Luka Kencing Manis Lambat Sembuh? Ketahui 6 Cara Mengatasinya.
Pesakit kencing manis sering mengalami luka-luka yang sukar sembuh, terutamanya mereka yang menghidap kencing manis selama bertahun-tahun. Secara umum, risiko komplikasi meningkat 30 peratus setiap 10 tahun dengan penyakit kencing manis. Sekiranya kawalan kencing manis kurang memuaskan, risiko untuk mengalami luka kencing manis meningkat juga. Selain itu, luka kencing manis biasanya terjadi pada tapak kaki, dan mungkin hanya disedari setelah luka bernanah atau kaki membusuk. Kejadian ini dikenali sebagai sakit kaki kencing manis (diabetic foot disease).
Mengapa Luka Kencing Manis Lambat Sembuh?
Luka kencing manis lambat sembuh dan berisiko menjadi serius sehingga berakhir dengan amputasi anggota badan yang terlibat. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku antaranya:
1. Kerosakan Saraf atau Neuropati
Kencing manis yang tidak terkawal boleh menyebabkan kerosakan saraf, bermula dari kaki dan tapak kaki, perlahan-lahan merebak ke atas dan menyebabkan kekurangan deria rasa pesakit terhadap panas, sejuk atau sakit. Ketiadaan deria rasa ini disebut sebagai neuropati diabetes. Pesakit diabetes yang mengalami masalah ini biasanya tidak menyedari jika terdapat sebarang luka atau ulser pada kaki mereka sehingga luka menjadi parah seperti bernanah atau sel kulit menjadi mati.
2. Kelemahan Aliran Darah
Kencing manis menjejaskan tisu lapisan saluran darah. Ini menyebabkan gangguan aliran darah ke kawasan yang terjejas dan menyebabkan penyembuhan luka yang perlahan. Selain itu, kencing manis juga menyebabkan saluran darah di telapak kaki dan kaki menjadi sempit dan keras. Peredaran yang lemah boleh meningkatkan risiko jangkitan kaki. Aliran darah yang lemah yang berlaku di lengan dan kaki dikenali sebagai penyakit arteri periferi.
3. Kemerosotan Sistem Imun
Pesakit kencing manis juga mempunyai sistem imun yang lemah. Ini menyebabkan sel-sel yang bertanggungjawab menyembuhkan luka tidak berfungsi dengan cekap. Akibatnya luka akan mengambil masa yang lama untuk sembuh serta risiko mendapat jangkitan meningkat. Kemerosotan sistem imun boleh menyebabkan seseorang mudah terkena jangkitan kuman. Sekiranya jangkitan dibiarkan tanpa rawatan, ia akan menyebabkan pelbagai komplikasi seperti sepsis dan gangren.
4. Perubahan Kulit
Kencing manis menyebabkan kulit tapak kaki menjadi kering, patah dan mengelupas. Kematu terbentuk dengan lebih mudah dan cepat kerana fenomena ini dan biasanya lebih ketara pada tumit atau bola kaki atau di bahagian bawah ibu jari kaki.
5. Perubahan Struktur Kaki
Kerosakan saraf akibat kencing manis juga boleh menyebabkan perubahan bentuk kaki seperti ibu jari tukul, jari kaki bertindih atau bunion. Perubahan bentuk atau struktur kaki ini menyebabkan mereka yang mengalaminya lebih mudah mendapat kecederaan pada kaki.
Bagaimana Menjaga Luka Kencing Manis?
1. Memastikan Kebersihan Luka
Anda boleh membersihkan luka dengan air mengalir atau sebarang produk antiseptik yang ada. Selain itu, pastikan luka anda kering dan sapukan dengan sapuan antibiotik yang disaran oleh doktor agar luka tersebut bebas dari jangkitan. Selain itu, tukar kain balutan luka anda dengan kerap supaya ia sentiasa bersih dan kering.
2. Pastikan Pembalut Luka Tidak Terlalu Ketat
Elakkan tekanan yang berlebihan pada bahagian yang cedera atau luka dengan mengelakkan balutan yang terlalu ketat. Ini bagi membolehkan aliran darah yang lancar dan membantu luka sembuh dengan lebih cepat dan baik. Sekiranya anda mengalami luka pada tapak kaki, anda boleh menggunakan bantal lembut atau kasut khas untuk mengurangkan tekanan pada luka.
3. Mengawal Paras Gula Dalam Darah
Kandungan kadar gula dalam darah yang tidak terkawal akan menyebabkan pelbagai komplikasi termasuklah mengganggu penyembuhan luka. Oleh itu, mengawal paras gula dalam darah adalah penting. Amalkan diet pemakanan yang sihat untuk kencing manis, bersenam, serta ambil ubat antidiabetik atau suntikan insulin seperti yang telah disarankan oleh doktor anda. Anda juga boleh merujuk kepada doktor untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai langkah mengawal dan menjaga kadar gula dalam darah anda.
