berbentuk cupping dan bukannya leper. Ini tidak menyakitkan bayi. Lakukan ini ketika bayi meniarap dengan bantal lembut di alas pada perut. Pastikan hidung bayi anda tidak tertutup. Lakukan percussion selama 15 minit pada bahagian belakang bayi.
Pastikan anda tidak melakukan tepukan ini selepas bayi baru sahaja minum susu, ini boleh menyebabkan bayi muntah.
6. Urutan Wajah Dan Hidung Bayi
Bukan orang dewasa sahaja suka diurut. Bayi juga gemar diurut. Mengurut wajah dan bahagian hidung mereka boleh melonggarkan lendiran di dalam hidung dan memudahkan ia keluar. Ini membantu melegakan hidung bayi anda. Ini juga adalah salah satu petua hidung bayi tersumbat.
Urutan juga boleh dilakukan perlahan-lahan pada perut, dada, belakang, kaki dan juga tangan untuk memberi keselesaan dan merangsang deria bayi anda. Tetapi ingat kulit dan tubuh bayi lebih sensitif, jangan letak minyak atau bahan kimia sebarangan kerana mungkin boleh membahayakan bayi anda.
7. Pastikan Bayi Terhidrat Secukupnya
Bayi yang hidungnya tersumbat mungkin sukar untuk minum susu. Oleh itu, anda perlu pastikan bayi anda tidak mengalami dehidrasi dengan menyusukan bayi anda dengan kerap.
Periksa lampin pakai buang untuk memastikan bayi anda kencing. Bayi yang tidak kencing mungkin menandakan kekurangan air dalam tubuhnya. Sila bawa anak anda berjumpa doktor jika ini berlaku.
8. Tinggikan Kepala Bayi Ketika Tidur
Posisi tidur bayi hidung tersumbat juga penting untuk anda ketahui. Bayi yang dibirkan tidur menelentang biasanya lebih mudah mengalami hidung tersumbat. Oleh itu, alaskan kepala bayi dengan bantal bagi mengurangkan gejala ini.
Anda juga perlu meninggikan kepala bayi dari badannya ketika memberinya susu supaya bayi anda tidak mudah tersedak dan lebih mudah bernafas.
Perkara Yang Anda Perlu Elakkan Jika Hidung Bayi Tersumbat
1. Memberi Madu
Madu sememangnya diketahui mempunyai banyak khasiat. Namun begitu, madu boleh mengandungi bakteria yang dinamakan clostridium botulinum yang boleh menyebabkan keracunan pada bayi. Madu tidak disarankan untuk diberi kepada bayi bawah 1 tahun.
2. Menggunakan Vapour Rub Atau Balm
Kebanyakan produk berangin atau sejuk mengandungi bahan seperti camphor, eucalyptus atau menthol yang merbahaya kepada bayi dan kanak-kanak. Bayi yang keracunan bahan ini boleh mengalami sawan dan menyebabkan kematian.
3. Memberi Air Kosong
Bayi berusia kurang dari 6 bulan hanya boleh minum susu ibu atau susu formula sahaja. Jangan berikan air kosong kepada bayi berusia bawah 6 bulan. Ini boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan menyebabkan bayi kekurangan nutrisi.
4. Memberi Ubat Selsema Tanpa Merujuk Doktor
Kebanyakan ubat selsema biasanya tidak disarankan untuk diambil oleh kanak-kanak bawah 4 tahun. Oleh itu, pastikan anda merujuk bayi atau anak anda kepada doktor bagi mendapatkan rawatan yang sesuai
5. Mendedahkan Anak Dengan Asap
Walaupun anak anda tidak selsema atau mengalami hidung tersumbat, mendedahkan anak anda kepada asap terutamanya asap rokok, boleh menyebabkan masalah pernafasan dan paru-paru.
Perkara penting yang anda perlu ingat apabila anak anda sakit atau mengalami gejala seperti hidung tersumbat, bawa mereka berjumpa doktor secepat yang mungkin agar keadaan mereka tidak melarat. Penting juga untuk anda sentiasa mengawasi keadaan anak anda dan segera bawa mereka ke hospital jika terdapat tanda-tanda membimbangkan seperti sesak nafas dan lain-lain.