Berak Berdarah Mungkin Buasir? Ketahui Punca Najis Berdarah Mengikut Ciri

Ketahui Punca Berak Berdarah, Tanda Buasir & Cara Mendiagnos - DoctorOnCall
Anonymous
Selamat sejahtera doktor. Saya merupakan seorang pekebun di sebuah sekolah dan saya berumur 37 tahun. Saya ingin mengadu masalah berak berdarah yang telah saya alami beberapa hari lepas. Ini pertama kali saya menghadapi masalah ini. Selepas basuh berak, ketika mengelap punggung, saya dapati terdapat darah pekat pada tuala dan tisu. Saya juga perasan terdapat kesan darah di sekitar mangkuk tandas. Walaupun tak banyak, tetapi darah telah bercampur dengan air di dalam mangkuk tandas dan air tersebut bertukar warna kemerah-merahan. Waktu saya berak, saya perasan yang najis saya tidak mempunyai kesan darah cuma apabila habis berak baru saya perasan ada darah. Saya tak rasa sakit pedih pun masa berak tu. Adakah saya mengalami buasir? Perlukah saya risau kerana pakcik saya ada kanser usus.
Anonymous
Selamat sejahtera doktor. Saya merupakan seorang pekebun di sebuah sekolah dan saya berumur 37 tahun. Saya ingin mengadu... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima kasih atas soalan yang ditujukan. Kami memahami kebimbangan yang anda hadapi dan berdasarkan gejala yang anda gambarkan, anda mungkin mengalami masalah buasir. Namun begitu, saya tidak boleh memberi satu diagnosis tanpa menjalankan pemeriksaan fizikal secara menyeluruh. Hal ini kerana terdapat beberapa sebab lain yang menyumbang kepada masalah berak berdarah seperti penyakit divertikular (diverticular disease), angiodisplasia (angiodysplasia), keradangan usus besar (colitis), dan tumor di usus besar. Saya menasihatkan anda supaya berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan segera. Doktor akan membuat pemeriksaan fizikal serta menjalankan ujian seperti colonoscopy (skop yang akan dimasukkan ke dalam usus besar untuk pemeriksaan) untuk mengenalpasti punca masalah berak berdarah. Sekiranya anda mengalami kepenatan, kepeningan atau aktiviti seharian anda terganggu, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor dengan kadar segera untuk mengelakkan masalah yang lebih serius.
Terima kasih atas soalan yang ditujukan. Kami memahami kebimbangan yang anda hadapi dan berdasarkan gejala yang anda ga... See More

Punca dan Sebab Berak Berdarah

Berak berdarah merupakan satu gejala, simptom atau masalah yang digeruni oleh pelbagai lapisan masyarakat. Hal ini kerana, ia melibatkan pendarahan, suatu yang boleh dilihat oleh mata pesakit sendiri. Terdapat pelbagai diagnosis untuk permasalahan ini dan lebih 30 penyakit yang boleh menyumbang kepada kondisi berak berdarah. Ianya berbeza mengikut lokasi pendarahan berlaku samada ianya disebabkan patologi yang di bahagian perut, usus kecil, usus besar ataupun di lubang dubur itu sendiri. Maka, untuk mendiagnos penyakit yang disebabkan masalah berak berdarah, doktor perlu mengemukakan pelbagai soalan, pemeriksaan fizikal serta ujian tambahan agar diagnosis yang diberikan adalah tepat dan supaya pesakit mendapatkan cara rawatan yang terbaik.

Kepentingan Kuantiti Pendarahan

Kuantiti pendarahan perlu dikenalpasti bagi memastikan keadaan pesakit terus stabil. Untuk lebih mudah digambarkan, doktor mungkin bertanya tentang kuantiti pendarahan melalui perbandingan seperti sebanyak satu sudu teh, satu gelas dan sebagainya yang lebih mudah difahami pesakit daripada bertanyakan berapa mililiter darah yang mengalir dari dubur pesakit. Hal ini penting kerana jika pendarahan berlaku dengan sangat banyak, pesakit mungkin berasa penat dan lemah dan mempunyai risiko yang tinggi untuk pengsan. Walaubagaimanapun, kuantiti darah tidak sepenting rupa darah pada najis, sakit ketika lubang dubur terbuka, perubahan tabiat buang air, dan jika pesakit ada kehilangan berat badan yang boleh memberi makna dan diagnosis yang berbeza.

