Sakit dada yang berkaitan dengan jantung:
Angina
Angina adalah istilah gejala kesakitan atau ketidakselesaan di tengah-tengah atau sebelah kiri dada ketika membuat sesuatu aktiviti fizikal dan reda apabila berehat atau berhenti membuat aktiviti fizikal tersebut. Ini sering disebabkan oleh pembentukan plak tebal di dinding dalaman saluran darah yang membawa darah ke jantung anda (arteri koronari). Plak ini akan menyebabkan arteri menjadi sempit dan menyekat bekalan darah jantung, terutamanya semasa membuat aktiviti fizikal seperti berlari.
Gejala rasa berat, sakit atau ketat di dada ini boleh merebak ke tangan, leher, rahang, belakang atau perut anda juga. Sesetengah orang mengalami perasaan ketegangan yang teruk, malah ada juga yang yang merasa kepedihan. Sesetengah orang juga turut mengalami sesak nafas bersama sakit dada.
Serangan jantung berlaku apabila bekalan darah ke jantung tiba-tiba terganggu, biasanya oleh bekuan darah. Tanpa bekalan ini, darah yang membawa oksigen tidak sampai ke jantung dan otot jantung boleh rosak dan mula mati. Tanpa rawatan, otot jantung akan mengalami kerosakan yang tidak dapat dikembalikan.
Serangan jantung biasanya akan menyebabkan sakit dada yang teruk dan boleh berlaku pada bila-bila masa.
Tanda-tanda serangan jantung adalah seperti berikut:
Sakit dan / atau ketidakselesaan di kawasan dada.
Sakit atau ketidakselesaan di lengan kiri atau kedua-dua lengan, di belakang, leher, rahang, atau perut.
Sesak nafas yang mungkin atau tidak mungkin disertai dengan ketidakselesaan dada.
Pening, berpeluh sejuk, atau mual.
Aortic Dissection
Aortic dissection adalah keadaan yang serius di mana lapisan dinding saluran darah utama ke jantung iaitu aorta terkoyak. Apabila lapisan dalaman saluran darah ini berasingan, darah akan mengalir di antara lapisan saluran darah dan boleh menyebabkan pembuluh darah aorta pecah (rupture).
Simptom bagi Aortic Dissection bermula secara tiba-tiba dan kesakitannya ibarat sakit jantung.
Tanda-tanda Aortic Dissection termasuklah:
Sakit dada parah atau sakit belakang pada bahagian atas yang teruk. Sakit tersebut juga merebak ke leher atau ke bahagian bawah belakang
Kesakitan di bahagian perut yang teruk
Hilang kesedaran
Sesak nafas
Sukar untuk bercakap secara tiba-tiba, hilang penglihatan, kelemahan atau lumpuh pada satu sisi badan seperti strok
Nadi berdenyut pada satu lengan atau paha berbanding yang lain
Sakit kaki
Kesukaran berjalan
Lumpuh kaki
Perikarditis
Ini adalah keradangan kantung yang mengelilingi jantung. Ia biasanya menyebabkan rasa sakit yang tajam yang menjadi lebih teruk apabila anda bernafas atau ketika anda baring.
Jangkitan lapisan di sekeliling jantung ini menyebabkan sakit yang tajam dan menusuk di bahagian kiri dada.
Antara punca-puncanya adalah jangkitan kuman, gangguan antibodi, trauma, atau kegagalan buah pinggang.
Sakit Dada yang berkaitan dengan sistem penghadaman (Digestive system):
Pedih ulu hati (heartburn)
Kesakitan pada bahagian dada yang disebabkan oleh pedih ulu hati boleh menyerupai sakit akibat serangan jantung.
Pedih ulu hati terjadi apabila asid daripada perut mengalir ke bahagian saluran makan (esofagus) dan menyebabkan rasa pedih pada bahagian tengah dada.
Sukar untuk menelan makanan.
Menghidap penyakit batu hempedu, radang di pundi hempedu atau masalah pankreas yang boleh menyebabkan sakit perut merebak ke dada anda.
Antara tanda-tanda seseorang menghadapi penyakit gastrik adalah:
Sakit apabila perut kosong
Sakit semasa atau selepas makan dan minum
Senang kembang perut
Rasa mual atau muntah
Sakit Dada yang berkaitan dengan otot dan tulang:
Sesetengah jenis sakit dada boleh dikaitkan dengan kecederaan dan masalah lain pada struktur yang membentuk dinding dada, termasuk:
Kostokondritis- Dalam keadaan ini, tulang rawan di yang menyambungkan tulang rusuk mengalami radang dan menyebabkan kesakitan.
Sakit otot
Fibromyalgia
Kecederaan tulang rusuk.
Sakit dada yang berkaitan dengan paru-paru
Gangguan paru-paru yang boleh menyebabkan sakit dada termasuklah:
Embolisme pulmonari- Ini berlaku apabila darah beku terbentuk di dalam saluran darah paru-paru menghalang aliran darah ke tisu paru-paru.
Pleurisy.
“Pneumothorax” atau dikenali sebagai paru-paru kecut. Kesakitan dada yang dikaitkan dengan paru-paru yang runtuh biasanya terjadi secara tiba-tiba dan menyebabkan sesak nafas. Paru-paru kecut berlaku apabila terdapat kebocoran udara ke ruang antara paru-paru dan tulang rusuk.
Hipertensi pulmonari- Keadaan ini berlaku apabila anda mempunyai tekanan darah tinggi di arteri yang membawa darah ke paru-paru lalu menghasilkan kesakitan di dada.