Panau (Tinea Vesicolor) atau nama lainnya ‘pityriasis versicolor’ ialah salah satu penyakit kulit yang biasa ditemui di Malaysia. Selain itu, panau juga turut dikenali dengan nama ‘tinea versicolor’. Rujukan ini sebenarnya kurang tepat kerana perkataan ‘tinea’ sebenarnya merujuk kepada jangkitan kurap (ringworm) dan bukanlah panau.
Kenapa terjadinya panau (Tinea Versicolor) dan bagaimana cara menghilangkannya?
Selamat pagi doktor. Saya Encik A berusia 24 tahun, seorang pelajar di sebuah uiversiti. Sejak tiga bulan yang lalu, saya dapati terdapat beberapa tompok putih timbul di bahagian dada serta belakang saya. Saiznya berbeza dari sekecil syiling 10 sen hinggalah sebesar 50 sen. Kadang-kadang tompok ini turut terasa gatal, terutama ketika saya banyak berpeluh, sehingga menyebabkan rasa tidak selesa. Saya tidak dapat mengelak daripada keadaan ini, kerana saya ialah seorang atlet olahraga universiti, dan latihan mingguan menyebabkan saya banyak mengeluarkan peluh. Rakan saya mengatakan bahawa tompok ini ialah panau dan berlaku kerana saya kerap mandi sewaktu badan masih berpeluh. Adakah ini benar? Mohon pencerahan doktor.
Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan gejala yang diceritakan, berkemungkinan besar anda sedang menghidapi penyakit panau (pityriasis versicolor) iaitu sejenis jangkitan kulat pada kulit. Ia boleh berlaku atas beberapa sebab, dan sesetengah golongan lebih berisiko untuk mendapat jangkitan ini, contohnya golongan remaja, mereka yang kerap berpeluh, dan yang lemah sistem imun. Diagnosis selalunya dibuat secara klinikal, bermakna ujian makmal tidak diperlukan melainkan doktor mengesyaki diagnosis yang berbeza. Selepas didiagnos, anda akan menerima rawatan berupa ubat dan nasihat daripada doktor bagi mengelakkan ia daripada berulang.
Apakah itu panau?
Apakah penyebab panau?
- Panau disebabkan oleh sejenis kumpulan kulat yang dipanggil ‘Malassezia’ (sebelum ini turut dikenali sebagai ‘Pityrosporum’).
- Jenis yang sering ditemui pada kulit manusia yang berpanau termasuklah ‘Malassezia globosa’, ‘Malassezia furfur’, ‘Malassezia obtuse’, dan beberapa lagi.
- Perlu diketahui bahawa kumpulan kulat ini merupakan sejenis flora kulit yang normal (normal flora) yang biasa wujud pada kulit manusia. Namun begitu, ia tidak semestinya akan menyebabkan panau melainkan kerana beberapa faktor.
- Kulat ‘Malassezia’ banyak ditemui pada bahagian kulit yang tinggi pengeluaran sebum (bahagian kulit yang berminyak).
- Paling kerap ditemui ialah panau di bahagian dada dan belakang. Bahagian lain pula termasuklah muka dan kulit kepala.
Adakah panau berjangkit?
Tidak. Ramai yang menghidapi penyakit ini tanpa mendatangkan jangkitan kepada orang sekeliling.
Siapakah yang berisiko untuk mendapat panau?
- Seseorang yang sihat boleh sahaja mendapat panau tanpa perlu wujudnya sebarang risiko sebelum jangkitan. Risiko yang tersenarai ini menyebabkan kebarangkalian untuk mendapat jangkitan kulat panau menjadi lebih tinggi dalam kalangan orang yang sihat.
- Golongan remaja adalah yang paling berisiko untuk mendapat panau kerana pada usia ini, kelenjar sebum lebih aktif serta lebih banyak menghasilkan minyak. Selain itu, mereka yang tinggal di kawasan tropikal juga lebih berisiko untuk mendapat panau setinggi 40% kerana cuacanya yang sentiasa panas dan lembab. Malaysia merupakan salah satu daripada negara tropikal.
Risiko lain yang perlu diketahui termasuklah:
- Aktif secara fizikal
- Hiperhidrosis (peluh berlebihan)
- Pakaian atau balutan yang ketat tanpa pengudaraan
- Lemah sistem imun
- Pengambilan steroid
- Malnutrisi
Adakah mandi ketika berpeluh menyebabkan panau?
Berbeza dengan pendapat yang popular, mandi ketika berpeluh sebenarnya tidak menyebabkan panau kerana punca sebenarnya ialah jangkitan kulat ‘Malassezia’. Malah mandi serta membersihkan badan dengan baik selepas aktiviti fizikal adalah digalakkan bagi mengurangkan risiko panau.
Bagaimana steroid menyebabkan panau?
- Steroid merupakan ubat penghalang keradangan (anti-inflammatory) dan biasa diberi dalam kes-kes tertentu. Contohnya dalam kes kegatalan kulit berlebihan, ubat sapu steroid boleh diberi mengikut nasihat doktor.
