Apa Itu Disentri?

Disentri: Jangkitan Usus Penyebab Najis Berdarah atau Berlendir- DoctorOnCall
Anonymous
Salam Sejahtera Doktor. Saya Marisa berusia 27 tahun. Kelmarin, saya dan keluarga berkelah di Sungai Chongkak. Disana kami tinggal selama 2 hari 1 malam. Kami adakan aktiviti membakar ayam, daging dan lauk-pauk yang lain. Hari ini, saya dapati perut saya sakit dan saya cirit birit yang ada lendir serta darah. Saya telah mengalami cirit-birit sebanyak 4 kali pada hari ini dan kesemuanya mempunyai darah dan lendir. Apabila ditanyakan kepada ahli keluarga yang lain, mereka juga mengalami masalah yang sama. Saya rasa kami keracunan makanan. Cumanya, adakah normal jika terdapat lendir dan darah pada najis kami? Adakah kami memerlukan rawatan lanjut. Setakat ini hanya ayah saya yang mengalami demam dan berasa lebih letih daripada biasa. Saya dan ahli keluarga yang lain, ada merasakan badan suam tetapi oleh kerana kami masih muda, ia tidak begitu teruk. Tolong beri pencerahan kepada kami. Terima Kasih.
Anonymous
Salam Sejahtera Doktor. Saya Marisa berusia 27 tahun. Kelmarin, saya dan keluarga berkelah di Sungai Chongkak. Disana ka... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima Kasih kerana mengajukan soalan kepada saya. Saya faham tentang kebimbangan anda dan ahli keluarga yang lain memandangkan anda dapati najis anda berlendir dan berdarah. Untuk makluman anda, ia sepertinya menjurus kepada disentri iaitu jangkitan usus akibat keracunan makanan. Anda harus mengunjungi klinik atau hospital berdekatan bagi melihat organisme apa yang telah menyebabkan jangkitan tersebut. Rawatannya juga bukanlah seperti cirit-birit atau keracunan yang biasa. Anda mungkin memerlukan antibiotik atau ubat membunuh organisme yang menjangkiti usus anda. Saya akan terangkan dengan lebih lanjut tentang disentri ini.
Terima Kasih kerana mengajukan soalan kepada saya. Saya faham tentang kebimbangan anda dan ahli keluarga yang lain meman... See More

Apa Itu Disentri?

Jika pada suatu hari, anda dapati najis anda berlendir dan berdarah serta lebih cair daripada biasa, ia mungkin merujuk kepada masalah disentri atau penyakit radang usus, usus tidak selesa dan sebagainya. Namun, saya akan memberi pencerahan tentang tajuk disentri dengan lebih lanjut. Anda makan di restoran, berkelah diluar rumah, membakar lauk-pauk dengan rakan-rakan kemudian beberapa hari seterusnya anda alami buang air besar cair, berdarah dan berlendir? Anda mungkin alami disentri. 


Disentri ialah jangkitan usus yang menyebabkan cirit-birit, najis berdarah dan berlendir. Cirit birit pula ialah apabila tekstur najis lebih cair daripada biasa dan anda lebih kerap membuang air besar. Masalah kesihatan disentri ini boleh berjangkit kepada orang lain melalui kurangnya rutin penjagaan kebersihan makanan seperti tidak membasuh tangan sebelum memasak.

Apakah Gejala Disentri?

Selain najis berdarah, cair dan berlendir, anda mungkin alami gejala seperti sakit perut yang memulas dan mencucuk. Hal ini kerana jangkitan daripada organisme seperti kuman atau parasit menyebabkan keradangan pada permukaan usus sehingga menimbulkan sakit pada usus yang memulas. Selain itu, pesakit juga mengadu peningkatan suhu badan atau demam. Kemungkinan besar toksin atau organisme telah pun masuk ke dalam saluran darah pesakit dan ia menyebabkan gejala sistemik untuk berlaku. Apabila ini berlaku, antibiotik dan ubat demam mungkin diperlukan. Pesakit juga mengadu loya dan muntah-muntah seperti gejala keracunan makanan yang lain.

Apakah Penyebab Disentri?

Terdapat 2 jenis disentri utama. Antaranya ialah disentri yang disebabkan oleh organisme seperti kuman atau bakteria. Sebagai contoh, shigella, salmonella, campylobakter merupakan organisme kuman yang boleh menyebabkan jangkitan usus sehingga menyebabkan cirit-birit berdarah dan berlendir. Selain itu, disentri amoeba merupakan organisme parasit yang turut boleh menyumbang kepada masalah disentri. 

Walaupun menggelikan, organisme ini bergerak daripada najis seseorang ke mulut seseorang yang lain melalui makanan. Sebagai contoh, seseorang yang tidak mencuci tangan selepas keluar daripada tandas dan membuat kerja di dapur. Ini merupakan punca utama penyebaran jangkitan ini. Oleh itu, langkah pencegahan disentri yang berkesan ialah amalan mencuci tangan dengan kerap amat penting bagi mengelakkan penyebaran jangkitan ini. Tidak perlu untuk anda memikirkan langkah sendiri seperti makanan penyembuh disentri atau makanan penyebab disentri yang perlu anda cegah kerana kunci utama untuk mengelakkan jangkitan ini ialah dengan mencuci tangan. 

Selain itu, terdapat risiko untuk dijangkiti melalui aktiviti seperti berenang dan hubungan intim yang melibatkan dubur. Maka, amalkan aktiviti yang sihat bagi mengelakkan jangkitan ini.

Apakah Faktor Risiko Disentri?

Jadi, bilakah penyakit ini paling sering disebarkan kepada orang lain? Oleh kerana organisme seperti Shigella boleh dijumpai pada najis, ujian najis akan dijalankan. Amalan dibawah akan meningkatkan risiko disentri ini untuk berlaku.

  • Tidak mengamalkan rutin mencuci tangan sebelum memasak
  • Tidak menggalakkan kanak-kanak mencuci tangan sebelum makan
  • Tidak mencuci tandas dengan bersih lebih-lebih lagi pada bahagian yang kerap menjadi tempat kuman membiak seperti mangkuk tandas, penarik pam tandas, tombol pintu dan sebagainya. 
  • Apabila dijangkiti, masih keluar dan melakukan aktiviti dalam tempoh 48 jam.
  • Masih lagi menjalankan aktiviti berisiko tinggi seperti berenang setelah dijangkiti
  • Melakukan seks dalam tempoh 48 jam dijangkiti
  • Tidak mencuci pakaian, sarung selimut dan sebagainya yang terdapat banyak organisme

Bagaimanakah Cara Merawat Disentri?

Jika anda alami disentri yang tidak teruk, gejala ini kebiasaannya mengambil masa untuk reda dalam tempoh 3 hingga 7 hari. Rawatan intensif juga tidak diperlukan. Namun, amat penting untuk minum air yang banyak bagi menggantikan air yang telah hilang bersama dengan najis cair yang anda alami. Hal ini mengurangkan risiko dehidrasi.

Bagi gejala demam dan sakit perut yang memulas, ubat tahan sakit seperti Panadol sudah memadai kebiasaannya. Ia akan mengurangkan gejala-gejala ini agar anda lebih selesa dan bertenaga. Jangan sama sekali terfikir untuk mengambil ubat cirit-birit kerana ubat tersebut akan menerukkan lagi keadaan. 

Memandangkan penyakit ini boleh dijangkiti, anda boleh kurangkan kadar jangkitan kepada orang lain dengan tinggal di rumah selama sekurang-kurangnya 48 jam. Cuci tangan dengan bersih sebelum memasak. 


Walaupun jarang-jarang, namun berdasarkan organisme yang menjangkiti usus anda, antibiotik untuk disentri mungkin diperlukan. Hal ini bergantung kepada pemikiran kritikal doktor yang merawat. Oleh itu bilakah anda disarankan untuk mengunjungi doktor? Memandangkan majoriti pesakit akan sembuh sendiri, keperluan untuk berjumpa dengan doktor amat rendah. Namun, jika anda merasakan gejala anda tidak kebah dan semakin meneruk, jangan teragak-agak untuk mendapatkan bantuan kecemasan secepat mungkin. Begantung kepada keadaan anda, anda akan diberi antibiotik atau anda mungkin di tahan di hospital selama beberapa hari.