Fenomena ini dikenali dengan nama gegata/ sopak garam/ kelopak garam dan ludah jin. Walaupun nampak seperti sesuatu yang mistik kerana namanya ludah jin, namun kesahihannya diragui. Dalam dunia perubatan, masalah gegata dipanggil dengan nama “Urticaria”. Mengikut bahasa Inggeris, ianya merujuk kepada “hives” & “wheals”. Walaubagaimanapun, pesakit selalu terkeliru dengan penyakit kurap dan ekzema dimana kurap adalah disebabkan oleh jangkitan kulat atau dan dikenali dengan nama “Ringworm” dan ekzema adalah masalah kegatalan kulit yang mempunyai ciri-ciri dan rupa yang berbeza.
Masalah ini boleh menjadi akut atau kronik dan bergantung kepada individu. Jika pesakit menghidap gegata akut ia selalunya kurang daripada 6 minggu dan bagi kronik pula lebih daripada 6 minggu. Gegata akut lebih teruk dan pesakit boleh mengalami reaksi atau tindak balas “anaphylaxis” dimana terdapat keradangan pada saluran pernafasan dan disebabkan saluran pernafasan menjadi bengkak, pesakit boleh lemas dan hal ini juga boleh membawa kepada kematian. Pada masa yang sama, gegata yang bersifat kronik selalunya tidak terlalu teruk dan pesakit akan mengalami kegatalan kulit dan ruam kemerahan pada kulit secara kerap. Namun, ianya boleh dicegah dan gejala dapat dihilangkan melalui penggunaan ubat-ubatan.