Tindak Balas Badan Terhadap Stress, Tanda-Tanda Serta Kaedah Untuk Mengawalnya

Ketahui 5 Kesan Stress Terhadap Kesihatan Tubuh Badan Manusia - DoctorOnCall
Anonymous
Selamat sejahtera, nama saya Amir dan usia saya baru sahaja mencecah 25 tahun. Saya merupakan pelajar tahun akhir jurusan kejuruteraan. Saya yakin doktor juga pernah melalui zaman universiti dan memahami senario projek bertimbun ketika akhir tahun pengajian. Saya sedia maklum bahawa dilema ini juga dialami oleh kebanyakan pelajar universiti namun entah mengapa saya amat terkesan akan masalah ini dan ia menyebabkan saya berasa stress. Ada antara rakan saya mengatakan bahawa bahawa stress yang mereka alami membuatkan mereka ingin bekerja lebih keras untuk mencapai matlamat. Namun saya merasakan sebaliknya, iaitu patah semangat. Bolehkah saya tahu kesan stress terhadap hidup saya dan bagaimanakah cara untuk mengendalikannya.
Anonymous
Selamat sejahtera, nama saya Amir dan usia saya baru sahaja mencecah 25 tahun. Saya merupakan pelajar tahun akhir jurusa... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima kasih kerana mengajukan soalan berikut. Saya memahami kegusaran yang sedang anda alami kini. Untuk pengetahuan anda, definisi stress adalah pelbagai dan bergantung kepada individu itu sendiri. Memetik kata-kata Dr Hans Selye yang merupakan tokoh kepada teori stress atau tekanan perasaan, mendefinisikan terma ini sebagai “suatu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya”. Bebanan pula boleh berlaku dalam pelbagai bentuk iaitu secara fizikal, cabaran, ancaman dan apa jua bentuk perubahan dalam hidup seseorang yang memerlukan seseorang itu beradaptasi terhadapnya.
Terima kasih kerana mengajukan soalan berikut. Saya memahami kegusaran yang sedang anda alami kini. Untuk pengetahuan an... See More

Jenis Stress Yang Perlu Untuk Diketahui

Stress boleh terbahagi kepada beberapa klasifikasi bergantung kepada cara pandang seseorang berkenaan dengan fenomena ini. Cara pandang merupakan tindak balas mental seseorang dalam menghadapi stress yang mendatang. Tindak balas ini selalunya berbentuk buah fikiran dan persepsi seseorang terhadap stress tersebut. Kebanyakan stress akan membuatkan seseorang patah semangat dan adakalanya membuatkan seseorang berusaha lebih untuk mengatasi bebanan tersebut. Jenis stress adalah tersebut adalah seperti berikut:

  1. Eustress. Ia merupakan stress positif yang mana merangsang seseorang untuk menjadi lebih baik. Stress seperti jenis ini selalunya menyebabkan seseorang berasa teruja, memberikan motivasi, selari dengan potensi seseorang dan berlaku dalam jangka masa pendek. Contoh situasi eustress ialah perkahwinan, mula bekerja di tempat baru, menimang cahaya mata, pergi melancong, kenaikan pangkat dalam pekerjaan dan membeli rumah.
  1. Lawan kata bagi keadaan eustress ialah distress. Ia merujuk kepada jenis stress yang membuatkan seseorang patah semangat dan adakalanya mengundang kepada masalah tertekan. Stress seperti ini selalunya melebihi kemampuan seseorang, menyebabkan seseorang hilang motivasi, mengundang kepada masalah mental mahupun fizikal dan menyebabkan seseorang rasa tidak selesa. Antara contoh situasi yang membawa kepada permasalahan ini ialah, kematian orang tersayang, muflis, penderaan dan perceraian.

Apakah Tindak Balas Badan Terhadap Stress

Apabila seseorang berhadapan dengan situasi stress, badan akan memberikan respons dalam pelbagai bentuk yang merangkumi hormon serta organ dalam tubuh badan yang juga bergantung kepada punca stress. Ketika stress, badan akan menghasilkan banyak hormon adrenalin dan juga kortisol serta disalurkan ke dalam saluran darah. Hormon ini kemudiannya menyebabkan badan serta minda bersedia menghadapi situasi stress dengan merangsang beberapa organ vital dalam badan.

  1. Jantung akan mula berdegup dengan lebih kencang untuk menyalurkan lebih banyak darah kepada beberapa organ penting. Hal ini kemudiannya menyebabkan tekanan darah meningkatkan. Darah ini akan disalurkan lebih banyak ke otot, otak dan jantung iaitu organ penting.
  2. Hormon adrenalin juga secara tidak langsungnya akan menyebabkan saluran darah mengecil. Selain itu, keadaan ini memberi impak kepada hormon lain. Sebagai contoh, penghasilan hormon seksual dan hormon yang bertanggungjawab untuk tumbesaran akan berkurangan.
  3. Keadaan stress ini juga akan menyebabkan pankreas menghasilkan lebih banyak hormon glukagon dan kurang merembeskan hormon insulin. Hal ini akan menyebabkan kandungan gula, lemak dan kolesterol kekal banyak dalam saluran darah. Perkara ini penting bagi menjana tenaga untuk badan.
  4. Sistem pernafasan juga akan menjadi lebih aktif dan laju. Senario ini berlaku bagi membekalkan lebih banyak oksigen ke dalam badan dan sekaligus mengeluarkan banyak karbon dioksida daripada badan.

Mari Ketahui Tanda-Tanda Stress

  1. Tanda secara fizikal: mudah berasa letih, lemah badan, degupan jantung meningkat, sakit bahu ataupun belakang dan pening kepala.
  2. Simptom stress dari segi mental: Lemah daya ingatan, tertekan, fikiran bercelaru, dan tidak respons terhadap perkara yang melucukan.
  3. Tanda dari segi emosi: mudah marah, sering berasa kecewa, merungut selalu, kerap berasa takut dan sensitif

5 Kesan Stress Terhadap Kesihatan Tubuh Badan Seseorang

  1. Masalah jantung dan angin ahmar. Masalah stress akan menyebabkan kandungan lemak dalam saluran darah meningkat. Jika perkara ini berlaku dalam jangka masa yang panjang, ia akan menyebabkan kandungan lemak yang meningkat ini mendap dan terkumpul dalam saluran darah. Perkara ini akhirnya menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan akhirnya pengaliran darah ke organ terlibat akan berkurangan. Jika perkara ini berlaku pada organ jantung, ia akan menyebabkan serangan jantung dan masalah strok atau angin ahmar untuk organ otak.
  2. Perkara ini juga mengundang kepada masalah kencing manis. Hal ini kerana, stress akan memberi respons agar pankreas kurang menghasilkan hormon insulin. Hormon ini pula penting bagi memecahkan kandungan gula dalam badan.
  3. Senario stress ini juga boleh mengakibatkan masalah insomnia. Seperti yang kita sedia maklum, keadaan stress akan menyebabkan fikiran seseorang terganggu. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan seseorang menghadapi kecelaruan minda dan akhirnya susah untuk mereka tenang serta tidur. Kurang tidur juga memberikan kesan kepada produktiviti seseorang dan juga akhirnya menyebabkan seseorang bertambah stress.
  4. Mudah untuk dijangkiti sakit penyakit. Stress akan menghasilkan beberapa hormon yang digunakan untuk menghadapi situasi stress. Namun hormon ini akan menyebabkan sistem imuniti badan menjadi lemah. Keadaan ini pula memberi kesan kepada daya tahan seseorang terhadap jangkitan. Oleh itu, pesakit akan lebih mudah dijangkiti penyakit.
  5. Stress akan menyebabkan seseorang mengalami keradangan gastrik ataupun ketumbuhan ulser pada perut. Fenomena stress akan merangsang penghasilan asid berlebihan dalam perut. Asid yang terlalu banyak akan menyebabkan irritasi pada lapisan perut. Perkara ini akhirnya menyebabkan perut cedera ataupun ketumbuhan ulser.

Bagaimanakah Caranya Untuk Mengendalikan Stress Dengan Baik ?

Pengurusan stress bergantung kepada faktor stress yang menunjangi perkara ini. Seseorang hendaklah untuk mengelakkan daripada punca-punca tersebut. Selain itu, terdapat beberapa cara lain yang boleh untuk dilakukan. Antaranya:

  1. Melakukan aktiviti kerohanian
  2. Mengadakan senaman secara berkala
  3. Mempraktikkan pengamalan tidur yang baik (sleep hygiene).
  4. Berjumpa dengan pakar kaunseling
  5. Mengamalkan pemakanan yang sihat

References