Bolehkah Kelenjar Pankreas Rosakkan Sistem Badan Bila Tiada Hormon Terhasil?

Fungsi Pankreas Dalam Sistem Tubuh Badan - DoctorOnCall
Anonymous
Selamat sejahtera doktor. Saya ada seorang anak lelaki berusia 9 tahun. Sejak kebelakangan ini dia sering mengadu kerap haus. Dia akan minum air secara berterusan selang hanya beberapa minit. Walaupun tidak aktif bersukan atau bermain, dia kerap haus dan akan selalu ke tandas untuk kencing. Dia juga kerap kencing sewaktu tidur malam walaupun sudah kencing sebelum tidur. Saya selalu nampak yang dia kelihatan lemah dan tidak bertenaga. Walaupun kerap makan saya tidak nampak badannya bertambah besar. Apakah yang dialami anak saya doktor? Adakah dia mengalami penyakit kronik yang merbahaya kerana saya ada terbaca tentang masalah organ pankreas dan gejala yang dialami oleh pesakit pankreas rosak lebih kurang seperti anak saya. Bolehkah doktor terangkan dengan lebih lanjut?
Anonymous
Selamat sejahtera doktor. Saya ada seorang anak lelaki berusia 9 tahun. Sejak kebelakangan ini dia sering mengadu kerap ... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima kasih atas soalan yang diajukan. Untuk pengetahuan anda, gejala yang anda sebutkan mempunyai pelbagai kemungkinan diagnosis. Antaranya ialah: Penyakit kencing manis jenis 1 "Type 1 Diabetes" Terlalu banyak minum air Masalah hormon yang mengawal air dalam badan Radang pada pundi kencing Pundi kencing terlalu aktif "Overactive Bladder" Mengikut apa yang digambarkan anda, berkemungkinan besar anak anda menghidapi penyakit kencing manis jenis 1. Walaubagaimanapun, kami tidak boleh memberikan diagnosis yang paling tepat sebelum membuat pemeriksaan kesihatan dan ujian makmal terlebih dahulu. Oleh itu, anda disarankan untuk untuk membawanya ke klinik atau hospital untuk mendapatkan pengesahan. Anda boleh baca dengan lebih lanjut untuk mengetahui tentang masalah yang mungkin dihidapi anak anda yang boleh disebabkan oleh masalah pada organ pankreas.
Terima kasih atas soalan yang diajukan. Untuk pengetahuan anda, gejala yang anda sebutkan mempunyai pelbagai kemungkinan... See More

Apakah Itu Pankreas?

Pankreas dan hempedu merupakan dua organ yang berbeza dimana pankreas berfungsi dalam sistem pencernaan dan pengawalan hormon-hormon di dalam badan dan fungsi hempedu ialah untuk sistem penghadaman dan pencernaan makanan.

Pankreas ialah satu organ kelenjar berbentuk daun yang terletak di dalam ari-ari. Oleh kerana organ tersebut tidak kelihatan dan tidak dirasakan akan keberadaannya, ramai yang tidak tahu tentangnya dan fungsinya terhadap tubuh badan manusia. Tanpa disedari, kelenjar ini merupakan organ yang penting dalam sistem pencernaan dan berperanan untuk mengawal kandungan gula dalam darah.

Untuk menggambarkan kedudukan kelenjar ini, anda boleh cuba sentuh ibu jari kanan dan jari kelingking kanan anda bersama. Rapatkan dan luruskan ketiga-tiga jari yang tidak bersentuhan tadi dan letakkannya betul-betul di bawah tulang rusuk kiri anda serta menghalakan jari-jari tersebut ke arah kiri. Di situlah kedudukan pankreas anda yang sepatutnya.

Apakah Fungsi Pankreas?

Organ ini mempunyai fungsi eksokrin dan endokrin dimana eksokrin berfungsi dalam sistem pencernaan manakala endokrin bertindak untuk mengawal selia hormon dalam badan. Sistem pencernaan oleh kelenjar ini bertindak dengan merembes enzim seperti tripsin, lipase dan amilase yang boleh mencerna protein, lemak, dan karbohidrat. Dengan ini, penghadaman makanan akan menjadi lebih lancar. Selain itu, kelenjar ini juga bertindak sebagai organ endokrin dimana ia boleh menghasilkan beberapa hormon untuk mengawal selia kandungan gula dalam darah dan juga untuk mengawal kandungan hormon lain dalam tubuh badan. Antara hormon yang dirembeskan kelenjar ini serta fungsinya ialah:

  • Insulin

Insulin adalah hormon yang bertanggungjawab dalam meningkatkan penyerapan, penyimpanan atau pengambilan gula dari darah ke dalam sel. Kandungan gula yang tinggi dalam darah adalah merbahaya kerana ia boleh menyebabkan kerosakan kepada urat saraf dan hal ini boleh menyebabkan pelbagai komplikasi seperti rabun mata, hilang deria pada hujung anggota badan, mati pucuk dan banyak lagi. Ia juga menjadi punca utama untuk penyakit kencing manis dimana pesakit tidak dapat menghasilkan hormon Insulin dengan secukupnya atau sel mereka sudah tidak sensitif lagi dengan tindak balas hormon ini. Dengan meningkatkan pengambilan gula dari darah, hormon ini mampu mengelakkan pesakit untuk mendapatkan komplikasi kencing manis.

  • Glukagon

Berbeza dengan hormon Insulin, hormon Glukagon bertindak apabila kandungan gula dalam darah menjadi rendah. Glukagon akan mengangkut gula dari sel ke dalam darah. Hal ini akan meningkatkan kandungan gula dalam darah dan membantu tubuh badan untuk menghasilkan tenaga. Glukagon selalunya aktif bertindak apabila seseorang sedang bersenam atau bersukan dimana tubuh badan akan menggunakan lebih gula untuk menghasilkan tenaga. Perkara ini juga berlaku semasa seseorang sedang berpuasa dimana kandungan gula dalam darah akan menjadi sedikit.

  • Somatostatin

Somatostatin tidak mempunyai fungsi yang spesifik terhadap pengawalan gula dalam darah. Namun, hormon ini boleh bertindak dengan cara menghalang rembesan hormon tumbesaran, hormon Insulin, hormon Glukagon, hormon Gastrin yang berfungsi dalam sistem penghadaman, dan hormon yang berfungsi untuk merangsang hormon tiroid.


Hormon lain yang dirembes oleh kelenjar ini ialah Ghrelin, Pancreatic Polypeptide dan Amylin.

Apakah Masalah Yang Melibatkan Pankreas Rosak?

Pankreas boleh menjadi rosak apabila kelenjar tersebut mengalami keradangan, ada ketumbuhan pada organ tersebut ataupun apabila ianya gagal untuk memaksimakan fungsinya dalam mengahasilkan enzim atau hormon kepada tubuh badan. Antara penyakit yang berkaitan dengan masalah organ ini ialah:

  • Kencing manis jenis 1 & 2

Kencing manis jenis 1 atau sering dikenali dengan nama “Diabetes Type 1” adalah kondisi dimana sel β (Beta) pada pankreas telah rosak akibat diserang “autoimmunity”. Walaupun mekanisma untuk kondisi ini tidak difahami secara menyeluruh, namun kerosakan pada sel tersebut akan menyebabkan kelenjar ini tidak dapat merembeskan hormon Insulin secukupnya dan akan mengakibatkan penyakit kencing manis kepada pesakit yang mengalaminya. Kencing manis jenis 2 / “Diabetes Type 2” pula ialah suatu kondisi dimana sel pada tubuh badan sudah tidak sensitif terhadap hormon Insulin dan hal ini menyebabkan kandungan gula dalam darah meningkat. Walaupun tidak tetap, namun kencing manis jenis 1 selalunya terdapat pada golongan kanak-kanak atau mereka yang usia muda dan kencing manis jenis 2 selalu dilihat pada mereka yang sudah berusia.

  • Keradangan pankreas

Keradangan pankreas atau senang digelar “pancreatitis” dalam dunia perubatan adalah suatu kondisi akibat daripada kecederaan kepada organ tersebut, jangkitan kuman, atau disebabkan kerosakkan akibat daripada kandungan toksin yang terkandung dalam darah seperti alkohol. Hal ini akan menyebabkan pesakit untuk mengalami pankreas bengkak, gejala sakit perut, lebam pada permukaan kulit ari-ari dan belakang serta gejala seperti muntah-muntah.

  • Cystic fibrosis

Walaupun penyakit ini jarang berlaku di negara Malaysia, namun ianya merupakan antara penyakit yang selalu berlaku di negara Eropah. Penyakit ini mampu menyebabkan kerosakkan pada kelenjar ini dan boleh menjejaskan fungsi pernafasan kerana ia juga boleh melibatkan organ paru-paru.

Masalah lain yang boleh merosakkan atau menjejaskan kelenjar ini ialah kanser pankreas, ketumbuhan “pseudocyst” pankreas dan penyakit lain.

Apakah Rawatan Apabila Pankreas Rosak?

  • Suntikan insulin

Suntikan insulin selalunya diberikan kepada mereka yang menghidap penyakit kencing manis. Hal ini akan membantu mereka yang menghidap kencing manis jenis 1 untuk mempunyai Insulin yang cukup di dalam badan untuk menyimpan lebihan gula dalam darah dan meningkatkan kebarangkalian untuk sel yang telah kurang sensitif untuk bertindak balas terhadap hormon Insulin bagi mereka yang menghidap kencing manis jenis 2.

  • Pembedahan pankreas

Pembedahan organ ini selalunya dilakukan terhadap mereka yang mengalami kanser pankreas. Kanser yang boleh merebak akan mengancam organ sekeliling dan boleh mengakibatkan kematian, maka doktor mungkin mengambil keputusan untuk membuang keseluruhan atau sebahagian daripada kelenjar yang terjejas dengan kanser sebelum ianya merebak dan mengakibatkan komplikasi lain yang lebih teruk.

  • Pemindahan organ/ sel pankreas

Pemindahan sel kelenjar ini masih lagi dalam pemerhatian dan masih belum dilaksanakan secara menyeluruh. Ianya mungkin digunakan untuk pesakit yang menghidap penyakit kencing manis jenis 1. Pemindahan keseluruhan organ pula mungkin dilakukan jika penderma bersetuju dan jika pesakit berkemungkinan untuk mati jika pemindahan organ tidak dilakukan.

Terdapat banyak lagi cara untuk merawat pankreas yang rosak dan ianya bergantung kepada penyakit pada kelenjar itu sendiri dan bergantung kepada keputusan doktor yang merawat.

References