Terdapat pelbagai jenis rawatan untuk muntah yang boleh didapati di mana-mana farmasi. Antaranya ialah ubat tahan muntah seperti metaclopramide, ubat arang yang diaktifkan (untuk kes keracunan makanan) dan garam rehidrasi. Garam rehidrasi penting untuk menggantikan air yang dimuntahkan oleh pesakit. Dehidrasi merupakan komplikasi yang sering berlaku dalam pesakit yang muntah terlampau banyak. Sekiranya pesakit terlalu lemah, jarum akan dimasukkan ke dalam saluran darah untuk masukkan air terus ke dalam badan.
Ubat tahan muntah untuk ibu mengandung yang selamat digunakan dan tidak menjejaskan kesihatan bayi adalah sepertiubat antihistamine (Diphenhydramine, Promethazine, Meclizine), phenothiazines (Chlorpromazine, Prochlorperazine), Metoclopramide dan Ondansentron. Selain ubat-ubatan, kaedah lain yang boleh diambil untuk menangani masalah muntah yang tidak terlalu teruk ketika mengandung ialah halia. Halia boleh diambil dalam bentuk teh atau pill. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan halia lebih membantu daripada kaedah placebo dalam menangani masalah ‘morning sickness’.
Tips secara am untuk mengelakkan fenomena muntah ialah:
- Elakkan makan di tempat yang kurang bersih. Perhatikan kawasan sekitar gerai atau kedai makan yang anda kunjungi. Sekiranya kebersihan kedai tersebut atau cara penyediaan makanan mereka kurang memuaskan, elakkan membeli makanan di situ. Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan anda terkena keracunan makanan.
- Elakkan makan makanan yang kurang masak atau mentah. Jangkitan usus boleh berpunca daripada organisma seperti salmonella yang boleh dijumpai dalam daging dan telur.
- Makan dengan perlahan dan kunyah makanan sehingga betul-betul hancur. Langkah ini akan membantu sistem penghadaman anda supaya lebih efektif dan lancar. Menurut kajian, langkah ini boleh juga mengurangkan berat badan kerana anda akan makan kuantiti yang lebih kecil tetapi berasa kenyang.
- Jangan makan terlampau banyak pada satu masa.
- Kurangkan pengambilan makanan yang terlalu pedas. Makanan yang terlalu pedas boleh menyumbang kepada pembentukan ulser perut.
- Kurangkan makanan yang terlalu berminyak. Berpada-padalah apabila menggunakan minyak dalam masakan anda. Elakkan juga makan makanan yang bergoreng setiap hari. Ini boleh meningkatkan tahap kolesterol anda dan menyumbang kepada pembentukan batu hempedu. Batu hempedu boleh menyumbat saluran pankreas lalu menyebabkan radang pankreas.
- Elakkan baring sejurus selepas makan.
- Kurangkan pengambilan alkohol. Alkohol merupakan faktor risiko kepada pembentukan ulser perut dan gastroesophageal reflux disease(GERD). Ulser perut boleh menyebabkan muntah darah manakala GERD boleh bertukar kepada kanser esofagus. Pengambilan alkohol secara berlebihan pada satu masa juga boleh menyebabkan muntah apabila dalam keadaan mabuk.
- Bagi wanita hamil yang mengalami gejala morning sickness, anda boleh makan beberapa keping biskut selepas bangun atau makan makanan yang tinggi protein sebelum tidur seperti daging dan keju.