Penyakit tangan, kaki dan mulut atau singkatan dalam bahasa Inggerisnya HFMD adalah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus. Terdapat beberapa jenis virus yang telah dikenalpasti sebagai punca kepada berlakunya penyakit ini seperti Coxsackie dan Enterovirus. Dalam kedua-dua jenis virus ini pun, terdapat beberapa sub-kelas yang menyebabkan jangkitan HFMD kepada seseorang. Penyakit tangan kaki dan mulut orang dewasa dan juga penyakit HFMD kanak-kanak kedua-duanya disebabkan oleh kumpulan virus yang sama.
Adakah Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut Berbahaya Kepada Ibu Hamil Dan Bayi?
Salam sejahtera doktor. Nama saya Hafizah dan saya berumur 29 tahun. Saya baru sahaja mengandung 6 minggu. Saya mula merasa risau dengan gejala yang saya alami ini. Saya mula rasa tidak selesa dan sakit didalam mulut saya sejak beberapa hari lepas. Disebabkan itu, saya sukar untuk makan dan minum. Kemudian saya mula perasan tangan dan kaki saya mempunyai bintik-bintik merah dan kemudian berisi air. Ia sangat menyakitkan dan menyebabkan saya berasa lemah sangat. Saya ada bersama dengan anak saudara saya minggu lepas yang kami syak dia mempunyai cacar air. Saya sudah mengalami cacar air ini waktu sekolah rendah dahulu. Adakah saya mempunyai cacar air sekali lagi? Harap doktor dapat membantu saya. Sekian
Salam sejahtera dan terima kasih kepada Puan Hafizah yang bertanyakan soalan. Berdasarkan keterangan yang anda berikan, terdapat beberapa kondisi yang mungkin menyebabkan keadaan yang dialami puan seperti cacar air (“chicken pox”), jangkitan herpes, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) ataupun erythema multiforme. Kebarangkalian untuk puan mendapat semula cacar air adalah rendah berikutan puan pernah mendapatnya sebelum ini. Oleh itu, keadaan yang mungkin dialami puan adalah disebabkan oleh HFMD. Saya akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai HFMD dalam artikel dibawah.
Akhir kata, penyakit tangan, kaki dan mulut ini adalah penyakit yang sangat mudah untuk kita sama-sama mencegah dan menjauhinya sekiranya banyak pihak termasuklah kita memainkan peranan kita terutamanya dalam aspek kebersihan.
Apakah HFMD Dan Apa Yang Menyebabkannya?
Boleh Doktor Terangkan Bagaimana Gejala Atau Tanda HFMD Akan Timbul Kepada Seseorang?
Bagi gejala atau tanda-tanda HFMD dewasa, mereka tidak akan menunjukkan sebarang simptom atau tanda sehinggalah 3-5 hari dijangkiti virus ini. Berikut adalah tanda-tanda dan simptom bagi HFMD bagi orang dewasa dan kanak-kanak:
- Bintik-bintik berisi air (lepuh) yang bermula samada didalam mulut, ditangan, dikaki ataupun dipunggung. Lepuh yang timbul ini sangat sakit dan boleh menyebabkkan kesukaran pergerakan atau makan dan minum. Hal ini amat jelas dilihat pada bayi atau kanak-kanak dimana mereka akan mengelak daripada makan dan minum berbanding mengadu sakit.
- Demam - gejala ini sangat jarang berlaku baik pada orang dewasa mahupun pada kanak-kanak. Suhu demam pada kebiasaannya tidak melebihi 38.3°C.
- Sakit perut, cirit-birit dan muntah - gejala-gejala yang disebutkan ini tidak berapa kerap terjadi kepada pesakit HFMD dan sekiranya berlaku, ianya adalah sebelum timbulnya lepuh.
Siapakah golongan yang berisiko untuk mendapat jangkitan ini?
Orang dewasa yang sihat sebenarnya sukar untuk mendapat jangkitan ini. Oleh yang demikian, kebiasaannya penyakit ini akan dilihat pada golongan-golongan berisiko seperti:
- Kanak-kanak - boleh seawal usia bayi berbulan hinggalah remaja belasan tahun
- Perempuan mengandung - oleh sebab sistem imun wanita mengandung sedikit lemah, mereka lebih mudah untuk dijangkiti oleh virus-virus ini
- Warga tua - hal yang sama juga boleh dikatakan mengenai keadaan sistem imun warga tua yang lemah berbanding orang muda
- Pesakit imun lemah seperti pesakit kanser dan HIV/AIDS
Bagaimana Doktor Boleh Mendiagnos Atau Mendapat Kepastian Jangkitan HFMD Ini?
Penyakit tangan, kaki dan mulut ini tidak memerlukan diagnosis yang kompleks bagi doktor seperti melakukan ujian makmal dan sebagainya. Dalam dunia perubatan, penyakit ini dikenalpasti berdasarkan ciri-ciri klasik yang dialami oleh pesakit seperti yang dinyatakan diatas. Oleh yang demikian, ianya mendapat diagnosis secara klinikal iaitu tanpa ujian tambahan atau makmal. Dalam sesetengah kes dimana gejala atau tanda yang wujud adalah lain daripada kebiasaan, maka doktor akan mengambil sampel daripada kawasan lepuhan untuk dihantar ke makmal bagi tujuan pengesahan virus pencetus.
Boleh Doktor Terangkan Bagaimana Virus Ini Merebak Dan Menjangkiti Seseorang?
HFMD adalah sejenis penyakit berjangkit dan HFMD boleh berjangkit melalui beberapa cara seperti:
- Air liur
- Hingus dari hidung
- Cecair daripada lepuhan atau bintik-bintik jangkitan
- Kesan daripada najis
Bagaimana Saya Atau Institusi-Institusi Berkaitan Boleh Memainkan Peranan Dalam Mencegah Penyakit Ini?
Seperti yang dinyatakan diatas mengenai cara penyebaran virus ini serta golongan yang berisiko yang mudah mendapat jangkitan HFMD ini, maka pentinglah untuk kita sama-sama mengambil langkah proaktif dalam membendung penularan virus penyebab jangkitan ini. Antara langkah yang boleh diambil adalah seperti:
- Penjagaan kebersihan- Setiap daripada kita tidak kira tua atau muda, perlu bersama-sama belajar cara-cara membasuh tangan dengan efektif seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan menggunakan sabun dan air. Hal ini penting bagi golongan berisiko yang disebutkan terutamanya selepas menggunakan tandas, makan ataupun berinteraksi dengan suspek yang dijangkiti HFMD.
- Peranan institusi penjagaan kanak-kanak dan sekolah - oleh sebab kebanyakkan kes adalah melibatkan mereka, institusi yang bertanggungjawab dalam menjaga mereka perlu mengambil inisiatif tambahan dalam pembendungan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut ini. Mereka boleh memastikan segala garis panduan yang dikeluarkan oleh KKM diikuti dengan rapi.
- Pengasingan - prosedur ini adalah menjadi kebiasaan bagi institusi kesihatan seperti hospital dan boleh diadaptasi bagi orang ramai dengan memastikan mereka yang dijangkiti tidak terdedah kepada orang lain sebaik mungkin.
- Memakai topeng muka - hal ini tidaklah begitu efektif dalam mencegah penularan penyakit ini, namun ianya boleh dipakai apabila ia menjadi wabak di sesuatu kawasan.
Adakah Terdapat Rawatan Bagi Penyakit Ini? Dan Bolehkah Ianya Dirawat Di Rumah?
Kebanyakkan penyakit berjangkit mempunyai ubat, namun ubat HFMD tidak ada rawatan melainkan hanya rawatan sokongan. Rawatan sokongan bermaksud rawatan yang berfokuskan untuk merawat simptom sahaja. Antara rawatan sokongan adalah:
- Ubat tahan sakit - seperti Paracetamol dan Ibuprofen. Ubat seperti Aspirin tidak dibenarkan bagi remaja dan kanak-kanak bawah umur 16 tahun kerana risiko Sindrom Reye.
- Hidrasi dan nutrisi - pesakit yang mempunyai sakit tekak, muntah atau cirit-birit terutamanya kanak-kanak perlu dipastikan agar tidak mendapatkan dihidrasi kerana ianya boleh membahayakan kesihatan mereka. Makanan sejuk seperti aiskrim boleh diambil kerana ianya dapat membantu mengurangkan kesakitan dalam mulut.
Bilakah Perlu Saya Atau Pesakit Perlu Ke Hospital Jika Perlu? Dan Apakah Komplikasi Bagi HFMD?
Oleh sebab penyakit ini hanya memerlukan rehat dan ubat tahan sakit yang boleh dibeli di farmasi mahupun kedai runcit, maka ianya jarang sekali memerlukan rawatan di hospital. Anda boleh membawa anak anda yang mendapat jangkitan ini sekiranya mereka mengalami simptom dihidrasi seperti sukar buang air kecil ataupun sangat lemah. Pesakit juga perlu mendapatkan rawatan sekiranya mendapat komplikasi daripada penyakit ini. Komplikasi adalah teramat jarang berlaku dan sekiranya berlaku, ianya adalah seperti:
- Kelumpuhan - juga dikenali sebagai “Acute Flaccid Paralysis”
- Jangkitan dalam otak - seperti “Encephalitis” atau “Meningitis”
- Radang jantung (“Myocarditis”)
References