- Pembengkakan prostat bukan kanser (Benign Prostatic Hyperplasia)
Seperti yang telah dimaklumkan pada awal penulisan, penyakit bersangkut paut dengan pembengkakan kelenjar ini berlaku pada insan yang berumur iaitu secara puratanya 50 tahun ke atas. Secara amnya, setiap lelaki menghasilkan hormon testosterone yang mana akan ditukarkan kepada dihydrotes-tosterone (DHT). DHT ini pula akan bertindak balas dengan tisu pada organ prostat yang mana akan meransang pembesarannya. Hatta, semakin meningkat umur seseorang, semakin lama mereka terdedah kepada hormon ini dan akhirnya menyebabkan ‘kacang walnut’ tersebut bertambah saiznya. Pembesaran kelenjar ini akan memberikan tekanan pada saluran uretra dan akhirnya mengundang kepada simptom yang baru sahaja saya kupas pada mukadimah artikel ini. Obat prostat farmasi yang selalunya diberikan pada pesakit adalah seperti Alpa-Blocker yang bertujuan untuk merehatkan otot prostat dan juga saluran pundi kencing. Selain itu, ubat Finasteride juga diberikan untuk mengurangkan simptom seperti kencing tidak lawas.
Bagi yang selalu mengintai ruangan ilmiah DoctorOnCall ini, pastinya sudah sebati dengan terma keradangan. Asal sahaja sakit, pastinya ada keradangan dan punca bagi keradangan adalah pelbagai namun yang paling lazim ialah jangkitan kuman. Keradangan yang disebabkan oleh jangkitan berlaku dengan mudah apabila air kencing yang kaya dengan bacteria memasuki atau terkena pada prostat. Simptom bagi sakit ini mungkin bertindan dengan simptom pembengkakan prostat namun ditambah dengan gejala, sakit ketika kencing, darah dalam kencing serta simptom am seperti demam. Obat prostat tradisional sering menjadi pilihan kerana mudah untuk didapati namun, beringatlah bahawa antibiotik merupakan penawar terbaik dalam membunuh bakteria tersebut.
Kalau diteliti bancian tentang kanser prostat, ia menjuarai tangga teratas jenis kanser yang kerap dialami oleh lelaki. Selain menunjukkan simptom seperti di atas, pesakit juga akan mengalami simptom am seperti penurunan berat badan dan kurang selera makan. Jika kanser ini tidak dibendung pada peringkat awal, masalah penyebaran sel kanser ke organ terutamanya tulang belakang akan berlaku dan akhirnya pesakit akan mengadu sakit belakang. Namun jangan gelabah kerana kanser prostat boleh sembuh dan merupakan antara kanser yang memiliki jangka kesembuhan yang paling memberansangkan.