Ketahui Pelbagai Jenis Ujian Untuk Diagnosis & Pantauan Kencing Manis

Bacaan Gula Normal Dan Kencing Manis (Diabetes) - DoctorOnCall

Diabetes mellitus, ataupun kencing manis adalah penyakit di mana tahap gula dalam darah tinggi serta perlu dikawal. Sekurang-kurangnya 3.6 juta orang di Malaysia telah dikenal pasti menghadapi penyakit kencing manis pada masa kini.

Kencing manis dahulunya mungkin dikenali sebagai penyakit warga emas, tetapi semakin ramai mereka yang muda turut mengalami masalah ini. Selain daripada faktor genetik, penyakit kencing manis ini juga banyak berkaitan dengan kegemukan dan gaya hidup yang tidak sihat. 

Bagaimana Anda Boleh Mengetahui Jika Anda Menghidap Kencing Manis?

Penyakit kencing manis biasanya tidak mempunyai gejala yang ketara. Oleh itu, semua orang amat digalakkan untuk melakukan saringan kesihatan secara berkala. Jadi, apakah ujian-ujian yang mengesan penyakit kencing manis?

Gula Darah Rawak

Ujian ini digunakan untuk mengukur tahap gula darah secara rawak. Maksudnya sampel darah boleh diambil pada bila-bila masa serta pengaruh makanan tidak diambil kira. Julat normal untuk gula darah secara rawak ialah 7.8 mmol/L hingga 11.1 mmol/L.

Keputusan ujian gula darah rawak ini biasanya tidak digunakan sebagai ujian untuk membuat diagnosis penyakit kencing manis, tetapi salah satu bacaan untuk memantau gula dalam darah secara rutin.

Gula darah berpuasa (FBS)

Pengambilan darah untuk ujian ini memerlukan anda berpuasa selama 8 hingga 12 jam atau selama semalam sebelum hari ujian. Anda hanya dibenarkan untuk minum air kosong ketika berpuasa. 

Tahap gula darah berpuasa melebihi 7.0 mmol/L adalah kriteria untuk mengenal pasti penyakit kencing manis. Sekiranya seseorang mempunyai gejala kencing manis, hanya satu bacaan ujian ini yang melebihi 7.0 mmol/L sudah dapat dianggap memenuhi kriteria diagnosis penyakit ini. 

Bagi mereka yang tiada gejala, ujian darah berpuasa ini memerlukan 2 kali bacaan yang melebihi 7.0 mmol/L untuk doktor mengesahkan penyakit kencing manis.

Ujian Toleransi Gula

Ujian ini biasanya digunakan dalam kes yang kurang jelas untuk menentukan bahawa seseorang mengalami penyakit kencing manis atau tidak. Contohnya, individu yang mempunyai keputusan gula darah berpuasa dalam julat gula normal tetapi mempunyai gejala penyakit kencing manis seperti glikosuria (gula dalam air kencing), poliuria (kerap kencing) dan polydipsia (kerap minum air).

Ujian toleransi gula memerlukan seseorang individu untuk berpuasa selama 8 hingga 12 jam semalam sebelum hari ujian. Selepas itu, sampel darah berpuasa, FBS akan diambil dan minuman glukosa yang mengandungi 75g larutan glukosa akan diberikan untuk diminum segera. Kemudian, sampel darah kedua 2-HPP iaitu sampel 2 jam selepas minum air gula akan diambil.

Julat keputusan ujian toleransi gula adalah seperti yang berikut.

 

Paras Gula berpuasa (FBS)

2 jam post-prandial (2-HPP)

Normal

﹤7.0mmol/L

﹤7.8mmol/L

Glucose intolerance

﹤7.0mmol/L

7.8mmol/L - 11.1mmol/L

Diabetes mellitus

≥ 7.0mmol/L

≥ 11.1mmol/L

Ujian Makmal untuk Memantau Rawatan Penyakit Kencing Manis 

Hemoglobin Glukosa (HbA1c)

Ujian ini banyak digunakan untuk memantau pesakit kencing manis. Ujian ini mengukur tahap gula dalam darah secara purata sepanjang 3 bulan sebelumnya. Ujian ini tidak memerlukan anda untuk berpuasa dan sampel darah boleh diambil pada bila-bila masa sahaja.

HbA1c terbentuk apabila hemoglobin, iaitu protein dalam sel darah merah bergabung dengan glukosa, gula. HbA1c ini berfungsi untuk menghantar glukosa ke seluruh badan sebagai sumber tenaga. HbA1c yang berlebihan akan bergabung dengan glukosa pada tahap yang tinggi menyebabkan bacaan gula darah naik dalam pesakit kencing manis.

Selain itu, disebabkan jangka hayat sel-sel darah merah adalah sekurang-kurangnya 120 hari, ujian HbA1c ini dapat memberikan gambaran tahap glukosa darah yang tepat tepat sepanjang tiga hingga empat bulan sebelumnya.

Individu tanpa kencing manis biasanya mempunyai bacaan HbA1c tidak melebihi 5.6 peratus dan individu dengan kawalan yang baik mempunyai bacaan HbA1c tidak melebihi 6.5 peratus. Individu dengan diabetes yang tidak terkawal pula biasanya mempunyai bacaan melebihi 6.5%.

Glukosa Air Kencing


Ujian ini mengukur kandungan gula dalam air kencing, gejala umum kencing manis yang disebut glikosuria. Ujian ini biasanya menggunakan jalur uji yang akan menghasilkan perubahan warna setelah reaksi dengan glukosa dalam air kencing. Ujian ini juga boleh dilakukan di rumah menggunakan kit ujian komersial yang ada di pasaran.

Individu normal yang tidak mengandungi gula dalam air kencing, manakala pesakit kencing manis yang mempunyai tahap glukosa darah tinggi akan menghasilkan limpahan glukosa ke dalam air kencing. 

Ujian Yang Anda Boleh Lakukan Sendiri Di Rumah

 

Tahap gula darah boleh dipantau dari rumah dengan mudah menggunakan sebuah alat mesin yang dikenali sebagai glukometer. Alat mesin ini mengukur tahap gula darah menggunakan sampel darah diambil dari jari yang dicucuk dengan jarum khas. Keputusan ujian dengan mesin ini bagaimanapun boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor.

  • Langkah cara seseorang menggunakan mesin ini

  • Kandungan sampel darah yang mengganggu ukuran seperti kepekatan lemak yang tinggi dan sesetengah ubat.

  • Pesakit anemia (penyakit kurang darah)

  • Kerosakan pada glukometer dan jalur pengukur

  • Alat mesin glukometer yang berlainan jenama

Oleh itu, bacaan kencing manis alat mesin glukometer tunjukkan hanya boleh digunakan sebagai rujukan serta pantauan pesakit sendiri. Untuk keputusan gula darah yang tepat, pesakit kencing manis masih dinasihatkan untuk menjalani ujian gula darah di makmal secara rutin.

Siapa yang perlukan ujian bacaan kencing manis?

Sepatutnya, semua individu perlu menjalani ujian saringan kencing manis secara berkala. Hal ini kerana gaya hidup, pemakanan serta faktor lain seperti kurang bersenam menyebabkan ramai individu berisiko tinggi untuk menghidap penyakit kencing manis. Namun, KKM telah mengeluarkan garis panduan untuk mereka yang disarankan untuk menjalani saringan penyakit kencing manis seperti berikut:

1. Individu yang mempunyai gejala kencing manis

Contoh gejala kencing manis adalah:

  • Poliuria (sering membuang air kecil)

  • Polidipsia (kerap berasa dahaga)

  • Polifagia (kerap terasa kelaparan)

  • Keletihan

  • Kelesuan

  • Penurunan berat badan

  • Pruritus vulva

  • Balanitis

2. Individu tanpa gejala berisiko tinggi

  • Berat badan berlebihan atau kegemukan (BMI melebihi 23 kg/m2 atau pinggang lilitan melebihi 80 cm untuk wanita dan 90 cm untuk lelaki)

  • Ahli-ahli keluarga dengan penyakit kencing manis

  • Sejarah penyakit kardiovaskular

  • Darah tinggi

  • Hiperkolesterolemia

  • Glukosa intoleransi atau ujian gula darah berpuasa yang tidak memuaskan

  • Wanita dengan sindrom ovarium polikistik

  • Penyakit lain yang berkaitan dengan kepincangan insulin seperti penyakit kelenjar

  • Semua wanita mengandung (bacaan kencing manis ketika hamil mungkin akan terjejas sebab hormon-hormon yang dihasilkan)

3. Individu tanpa faktor risiko serta berusia 30 tahun ke atas.

Sekiranya ujian bacaan normal, ujian kencing manis ini perlu diulang pada setiap tahun.

Apa Yang Anda Perlu Awasi Jika Menghidap Kencing Manis

Terdapat beberapa perkara yang perlu diawasi oleh pesakit kencing manis selain memantau bacaan gula dalam darah setiap hari. 

Hipoglisemia

Hipoglisemia adalah kondisi di mana tahap glukosa plasma rendah daripada 4.0mmol/L serta timbulan gejala autonomi atau neuroglikopenik.

Gejalanya termasuklah, pitam, berpeluh sejuk dan menggigil. Sekiranya ini berlaku, anda boleh cuba makan gula-gula atau minuman gula dan menunggu selama 15 minit. Anda boleh mengulangi langkah ini sebanyak 2 kali.

Jika gejala serta bacaan gula darah tidak berubah atau terjadi teruk, sila dapatkan bantuan dari jabatan kecemasan hospital dengan segera. Perkara ini sering berlaku kepada pesakit yang mengambil insulin atau ubat kencing manis tetapi tidak menjaga waktu makan dengan betul menyebabkan paras gula yang rendah dalam darah.

Sesetengah ubat juga boleh menyebabkan kesan sampingan ini. Oleh itu rujuk doktor anda jika anda kerap mengalami gejala hipoglisemia.

Hiperglisemia

Hiperglikemia adalah kondisi di mana tahap gula darah terlalu tinggi serta menyebabkan gejala yang membimbangkan. Contohnya:

  • Ketoasidosis diabetes (diabetic ketoacidosis, DKA) jika tahap glukosa darah kapilari melebihi 11.1 mmol/L, keton kapilari melebihi 3 mmol/L atau keton urin bertahap 2+, serta pH vena kurang daripada 7.3 atau bikarbonat rendah daripada 15 mmol / L.

  • Keadaan hiperglikemia hiperglikemia (hyperglycaemic hyperosmolar state, HHS) jika tahap glukosa darah melebihi 30 mmol/L, hipovolemia dan Osmolality melebihi 320 mosmol/kg.

Kedua-dua kondisi kecemasan hiperglikemia yang diterangkan adalah amat berbahaya dan berpotensi mengancam nyawa.

Gejala yang boleh berlaku termasuklah sakit perut, muntah-muntah, keliru dan sesak nafas. Sila ke hospital dengan segera jika gejala sebegini berlaku kepada pesakit diabetes agar rawatan kecemasan dapat diberikan.

Rujukan: