Nefrotik sindrom adalah gejala kencing yang mempunyai lebihan protein. Lebihan protein di dalam air kencing yang dimaksudkan perlu melebihi 50ml/kg sehari. Selain itu, kondisi ini juga memerlukan kriteria seperti kurang albumin dalam darah iaitu kurang daripada 3g/dL. Kedua-dua kriteria ini adalah penting untuk pengesahan gejala nefrotik ini dan memerlukan pengesahan makmal. Sebagai orang umum, kita mungkin tidak sedar akan bahaya protein di dalam air kencing, jika dibiarkan, kondisi ini boleh menyebabkan komplikasi yang teruk pada buah pinggang.
Perlukah Saya Berwaspada Dengan Gejala Dan Bahaya Sindrom Nefrotik?
Salam doktor, nama saya Sarah dan saya mempunyai soalan berkaitan tentang masalah kesihatan anak saya. Anak saya berusia 7 tahun, lelaki dan sangat aktif di sekolah dan rumah. Pada minggu lepas, anak saya mempunyai selesema selama 5 hari dan 2 hari yang lepas apabila anak saya bangun dari tidur, saya dan suami perasan bahawa anak kami mempunyai bengkak di sekeliling mata serta di tangan dan kakinya. Bengkak tersebut seperti mempunyai air di dalamnya dan tidak berwarna gelap mahupun merah.
Kami bersangka pada asalnya mungkin ia disebabkan oleh gigitan serangga atau alahan pada debu atau makanan kerana abangnya mempunyai alahan. Namun pada esoknya, bengkak tersebut masih tidak surut bahkan anak kami mula mengalami sesak nafas sedikit. Kami segera membawa anak kami ke hospital dan doktor memberitahu kami bahawa anak kami mempunyai sindrom nefrotik. Boleh doktor terangkan dengan lebih lanjut mengenai kondisi ini? Terima kasih.
Salam sejahtera puan. Terima kasih atas soalan yang diajukan. Berdasarkan maklumat yang puan berikan, beberapa kemungkinan diagnosis boleh diberikan mengenai keadaan yang dialami oleh anak anda seperti alahan, serangan asma, sindrom nefrotik ataupun kegagalan jantung (sekiranya pernah mempunyai diagnosis masalah jantung). Oleh sebab doktor di hospital telahpun membuat siasatan dan mempunyai diagnosis mereka, puan dinasihatkan untuk mengikuti langkah-langkah penjagaan yang disarankan oleh doktor bagi kondisi anak anda. Maklumat lanjut mengenai penyakit ini akan dijelaskan dengan lebih mendalam di artikel bawah
.Apakah yang perlu anda ketahui tentang bahaya Sindrom Nefrotik?
Mengapa dan apakah punca-punca anak saya mendapat sindrom nefrotik?
Sindrom nefrotik pada kanak-kanak dan sindrom nefrotik pada dewasa mempunyai persamaan dan juga sedikit perbezaan dari segi punca-puncanya. Secara am, gejala ini boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu punca primer dan punca sekunder.
- Sindrom Nefrotik Primer
Punca primer adalah keadaan apabila tiada penyebab-penyebab sistemik (penyakit lain) dapat dikesan. Ia juga diklasifikasikan sebagai sindrom nefrotik idiopatik dan merangkumi kondisi seperti “Minimal Change Disease (MCD)” dan “Focal-Segmental Glomerulosclerosis (FSGS)”. Perkara yang anda perlu ketahui di sini adalah punca primer merupakan penyebab majoriti kepada kes dalam kanak-kanak dengan kadar kes melebihi 90%. Tidak banyak yang diketahui mengenai punca primer sindrom nefrotik. Namun apa yang dapat dirumuskan oleh pakar mengenai kondisi ini adalah kegagalan faktor imun menyebabkan serangan pada tisu glomerulus dalam buah pinggang. Kami dan doktor-doktor lebih melihat gejala ini pada kanak-kanak berbanding dengan orang dewasa dan kebiasaannya terjadi dengan pencetus seperti jangkitan kuman atau selesema. - Sindrom Nefrotik Sekunder
Punca sekunder adalah disebabkan oleh kerosakan pada tisu glomerulus dalam buah pinggang. Glomerulus berfungsi sebagai penapis dalam buah pinggang dan kerosakan boleh berlaku akibat sesetengah penyakit kronik seperti kencing manis dan Lupus (SLE). Punca sekunder sindrom nefrotik biasanya dialami oleh orang dewasa. Walaubagaimanapun hal ini tidak bermaksud penyebab-penyebab primer tidak akan menjejaskan orang dewasa.
Bagaimanakah saya boleh mengecam gejala-gejala Sindrom Nefrotik?
Antara tanda-tanda sindrom nefrotik adalah:
- Bengkak (edema) - Jenis bengkak yang dialami pesakit sindrom ini adalah bengkak air. Bengkak air ini terjadi akibat ketidakseimbangan protein dan cecair di dalam saluran darah yang menyebabkan limpahan ke kawasan anggota seperti bawah mata, kaki, tangan dan paru-paru. Bengkak air adalah mudah untuk dikenalpasti jika kita menekan kawasan bengkak ini, ianya akan terasa seperti belon berisi air dan mempunyai lekuk yang lambat untuk kembali anjal.
- Tekanan darah tinggi - Gejala ini jarang terjadi dan merupakan gejala kepada sindrom nefritik. Sindrom nefrotik dan nefritik adalah dua kondisi berlainan yang mempunyai banyak punca yang serupa.
- Kencing berdarah - Simptom ini mungkin sangat membimbangkan kebanyakkan pesakit dan ibu bapa. Ianya jarang terjadi kerana ia merupakan komplikasi akibat tidak dirawat awal.
- Kencing berbuih - Simptom ini adalah antara simptom klasik bagi sindrom ini namun tidak berapa tepat untuk dirujuk sebagai simptom kepada sindrom nefrotik kerana pelbagai perkara boleh menyebabkan kencing berbuih selain daripada protein dalam urin.
Bagaimanakah kondisi ini disahkan? Adakah ujian lain bagi kondisi ini?
- Analisis air kencing - bagi memeriksa kandungan protein dalam air kencing untuk tujuan diagnosis.
- Ujian darah - untuk memeriksa komponen albumin, lemak, penanda keradangan dan tahap sel darah yang penting bagi diagnosis dan pengecaman punca.
- Biopsi - biopsi adalah kaedah pengsampelan tisu yang diambil dari pesakit. Prosedur ini adalah jarang dilakukan dan tidak semua pesakit sindrom ini memerlukannya. Hasil biopsi adalah berguna bagi pengesahan diagnosis serta pemilihan rawatan yang bersesuaian.
- Ujian Hepatitis B, C dan HIV - sesetengah pesakit yang mempunyai jangkitan penyakit-penyakit ini juga boleh mempunyai sindrom nefrotik berikutan kerosakan pada buah pinggang mereka.
Apakah cara saya/anak saya boleh sembuh daripada sindrom nefrotik?
Rawatan sindrom nefrotik pada masa kini adalah lebih fokus pada menangani masalah sel darah putih. Pelbagai ubat pembendung sel darah putih boleh diberikan mengikut kesesuaian pesakit seperti:
- Ubat steroid - Kortikosteroid adalah hormon yang berfungsi membendung sel darah putih serta faktor-faktor keradangan. Prednisolone adalah ubat kortikosteroid yang sering kali digunakan untuk merawat gejala sindrom nefrotik dalam kalangan pesakit. Anda atau pesakit akan diberikan ubat ini untuk durasi di antara 30 hari hingga 3 bulan atau lebih bergantung kepada respons pesakit. Ubat steroid mempunyai kesan-kesan sampingan yang kita perlu risaukan jika digunakan untuk tempoh yang lama seperti kerapuhan tulang, depresi, kenaikan berat badan dan lemah badan. Oleh sebab itu, ubat steroid tidak digunakan sebagai ubat jangka panjang dan sering ditukar dengan ubat pengganti steroid.
- Ejen pengganti steroid - Seperti yang kita maklum, ubat steroid tidak boleh digunakan secara berpanjangan kerana dikhuatiri kesan-kesan negatifnya. Hasil daripada kebimbangan ini, rawatan-rawatan pengganti steroid (“Steroid-Sparing Agents) juga menjadi alternatif. Apakah rawatan nephrotic syndrome ini berbahaya? Rawatan ini pada umumnya mempunyai kesan negatifnya tersendiri namun lebih sesuai digunakan untuk jangka masa panjang berbanding ubat steroid biasa. Antara nama-nama ubat bagi kategori ini adalah seperti “mycophenalate mofetil”, “tacrolimus” dan “rituximab”. Anda tidak perlu bimbang akan pilihan-pilhan ubat ini kerana setiap pilihan akan diterangkan dengan lebih lanjut antara anda dan pakar buah pinggang anda.
- Adakah terdapat cara pencegahan sindrom nefrotik? Kemungkinan dalam kalangan kita ada mendengar mengenai makanan untuk pesakit sindrom nefrotik. Makanan untuk sindrom nefrotik adalah seperti makanan orang biasa. Sehingga kini tiada bukti kukuh untuk menyokong sebarang diet khas bagi pesakit kondisi buah pinggang ini berikutan durasinya yang tidak begitu panjang.
Bilakah anda atau anak anda perlu berjumpa dengan pakar/doktor?
Sebagai ibu bapa, semestinya kita akan berasa risau sekiranya anak kita ditimpa sakit. Sekiranya anda mengenalpasti simptom-simptom yang disebutkan di atas terjadi kepada anda mahupun anak-anak anda seperti bengkak di muka, mata, tangan dan kaki serta masalah membuang air kecil seperti kencing berdarah atau berbuih, maka anda dinasihatkan untuk segera ke klinik untuk pemeriksaan lanjut. Penyakit ini mempunyai prognosis yang baik bagi majoriti pesakit dan disebabkan itu, pemeriksaan dan rawatan awal adalah amat disyorkan.
Akhir kata, sindrom nefrotik adalah kondisi yang boleh disebabkan oleh berbagai punca yang juga boleh dirawat dengan kaedah perubatan moden yang terkini. Kami menyarankan diskusi bersama pakar/doktor bagi mendapatkan info yang lebih berfokuskan kepada individu bagi kelancaran rawatan.