- Walaupun ianya banyak membantu dalam mengurangkan simptom tersebut, tetapi sekiranya tidak digunakan dengan cara yang betul, serta dos yang terkawal, sistem pertahanan imun pada kawasan kulit yang disapu boleh menurun, lalu menyebabkan flora kulit seperti panau membiak dengan lebih banyak.
Apakah gejala panau?
- Panau boleh wujud pada masa yang lama pada tubuh seseorang tanpa disedari. Kawasan yang kerap terlibat ialah bahagian badan dan belakang. Panau juga boleh merebak ke leher, lengan, abdomen, dan kawasan lain.
- Gejala yang paling kerap terjadi pada mereka yang dijangkiti panau ialah munculnya tompok-tompok berwarna di atas kulit yang terdiri daripada pelbagai saiz dan bentuk. Bergantung kepada warna kulit seseorang, tompok tersebut biasanya akan memberikan warna yang berbeza.
- Sebagai contoh, panau berwarna kemerahan atau coklat gelap lebih kerap ditemui pada orang puith kerana mereka berkulit cerah. Manakala golongan yang berkulit gelap atau yang telah mendapatkan ‘tanning’ pula lebih kerap mendapat panau berwarna putih atau pucat (hipopigmentasi).
Gejala lain termasuklah:
- Tompok bulat atau bujur
- Kulit bersisik
- Gatal-gatal
- Ruam
Apakah penyakit lain yang boleh menyerupai panau?
Penyakit lain yang turut datang dengan tompokan pada kulit termasuklah:
- Vitiligo (sopak)
- Tinea corporis (kurap)
- Pityriasis rosea
- Psoriasis
- Ekzema diskoid (discoid eczema)
- Sifilis sekunder
- Seborrhoeic dermatitis
Apakah ujian yang dibuat untuk panau?
Diagnosis panau biasanya dibuat secara klinikal, bermakna ujian makmal tidak diperlukan melainkan doktor ingin membuat pengesahan. Untuk itu, prosedur yang dipanggil ‘skin scraping’ akan dibuat dimana sedikit bahagian kulit yang mempunyai panau akan dikikis dan dilihat di bawah mikroskop. Ubat akan diberikan setelah diagnosis disahkan.
Apakah ubatan panau?
Dengan rawatan yang berkesan, panau boleh disembuhkan dan tompok pada kulit boleh hilang walaupun mengambil masa yang agak lama. Ubat untuk penyakit panau boleh diberi dengan dua cara iaitu ubat sapu dan ubat makan.
Kesan sampingan ubat panau
Beberapa perkara yang perlu diberi perhatian sebelum menerima apa-apa ubatan bagi panau untuk memastikan keselamatan pengguna. Antaranya termasuklah:
- Sejarah allergi
- Kesan sampingan
- Tindak balas ubat panau dengan ubatan lain
- Kesesuaian ubat sewaktu mengandung
Kesan sampingan yang boleh berlaku bagi ubatan panau pula terutamanya antikulat boleh jadi adalah ringan (mild) dan cuma bertahan dalam masa yang singkat seperti:
- Kegatalan dan ruam
- Kulit kemerah-merahan
- Sakit perut
- Cirit-birit
Kesan sampingan yang jarang namun masih boleh berlaku serta merbahaya termasuklah kerosakan hati dan anafilaksis (anaphylaxis) iaitu sesak nafas dan bengkak di bahagian muka, leher atau lidah. Sekiranya gejala ini berlaku, hentikan ubatan dan jumpa doktor bagi mencari ubatan alternatif.
A) Ubat Sapu
Ubat ini pada keseluruhannya adalah lebih baik dan selamat kerana cuma digunakan di bahagian luar badan. Ubat ini terbahagi kepada dua iaitu ubat antikulat dan ubat yang tidak spesifik kepada kulat sahaja. Contoh ubat sapu antikulat ialah:
- Clotrimazole
- Ketoconazole
- Miconazole
- Tioconazole
- Terbinafine
Contoh bagi ubat sapu yang tidak spesifik terhadap kulat pula ialah:
- Losyen selenium (juga ada dalam bentuk syampu)
- Propylene glycol
- Whitfield’s ointment
Sesetengah daripada ubat sapu ini juga turut hadir dalam formulasi syampu seperti ketoconazole dan selenium. Selenium tidak diberikan kepada ibu mengandung kerana masih belum ada data yang lengkap mengenai kesan sampingannya terhadap kandungan. Garis panduan penggunaan syampu pula perlulah dibaca dengan teliti bagi mengelakkan kesan sampingan lain seperti keradangan kulit.
B) Ubat Makan
Contoh ubat makan termasuklah itraconazole, ketoconazole, dan fluconazole. Penggunaan ubat ini adalah lebih terkawal dan hanya diberikan dalam kes-kes tertentu oleh sebab kesan sampingannya serta tindak balas yang boleh terjadi dengan ubatan lain. Antara kondisi tersebut ialah:
- Panau terlalu teruk
- Merebak dengan luas
- Rawatan ubat sapu tidak berjaya
- Panau berulang selepas rawatan
References