Penyakit Mengikut Rupa Pendarahan

Secara amnya, semakin pekat pendarahan yang keluar dari dubur pesakit, semakin dekat lokasi pendarahan dengan lubang dubur. Jika lokasi pendarahan berlaku jauh dari lubang dubur, darah yang keluar akan menjadi lebih gelap malahan boleh menjadi warna hitam hasil daripada oxidasi haem (molekul sel darah merah) oleh bakteria di dalam usus. Sebagai contoh, jika pesakit mempunyai luka di dalam perut, najisnya berkemungkinan bercampur dengan darah yang berwarna hitam. Hal ini berbeza apabila terdapat buasir atau luka pada penghujung usus atau lubang dubur kerana sembelit dimana darahnya lebih pekat dan lebih merah.

Penyakit Mengikut Jenis Pendarahan Pada Najis

  • Darah bercampur dengan najis

Hal ini mencadangkan bahawa luka berada pada sebelum kolon sigmoid kerana najis pada kolon proximal adalah lembut dan ianya membantu darah untuk bercampur dengan najis. Pada masa yang sama, najis mempunyai masa yang lama untuk bercampur dengan darah di lokasi tersebut.

  • Coretan atau garis-garis darah pada najis

Perkara ini mencadangkan sumber pendarahan berada di kolon sigmoid, rektum atau lubang dubur.

  • Darah keluar berasingan dengan najis

Jika darah keluar sejurus selepas berak, ianya merupakan tanda-tanda buasir. Namun, jika darah keluar tanpa rangsangan berak, terdapat pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku seperti penyakit divertikular, angiodisplasia, radang usus ataupun pendarahan cepat yang berlaku disebabkan oleh kanser.

  • Darah hanya terdapat pada tuala ataupun tisu tandas

Hal ini bererti pendarahan hanyalah sikit atau kecil dan boleh disebabkan oleh luka pada saluran atau lubang dubur dan selalunya disebabkan oleh penyakit buasir atau rekahan dubur (anal fissure) - luka kecil pada lubang dubur.

Terasa Sakit Ataupun Bahagian Dubur Terkeluar Ketika Membuang Air Besar

Kebanyakkan pesakit yang mempunyai keadaan berak berdarah tidak merasakan sakit. Namun, terdapat pengecualian yang ketara terhadap pesakit yang mempunyai rekahan dubur (anal fissure) dimana sakit yang dialami pesakit adalah sangat pedih semasa berak dan beberapa jam selepas pesakit membuang air besar. Kadang-kadang, pesakit rekahan dubur (anal fissure) akan mengadu gatal-gatal dan iritasi di bahagian dubur. Radang kolon pula dikaitkan dengan sakit kejang di bahagian perut dan penyakit buasir tidak selalunya berasa sakit melainkan darah telah mengalami “thrombosis” pembekuan dan pesakit perasan terdapat prolaps pada lubang dubur. Penyakit lain yang perlu dipertimbangkan apabila pesakit mempunyai berak berdarah disertai rasa sakit ialah kanser dubur.

Perasaan Tidak Puas Setelah Selesai Membuang Air Besar (Tenesmus)

Perasaan seperti masih ada baki najis di dalam usus setelah pesakit membuang air besar dikenali sebagai ‘tenesmus’. Gejala ini sangat spesifik untuk penyakit kanser rektum dimana ianya disebabkan oleh ketumbuhan yang berada di dalam rektum. Selain kanser rektum, ianya juga boleh disebabkan oleh radang usus besar (colitis).

Perubahan Pada Tabiat Buang Air Besar

Apabila pesakit mengalami cirit-birit serta terdapat pendarahan ianya boleh disebabkan oleh radang usus besar (colitis) atau apabila ianya bercampur dengan lendir, ia boleh disebabkan oleh kanser rektum, adenoma rektum atau keradangan rektum dan dubur



Hilang Berat Badan

Apabila pesakit yang berusia mengadu hilang berat badan dalam masa yang singkat, doktor akan mengesyaki kanser rektum. Perlu diingatkan bahawa kanser rektum tidak semestinya merebak ke organ lain untuk menyebabkan terjadinya penurunan berat badan.

References