Awasi 5 Tanda-Tanda Awal Kencing Manis Ini Untuk Elak Komplikasi

5 Tanda-Tanda Awal Kencing Manis Anda Perlu Tahu - DoctorOnCall

Diabetes mellitus (DM) juga dikenali sebagai kencing manis adalah penyakit umum dalam kalangan masyarakat kita, Malaysia. Kencing manis biasanya dihadapi oleh kalangan warga emas, namun orang muda pada zaman kini juga tidak terkecuali. Ini kerana Malaysia mempunyai kadar masalah obesiti tertinggi di Asia.

Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2019, sekurang-kurang 50.1 peratus populasi dewasa dilaporkan mempunyai berat badan berlebihan, 30.4 peratus atau obesiti, 19.7 peratus. Statistik yang tinggi ini banyak berkaitan dengan gaya hidup dan tabiat pemakanan kita.

Kegemukan ataupun obesiti adalah risiko paling umum menyebabkan kencing manis, jadi kita perlulah berbuat sesuatu untuk memperbaiki situasi ini dan meningkatkan taraf kesihatan rakyat Malaysia.

Apakah Tanda Awal Kencing Manis?

Kencing manis adalah salah satu penyakit mempengaruhi metabolisme gula dalam darah tubuh kita, biasanya terjadi sekiranya penghasilan insulin tidak mencukupi dari organ pankreas; atau sel yang kurang responsif terhadap insulin, menyebabkan fungsi insulin terjejas. Sama seperti penyakit lain, kencing manis mempunyai tanda-tanda dan gejala berbeza untuk setiap peringkat.

Oleh itu, mengetahui tanda-tanda awal dan gejala kencing manis amat penting kerana ia dapat membantu kita mengesan penyakit ini pada peringkat awal agar komplikasi pada peringkat yang lebih serius dapat dicegah.

Tanda-tanda awal kencing manis termasuklah:

  • Poliuria, Kerap Buang Air Kecil

Kerap kencing adalah salah satu tanda peringkat awal kencing manis. Ini berlaku apabila tubuh badan manusia tidak dapat proses dan menggunakan glukosa, iaitu gula dalam darah dengan baik kerana paras glukosa yang terlalu tinggi. Maka, buah pinggang menyaring sebahagiannya melalui air kencing, lalu menyebabkan gejala kerap kencing.

  • Polidipsia, Kerap Rasa Dahaga

Kerap merasa dahaga dan minum air melebihi kuantiti biasa juga sesuatu tanda peringkat awal kencing manis. Ini kerana kerap buang air kecil akan menyebabkan pengurangan cecair di dalam tubuh badan dan mencetuskan rasa dahaga. Selain itu, glukosa yang tinggi dalam darah juga mencetuskan rasa dahaga serta mengurangkan rasa puas setelah minum air.

  • Polifagia, Kerap Rasa Lapar

Sel-sel tubuh manusia menggunakan glukosa sebagai sumber tenaga untuk berfungsi dan mengekalkan kesihatan dengan baik. Namun, bagi pesakit kencing manis, sel-sel tubuh mereka tidak lagi berupaya menyerap jumlah glukosa seperti biasa, menyebabkan tubuh kita menghantar signal untuk mendapat lebih banyak sumber. Ini mengurangkan rasa puas setelah makan dan sering mencetuskan rasa lapar.

  • Penurunan Berat Badan

Penurunan berat badan secara tidak sengaja boleh terjadi kepada pesakit kencing manis walaupun mereka kerap berasa lapar. Seperti yang dinyatakan di atas, paras gula yang tinggi dalam darah menyebabkan keupayaan sel-sel tubuh menyerap glukosa dan nutrien terjejas.

Selain itu, lapisan saluran darah juga akan terjejas jika tahap glukosa tidak dikawal dengan baik, menyebabkan aliran darah berkurang, maka pengangkutan oksigen dan nutrien juga berkurang. Ini menyebabkan pertumbuhan dan penyembuhan sel-sel tubuh lambat.

