Ulser lidah didefinisikan sebagai kerosakan pada permukaan organ atau tisu yang mengakibatkan luka. Ulser boleh berlaku di mana- mana bahagian badan sebagai ulser dalaman atau ulser luaran tetapi paling banyak berlaku pada permukaan lidah serta mulut.
- Penyebab utama berlakunya ulser lidah ialah kecederaan pada permukaan lidah yang tidak dirawat. Kecederaan tersebut boleh berlaku apabila melakukan aktiviti seperti menggosok gigi atau tergigit lidah terlalu kuat. Kecederaan lidah tersebut akan mudah dijangkiti bakteria lalu menyebabkan komplikasi ulser.
- Tambahan pula, ulser lidah boleh berpunca daripada pembiakan kulat yang bernama ‘candida albicans’. Jangkitan ini akan menyebabkan lidah kita diselaputi sejenis keputihan yang pekat. Jika masalah ini dibiarkan berlarutan maka ia akan menyebabkan komplikasi ulser lidah malahan perkara ini mampu menyebabkan pesakit kehilangan deria rasa.
- Di samping itu, sesetengah ubat gigi atau pencuci mulut mengandungi sejenis bahan kimia yang mungkin terlalu sensitif kepada pengguna yang boleh mendatangkan ulser lidah misalnya ‘sodium lauryl sulfate’ yang boleh mengupaskan mukosa pada permukaan mulut dan juga lidah.
- Ulser lidah juga berpunca daripada masalah dehidrasi. Hal ini demikian kerana kekurangan air dalam badan akan menyebabkan berlakunya kekeringan dalam mulut. Jika individu tidak mengambil langkah untuk memastikan tahap hidrasi pulih kepada tahap biasa ulser lidah akan lebih mudah berlaku.
- Seterusnya, masalah ulser lidah juga boleh disebabkan oleh penyakit berkaitan dengan sistem imunisasi. Penyakit ini berlaku apabila sel imunisasi dalam badan menyerang tisu mulut serta permukaan lidah sekali gus membawa kepada berlakunya keradangan. Apabila berlarutan ulser bukan sahaja berlaku pada mulut serta pada permukaan lidah juga.
- Tambahan pula, terdapat ulser lidah yang boleh berlaku akibat daripada hubungan seks oral. Hal ini demikian kerana penyakit kelamin tersebut boleh merebak dan mendatangkan ulser pada permukaan lidah. Ulser jenis ini selalunya tidak sakit dan akan mengambil masa yang agak lama untuk sembuh kerana punca penyakit kelamin tersebut harus dirawat terlebih dahulu.
- Selain daripada itu, spunca ulser lidah yang tidak diketahui ramai ialah kanser lidah. Individu terbabit akan mempunyai ulser lidah yang tidak sakit dan saiz ulser yang bertambah besar dalam masa yang singkat.