4. Pantau Tanda-tanda Jangkitan
Luka yang telah dijangkiti kuman boleh menunjukkan tanda-tanda seperti sakit, kemerahan, bengkak atau merasa panas di kulit sekitar luka. Tanda lain yang lebih serius termasuklah luka menjadi berair, bernanah, dan berbau. Sila rujuk kepada doktor dengan segera jika terdapat tanda-tanda jangkitan pada luka seperti ini.
5. Ambil Makanan Yang Seimbang Untuk Nutrisi Yang Cukup
Protein adalah antara nutrien yang penting untuk membantu penyembuhan luka kencing manis, kerana setiap pertumbuhan sel serta proses penyembuhan dalam tubuh manusia memerlukan protein. Keperluan kalori yang mencukupi dan nutrisi lain seperti lemak, serat, vitamin dan mineral seperti zink dan vitamin C juga penting. Oleh itu, pastikan anda mengambil makanan yang seimbang dan pelbagaikan jenis makanan yang anda ambil setiap hari
6. Pemantauan Pihak Kesihatan
Patuhi jadual janji temu bagi pemeriksaan kencing manis dan luka kencing manis anda. Sesetengah jenis luka bagi pesakit kencing manis memerlukan balutan khas dan pemeriksaan berkala untuk mengetahui perkembangan luka tersebut. Oleh itu, patuhi jadual janji temu bagi pemeriksaan kencing manis dan luka kencing manis anda.
Bagaimana Mengelakkan Luka Kencing Manis?
Terdapat beberapa situasi yang dapat menyebabkan pembentukan luka baru, namun pesakit kencing manis boleh melakukan beberapa langkah untuk mengelakkan timbulnya luka tersebut, contohnya:
1. Potong Kuku
Berhati-hati semasa memotong kuku, terutama pada individu yang pernah mengalami kecederaan pada kaki sebelumnya. Bagaimanapun, anda perlu kerap memotong kuku untuk mencegah kecederaan.
Selain itu, pesakit kencing manis juga boleh sapukan losyen pada kaki, bagi menjaga kelembaban kulit. Ini dapat mencegah keretakan kulit kaki serta menurunkan risiko pembentukan luka. Ini juga dapat dilakukan dengan mencelupkan kaki ke dalam air suam. Kehangatan juga dapat meningkatkan aliran darah kaki.
2. Sering Periksa Kaki Anda
Sesiapa menghidap kencing manis biasanya akan mengalami kebas pada kaki disebabkan neuropati. Oleh itu, memeriksa kaki sendiri termasuk tapak kaki setelah melakukan sebarang aktiviti atau menanggalkan kasut adalah amat penting. Ini untuk mengelakkan sebarang kecederaan yang mungkin tidak disedari dan bagi mendapatkan rawatan seawal mungkin jika terdapat luka. Anda digalakkan menggunakan cermin bagi memeriksa tapak kaki dengan lebih jelas.
3. Pakai Sarung Kaki Dan Kasut Yang Selesa
Untuk mengelakkan luka dan kesakitan pada kaki, pesakit kencing manis disarankan untuk memakai kasut atau sarung kaki semasa berada di dalam atau di luar rumah. Sebaiknya pakai kasut yang selesa, seperti yang mempunyai kusyen di bahagian tumit, lembut dan dapat menutup seluruh kaki. Elakkan kasut yang terlalu ketat dan keras kerana boleh menyebabkan kecederaan dan luka pada kaki.
4. Amalkan Gaya Hidup Sihat
Berhenti merokok. Rokok menyebabkan pelbagai penyakit dan memburukkan lagi masalah kencing manis. Pastikan anda kerap bersenam untuk melancarkan aliran darah ke seluruh badan dan makan makanan yang berkhasiat seperti diet protein tinggi untuk meningkatkan proses penyembuhan.
5. Pantauan Doktor
Dapatkan pemeriksaan dan pemantauan doktor berkala untuk memeriksa kaki dan anggota tubuh badan lain untuk mengelakkan komplikasi luka kencing manis. Doktor juga boleh memeriksa sama ada terdapat tanda-tanda awal kerosakan saraf, masalah peredaran darah atau jangkitan luka, supaya rawatan awal dapat diberikan dengan segera. Selain itu, doktor juga boleh memberikan nasihat dan arahan lanjut kepada pesakit kencing manis agar membantu mengawal paras gula darah mereka dengan lebih baik.