Beras Apakah Yang Paling Sesuai Untuk Pesakit Kencing Manis?

Beras Untuk Pesakit Kencing Manis. Mana Yang Terbaik? - DoctorOnCall

Kencing Manis di Malaysia

Tahukah anda, kira-kira 3.6 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes iaitu kadar tertinggi di Asia dan antara yang tertinggi di dunia. Hal ini sangat membimbangkan dan memerlukan kempen kesedaran yang berkesan untuk mengatasi bilangan pesakit daripada makin bertambah.

Makanan dan Kencing Manis

Hormon insulin bagi pesakit kencing manis biasanya tidak mencukupi atau tidak bertindak balas untuk menukarkan glukosa dalam darah ke dalam bentuk tenaga dengan efisien, penghidap kencing manis disarankan untuk mengurangkan makanan yang mempunyai glukosa yang tinggi. Pelbagai alternatif mula diperkenalkan oleh pengeluar industri makanan yang dikatakan membantu pesakit dalam mengawal kadar gula dalam darah di samping rawatan utama dengan ubat-ubatan.

Nasi yang menjadi makanan ruji masyarakat di Malaysia tidak terlepas dalam perkara ini. Pada hari ini, kita boleh lihat pelbagai iklan beras ada di pasaran dan laman sosial seperti beras perang untuk kencing manis, beras parboiled untuk kencing manis dan sebagainya. Malahan, syarikat selain beras juga mula berpusu-pusu untuk mengaut keuntungan dalam keresahan pesakit. Bagai pepatah melayu, sambil menyelam minum air, syarikat ini mula mengiklankan makanan seperti buah untuk pesakit kencing manis, sayur untuk pesakit kencing manis, minuman untuk pesakit kencing manis dan sebagainya. 

Sebagai pesakit yang sedang gusar akan kesihatan diri, taktik sebegini sangat berkesan. Ia tidaklah salah untuk menghabiskan wang demi kesihatan sendiri, namun masyarakat perlu dapatkan informasi yang betul tentang pemakanan yang sihat untuk penghidap penyakit kencing manis.

Beras Terbaik Untuk Kencing Manis 

Persoalan tentang jenis beras yang terbaik untuk penghidap kencing manis sering dipersoalkan bukan sahaja di Malaysia tetapi seantero dunia. Banyak kajian telah dijalankan untuk menjawab persoalan ini. 

Untuk mengetahui jenis beras yang terbaik, kita harus terlebih dahulu memahami konsep Indeks Glisemik (GI) dalam sesuatu makanan. GI merupakan ukuran jumlah karbohidrat dalam makanan dan kesannya terhadap kadar gula dalam darah. Semakin rendah nilai GI sesuatu makanan, semakin perlahan pencernaan berlaku, dan semakin perlahan peningkatan kadar gula dalam darah. 

Berikut merupakan klasifikasi kadar Indeks Glisemik :

Klasifikasi

Kadar Indeks Glisemik

Contoh Makanan

GI Tinggi

70 dan ke atas

Nasi putih, Kentang, Pasta

GI Sederhana

56-69

Nasi Beras Perang, Pisang, Kismis

GI Rendah

55 dan ke bawah

Kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran

Jelas disini menunjukkan setiap makanan seperti beras mempunyai kadar GI yang berbeza. Penting untuk pesakit kencing manis memilih beras yang mempunyai nutrisi yang lengkap di samping nilai GI yang rendah.

Berikut adalah antara senarai beras yang sesuai diambil oleh pesakit diabetes.

1. Beras Perang

Beras perang merupakan salah satu makanan yang sinonim dengan pesakit diabetes dan juga dikenali sebagai beras yang berkhasiat serta sering dijadikan pilihan bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan. Apakah kelebihan beras perang? Benarkan ia lebih baik berbanding beras putih?

Beras perang sebenarnya adalah beras dari sumber yang sama seperti beras putih yang kita makan setiap hari. Perbezaan keduanya adalah cara pemprosesan serta kandungan zat yang tinggal selepas ia diproses.

Beras perang biasanya mempunyai tekstur agak keras dan kurang berkanji berbanding beras putih. Hal ini kerana beras perang hanya dibuang lapisan paling luarnya dan meninggalkan lapisan selaput beras. Ini menyebabkan ia berwarna perang dan mempunyai zat yang lebih tinggi termasuk kandungan serat, vitamin B dan zat besi. Seperti yang telah diterangkan di atas, beras ini juga tergolong dalam karbohidrat yang mempunyai indeks glisemik yang rendah, jadi sesuai diambil oleh mereka yang menghidap kencing manis.

2. Beras Basmati

Beras basmati merupakan salah satu beras yang terkenal sebagai pilihan yang sihat kerana indeks glisemiknya yang rendah. Beras basmati juga merupakan beras putih, namun begitu beras ini kurang kandungan kanji serta mempunyai kandungan serat lebih tinggi.
Oleh itu, beras ini lebih sesuai untuk dinikmati oleh mereka yang perlu mengawal paras gula dalam darah. Jika ingin pilihan lebih sihat, beras basmati perang juga boleh diambil kerana kandungan seratnya yang lebih tinggi berbanding beras basmati putih.

Cara Penyediaan Beras Untuk Pesakit Kencing Manis

Sealain memilih beras yang sihat, anda juga perlu tahu cara hidangan nasi yang sewajarnya untuk pesakit diabetes. 

Sebaiknya ambil nasi dalam kuantiti sederhana dan seimbangkan dengan pengambilan protein dan serat yang mencukupi.

Hidangan nasi yang sebaiknya adalah nasi biasa. Pesakit kencing manis disarankan untuk mengurangkan pengambilan nasi berperisa atau nasi goreng kerana cara penyediaan meningkatkan kalori di dalam nasi tersebut dan tidak bagus untuk kesihatan.

Sumber Karbohidrat Lain Selain Beras/ Nasi

Selain menjadikan nasi sebagai sumber karbohidrat utama dalam hidangan, anda juga boleh mencuba makanan yang lain yang mempunyai kadar GI yang lebih rendah namun mengandungi nutrisi yang sama dengan nasi. Contohnya :

  • Bijirin oat

  • Barli 

  • Quinoa 

  • Soba atau gandum kuda

  • Millet 

Sumber-sumber ini boleh dijadikan sebagai sumber karbohidrat alternatif kepada nasi untuk membekalkan tenaga kepada badan.

Tuntasnya, pengambilan makanan yang berbeza mempunyai kadar glisemik indeks yang berbeza. Kesan daripada pengambilan sesuatu makanan secara tidak terkawal boleh membawa kepada penyakit. Pencegahan awal daripada penyakit kencing manis boleh di lakukan melalui penjagaan makanan yang seimbang dan sihat. Pemilihan beras atau nasi untuk diabetes adalah penting namun pencegahan dan rawatan mestilah diutamakan.


Rujukan: