Apakah Penyebab Najis Berwarna Hijau dan Adakah Ia Perkara Biasa?

Anonymous
Hello, doktor. Saya berusia 50 tahun dan bekerja sebagai penyelia di salah sebuah kilang di Selangor. Saya sudah berkahwin dan mempunyai 4 orang anak. Baru-baru ini, saya kerap mengalami najis yang berwarna hijau setiap kali selepas buang air besar. Najis tersebut bercampur warna coklat gelap dan kehijau-hijauan, tidak cair dan tidak mempunyai apa-apa darah atau lendir. Saya tidak mengalami sebarang muntah-muntah, cirit-birit atau sembelit. 

Saya juga tidak mengalami sebarang sakit-sakit di bahagian abdomen dan badan saya tidak panas atau demam. Selain itu, saya mempunyai selera makan yang baik dan tidak mengalami penurunan berat badan. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan bagi saya. Saya ingin pergi ke farmasi tetapi tidak tahu ubat yang sesuai untuk masalah ini. Saya tidak pernah mengalami najis hijau sebelum ini. Dalam sejarah keluarga saya, tiada yang pernah mengalami sebarang kanser seperti kanser usus atau kanser perut.

Pada pendapat doktor, apakah punca kepada najis yang berwarna hijau ini ? Adakah ia normal atau berkaitan dengan penyakit lain dan adakah saya perlu ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan yang sempurna?
Anonymous
<span style="font-size: 24px;"></span>Hello, doktor. Saya berusia 50 tahun dan bekerja sebagai penyelia di salah s... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan butiran-butiran yang anda beri, punca kepada najis anda berwarna hijau mungkin adalah sesuatu yang normal atau ia mungkin berkaitan dengan masalah daripada usus. Jadi, saya sarankan anda untuk berjumpa dengan doktor untuk menjalani ujian yang sepatutnya dan seterusnya mendapatkan rawatan yang teliti. Najis biasanya berwarna coklat. Warna najis terhasil daripada apa yang anda makan dan berapa banyak hempedu (‘bile’) dalam najis anda. ‘Bile’ adalah cecair yang dihasilkan oleh hati anda untuk mencernakan lemak. Ia bermula daripada warna hijau kekuningan tetapi apabila pigmen yang menghasilkan warna untuk hempedu masuk ke dalam sistem pencernaan, kedua-duanya melalui perubahan kimia dan bertukar warna kepada coklat. Kebiasaannya, sedikit perubahan terhadap warna najis adalah disebabkan oleh pemakanan. Hal ini kerana, kita tidak menikmati makanan yang sama pada setiap hidangan, setiap hari. Tetapi kadangkala perubahan warna boleh memberi tanda terhadap masalah kesihatan yang dialami. Dalam kes-kes yang jarang berlaku, boleh jadi terdapat sesuatu yang serius sedang berlaku dalam sistem pencernaan anda.
Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan butiran-butiran yang anda beri, punca kepada najis anda berwarna hijau mungki... See More

APAKAH PUNCA NAJIS BERWARNA HIJAU?

Najis hijau biasanya disebabkan oleh pengambilan sayuran hijau yang sangat banyak dalam diet seseorang kerana klorofil yang terdapat dalam tumbuhan yang menghasilkan warna hijau. Di samping itu, kanak-kanak mungkin mempunyai najis berwarna hijau di mana mereka telah memakan sesuatu hidangan yang mempunyai pewarna hijau yang banyak.

  • Najis hijau yang disebabkan oleh pemakanan harian adalah sebab yang normal dan biasa didengari, tetapi ada juga sesetengah orang; yang tidak makan sayuran hijau atau makanan yang mempunyai pewarna hijau yang banyak, jadi untuk kes seperti ini haruslah berhati-hati kerana ia mungkin disebabkan oleh sesuatu penyakit yang serius. Jadi, antara penyebab kepada najis yang berwarna hijau adalah:

  • Pigmen hempedu - najis boleh menjadi hijau disebabkan oleh pigmen hempedu dalam najis. Sekiranya makanan bergerak terlalu cepat melalui usus, pigmen hempedu tidak boleh dicernakan dengan secukupnya. Salah satu sebab yang menyebabkan ia terjadi adalah cirit-birit. 

  • Antibiotik – sesetengah antibiotik yang tertentu boleh mengubah jenis-jenis bakteria yang ada dalam usus. Disebabkan bakteria mampu mempengaruhi warna normal bagi najis, jadi perubahan bakteria mungkin boleh membawa kepada perubahan terhadap warna najis, iaitu menjadi hijau. 

  • Prosedur perubatan yang tertentu - contohnya, jika pemindahan tulang sumsum ditolak oleh badan penerima, ia boleh menyebabkan ‘graft versus host disease’ yang dipanggil dalam istilah perubatan. Salah satu akibat dari keadaan ini ialah cirit-birit dan najis menjadi hijau.

  • Parasit dan bakteria – organisma yang tertentu boleh menyebabkan najis menjadi hijau, termasuklah bakteria Salmonella, Giardia (parasit berasaskan air), dan norovirus. Organisma yang tidak diundang ini boleh menyebabkan usus bekerja atau bergerak lebih cepat daripada biasa, yang akan mempengaruhi warna najis.

ADAKAH NAJIS BERWARNA HIJAU NORMAL?

Kebiasaannya, najis hijau atau kehijauan adalah normal. Beberapa perkara yang boleh menyebabkannya adalah:

  • Sayuran hijau, seperti bayam atau kale

  • Pewarna makanan hijau, seperti minuman campuran atau aiskrim

  • Suplemen tambahan seperti zat besi

Sekiranya anda mempunyai cirit-birit hijau, warna makanan tidak semestinya boleh dipersalahkan. Kemungkinan makanan anda bergerak melalui usus terlalu cepat, jadi hempedu yang berfungsi untuk mencernakan lemak tidak mempunyai masa untuk bertukar menjadi coklat.

APAKAH MAKSUD NAJIS BERWARNA?

Najis datang dalam pelbagai warna. Kebiasaannya warna coklat dan juga warna hijau dianggap sebagai normal. Sesetengah keadaan najis seperti najis berwarna hitam kemerahan mungkin menunjukkan keadaan usus yang berpotensi serius seperti kanser usus.

Warna najis biasanya dipengaruhi oleh apa yang anda makan dan juga dipengaruhi dengan jumlah hempedu yang berada dalam najis anda. Apabila pigmen hempedu bergerak melalui usus anda, mereka akan diubah suai secara kimia oleh enzim, mengubahkan warna pigmen dari hijau menjadi coklat.

Dalam kebanyakan kes, perubahan warna najis bukanlah kerana gejala penyakit semata-mata. Ia mungkin disebabkan oleh:

  • Cirit-birit boleh menyebabkan najis menjadi hijau atau kuning.

  • Beberapa makanan (ubi bit, ‘licorice’, sayur-sayuran berdaun hijau)

  • Beberapa ubat-ubatan ‘over-the-counter (OTC)’ dan preskripsi

  • Penyakit yang berkaitan hati, pankreas, dan usus

  • Pendarahan daripada saluran usus

NAJIS BERWARNA KUNING?

  • Najis kuning ini adalah normal bagi kebanyakan orang. Ia adalah normal untuk bayi, terutamanya bayi yang menyusu. Tetapi jika anda mempunyai najis kuning yang kelihatan berminyak dan berbau sangat busuk, ia mungkin kerana terlalu banyak lemak. Ia mungkin boleh menjadi petanda yang tubuh badan anda tidak mencerna makanan dengan betul.

  • Sebagai contoh, jika anda mempunyai penyakit ‘coeliac’, badan anda tidak boleh mengendalikan protein yang dipanggil gluten, yang terdapat dalam gandum, barli, dan rai. Sekiranya anda mengalami penyakit ini dan anda banyak memakan makanan yang mempunyai gluten, seperti roti, pasta, dan biskut, usus anda mungkin tidak mampu berfungsi seperti biasa.

NAJIS BERWARNA PUTIH ATAU PUCAT?

  • Ubat untuk cirit-birit seperti ‘bismuth subsalicylate’ kadangkala boleh menyebabkan najis berwarna pucat atau berwarna seperti tanah liat.

  • Penyebab yang lebih serius adalah kekurangan hempedu dalam najis anda. ‘Bile’ atau hempedu dihasilkan di dalam hati, disimpan di dalam kantung pundi hempedu, dan dibebaskan ke dalam usus kecil anda untuk membantu mencernakan makanan anda.

  • Sekiranya hempedu tidak mencukupi untuk memberikan najis warna coklat yang sebetulnya, ia boleh menjadi tanda yang sesuatu berlaku dalam sistem hempedu atau sistem saluran pencernaan.

Penyakit hati, seperti hepatitis, boleh menghalang hempedu daripada masuk ke dalam saluran usus. Boleh jadi sesuatu telah tersumbat di dalam tiub yang membawa hempedu. Ini boleh berlaku kerana:

  • Gallstones’/batu hempedu

  • Tumor

  • ‘Biliary atresia’

NAJIS BERWARNA HITAM?

Najis bayi adalah berwarna hitam untuk beberapa hari selepas mereka dilahirkan. Selepas itu, mungkin kerana anda makan sesuatu yang berwarna sangat gelap atau mengambil ubat atau suplemen yang menyebabkan najis bayi anda berwarna hitam. Tetapi warna ini boleh menjadi tanda terhadap masalah yang lebih serius yang boleh menimbulkan kebimbangan anda seperti pendarahan di bahagian atas saluran pencernaan anda.

Makanan, ubat-ubatan, dan suplemen yang menyebabkan najis hitam termasuklah:

  • Suplemen tambahan seperti zat besi

  • ’Licorice’ hitam

  • Beri biru

  • Najis yang kelihatan seperti tar selalunya merupakan petanda bahawa terdapatnya pendarahan dalam saluran pencernaan. Beberapa sebab yang ada termasuklah:

  • Ulser

  • Luka pendarahan di esofagus disebabkan refluks asid

  • Kanser

NAJIS BERWARNA MERAH?

Sekiranya anda melihat najis berwarna merah terang atau kemerah-merahan di dalam tandas, jangan terus rasa cemas. Pertama sekali, tanya diri anda jika anda ada mengambil makanan berwarna merah sejak kebelakangan ini. Ubi bit, sup tomato, dan minuman merah boleh mengubah warna najis anda.

Jika anda fikir makanan adalah bukan puncanya, merah yang anda lihat mungkin adalah darah. Dan jika ia merah terang, darah tersebut mungkin datang dari bahagian bawah saluran pencernaan anda. Penyebabnya termasuklah:

  • Kanser usus

  • Keradangan di usus besar, dipanggil kolitis

  • Gumpalan pertumbuhan yang tidak normal yang dipanggil polip dalam usus besar

  • Keadaan yang disebabkan oleh kantung kecil di dinding usus besar, yang dikenali sebagai penyakit divertikular

  • Buasir

BILA ANDA HARUS JUMPA DOKTOR?

Jika anda berfikir najis hijau yang anda alami bukan disebabkan oleh diet yang kaya dengan sayuran atau pewarna makanan hijau, anda haruslah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

Rujuk doktor anda jika anda bimbang tentang warna najis anda. Jika najis anda berwarna merah terang atau hitam - yang mungkin menunjukkan kehadiran darah - dapatkan rawatan perubatan dengan segera.

Jika terdapat apa-apa kemusykilan, sila rujuk nasihat doktor yang boleh dijumpai di klinik atau hospital. Jika ia bukan kecemasan, anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor di laman web www.doctoroncall.com.my.

Terima kasih.


References