  • Kelesuan Dan Kelemahan

Sesetengah individu akan mengalami kelesuan dan kelemahan dalam peringkat awal kencing manis. Kejadian ini berlaku sebab sel-sel badan kencing manis tidak dapat menyerap dan menggunakan glukosa dalam darah seperti biasa, menyebabkan tenaga badan berkurang, sehingga menjadi lemah dan mudah letih.

Tanda-tanda Kencing Manis Pada Tahap Lebih Serius

  • Luka Sukar Sembuh

Luka lambat sembuh juga adalah tanda kencing manis, namun luka kencing manis lebih umum dalam kalangan kencing manis yang tidak terkawal dan dalam jangka masa yang lama.

Penjelasannya sama dengan punca penurunan berat badan yang diterangkan di atas, iaitu paras gula yang tinggi dalam darah menyebabkan kurangnya penyerapan nutrien dan melambatkan pertumbuhan dan penyembuhan sel-sel tubuh.

  • Kulit Menjadi Gelap Dan Kasar

Perubahan kulit ini lebih kerap terjadi di bahagian sekitar leher, ketiak dan di kelangkangan. Selain itu, kulit juga jadi lebih tebal dan kurang terhidrat, akibat insulin yang berlebihan dalam darah. Namun insulin tersebut tidak berupaya untuk menggunakan glukosa berlebihan dalam darah.

  • Kebas Di Telapak Kaki Dan Tangan

Rasa kebas atau kesemutan adalah tanda kemerosotan saraf akibat kencing manis, biasanya terjadi kepada pesakit kencing manis dalam jangka masa yang panjang akibat paras gula yang tidak terkawal.

Kesemutan ini biasanya terasa dari hujung jari, telapak kaki dan tangan. Sekiranya paras gula darah masih tidak dikawal, kebas dan kesemutan ini akan merebak ke bahagian tubuh lain perlahan-lahan.

  • Gangguan Penglihatan

Ia juga disebut sebagai retinopati diabetes, penglihatan menjadi kabur, kurang jelas akibat gula darah yang terlalu tinggi menjejaskan saluran darah kecil yang terdapat pada mata, serta saraf penglihatan. Kejadian ini juga adalah kesan penyakit kencing manis tanpa kawalan.

Berdasarkan data penyelidikan, ia menunjukkan setiap 10 tahun dengan kencing manis akan meningkatkan sekitar 30 peratus risiko mengalami masalah gangguan penglihatan.

  • Mudah Terkena Jangkitan

Pesakit kencing manis mudah mengalami jangkitan, terutamanya pada kulit. Ini kerana glukosa berlebihan berupaya mempengaruhi sistem imun tubuh pesakit kencing manis menyebabkan fungsi imuniti menurun serta tidak dapat melawan jangkitan kuman, kulat, virus dan lain. Jangkitan ini memerlukan rawatan antibiotik secepat mungkin untuk mengelakkan sebarang komplikasi.

Kepentingan Mengenali Tanda Awal Kencing Manis

Dengan mengenali tanda-tanda dan gejala di atas, ia memberi kelebihan untuk pengesanan serta rawatan seawal mungkin. Dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat, tahap gula darah dapat dikawal dengan baik dan dapat mengelakkan komplikasi kencing manis.

Contoh komplikasi kencing manis adalah seperti gangguan saluran darah di otak, mata, jantung, ginjal, dan juga kaki. Selain itu, pesakit kencing manis juga amat mudah mengalami jangkitan kuman pada paru-paru, gigi, gusi dan saluran kencing.

Pencegahan lebih baik daripada mengubati, dengan mengenali tanda-tanda dan gejala kencing manis, masyarakat kita diharap akan lebih berwaspada dan mengambil tindakan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Ini dapat mengurangkan risiko menghidap kencing manis dan mengelakkan komplikasi yang berpotensi membawa maut dalam kalangan pesakit kencing manis.

Rujukan: