- Oleh sebab encik mengalami gejala seperti ini maka kemungkinan besar encik mempunyai masalah gastrik.
- Selain itu, punca utama encik mendapat masalah ini kerana sering kali makan makanan yang pedas.
- Ini akan menyebabkan berlakunya irritasi kepada tisu dalam perut sekali gus mendatangkan keradangan yang akan membawa kepada masalah gastrik ini.
- Saya juga mendapati encik sering kali makan makanan yang pedas pada waktu malam iaitu waktu tidur.
- Ini menyebabkan perut encik bekerja lebih keras untuk membantu mencernakan makanan tersebut walaupun itu merupakan waktu berehat.
- Ini juga telah mendorong kepada masalah yang sedang encik alami sekarang iaitu gastrik.
Mengapa saya muntah kuning (Yellow Vomit) sejak kebelakangan ini?
Selamat pagi, doktor. Saya seorang pemandu lori berusia 32 tahun. Saya sudah berkahwin dan isteri saya berusia 30 tahun dan beliau seorang suri rumah. Kami mempunyai 2 orang anak yang sedang belajar di sekolah rendah. Sejak kebelakangan ini, saya mengalami masalah muntah-muntah sahaja. Saya mendapati muntah saya berwarna kuning dan tidak mempunyai sebarang kesan darah. Masalah ini juga berikutan dengan masalah kepedihan pada ulu hati. Kadang kala selepas muntah dan mencuci mulut, saya masih boleh rasa pahit dalam mulut saya. Saya mendapati masalah ini sering kali terjadi apabila saya makan makanan yang pedas. Saya memang gemari makanan pedas seperti mee kari, tom yam serta sambal belacan.
Selain itu, kerana saya selalu memandu lori, kebanyakan kali saya berhenti untuk makan makanan seperti ini pada waktu malam di gerai-gerai kecil. Ianya memang sangat sedap tetapi selepas makan saya akan mula berasa pedih pada bahagian ulu hati serta akan muntah dan muntahnya berwarna kuning. Ini telah berlaku kerap juga sepanjang seminggu ini. Saya juga sering kali rasa tidak selesa kerana perkara ini. Hal ini kerana sebelum makan saya akan rasa begitu lapar tetapi selepas makan semuanya dimuntahkan. Saya langsung tidak tahu kenapa saya muntah kuning. Bolehkah doktor menerangkan kepada saya apa yang berlaku kepada saya?
Terima kasih encik atas soalan tersebut. Pada pendapat saya, saya mendapati encik mempunyai masalah muntah kuning (Yellow Vomit) kerana gastrik. Masalah gastrik ini disebabkan oleh keradangan pada tisu dalam perut yang lama kelamaan jika dibiarkan akan menyebabkan berlakunya gastrik ini. Masalah gastrik selalunya menyebabkan seseorang itu muntah kuning serta rasa pahit dalam mulut sahaja. Ini juga akan diikuti oleh masalah kepedihan di bahagian ulu hati.
Mengapa Gastrik
Apakah Penyebab Muntah Berwarna Kuning
Muntah merupakan suatu masalah yang selalu berlaku. Dalam hal ini, yang paling penting adalah warna muntah tersebut. Hal ini kerana warna muntah yang keluar dapat membantu doktok dalam membuat diagnosis dan mengesan punca permasalahan ini. Penyebab-penyebab muntah berwarna kuning adalah:
A) ‘Bile’ (Hempedu)
Penyebab utama muntah berwarna kuning ialah apabila seseorang itu muntah dengan perut kosong. Hal ini berlaku kerana cecair yang dihasilkan oleh organ hati. Cecair ini dikenali sebagai ‘bile’ (hempedu). Hempedu memainkan peranan dalam pencernaan lemak di dalam badan. Jadi, apabila seseorang muntah dengan perut kosong, maka ianya akan menyebabkan hempedu tersebut yang keluar kerana perut tidak mempunyai sebarang kandungan makanan. Hempedu inilah yang berwarna kuning dan terkandung dalam muntah tersebut.
B) ‘Bile reflux’
Selain itu, terdapat juga suatu fenomena yang dikenali sebagai ‘bile reflux’. Bile reflux ini terjadi disebabkan hempedu mengalir ke perut dan juga akan mengalir naik ke esophagus. Ini selalunya berlaku serentak dengan masalah gastrik. Disebabkan itu, apabila mereka muntah, muntah mereka berwarna kuning kerana mengandungi hempedu.
C) Keracunan makanan
Masalah keracunan makanan juga boleh menyebabkan muntah berwarna kuning. Hal ini kerana keracunan makanan akan menyebabkan gejala muntah-muntah. Oleh itu, jika dibiarkan begitu sahaja, perut akan kosong dan apabila muntah lagi, bahan yang keluar hanyalah hempedu yang berwarna kuning.
D) Usus Tersumbat
Sehubungan dengan itu, muntah berwarna kuning juga boleh disebabkan oleh usus yang tersumbat. Ini kerana hempedu yang dihasilkan tidak dapat melalui usus dengan lancar kerana tersumbat.Rentetan itu, hempedu akan terkumpul di bahagian perut lalu menyebabkan berlakunya iritasi pada perut sehingga mengakibatkan muntah yang berwarna kuning. Oleh itu, ianya memang sangat berbahaya apabila seseorang itu menghadapi masalah usus tersumbat. Ianya perlu dirawat dengan segera.
E) Pengambilan alkohol berlebihan
Seterusnya, pengambilan alkohol yang berlebihan juga boleh membawa kepada masalah muntah berwarna kuning. Ini kerana pengambilan alkohol secara berlebihan boleh membawa kepada masalah radang tisu dalam perut. Ini apabila berlarutan boleh menyebabkan seseorang itu berasa tidak selesa pada bahagian perut sekaligus boleh mengakibatkan seseorang itu muntah. Muntah akan berwarna kuning kerana mengandungi hempedu yang dirembeskan ke dalam perut untuk membantu menghadam alkohol.
Apakah Gejala Yang Akan Dialami Oleh Pesakit ?
Masalah muntah berwarna kuning ini tidak boleh diambil ringan oleh masyarakat. Hal ini kerana masalah ini mempunyai kesan sampingan yang sangat serius. Oleh itu, jika tidak dikesan lebih awal maka terjadilah masalah-masalah yang tidak diingini. Antara gejala lain muntah kuning adalah:
- Rasa pahit dalam mulut
- Sakit perut
- Pedih ulu hati
- Kentut
- Cepat rasa lapar
Apakah Cara Merawat Muntah Kuning ?
Cara merawat masalah muntah kuning adalah dengan merawat penyebab kepada masalah ini.
A) Merawat keracunan makanan
Masalah muntah kuning jika berpunca daripada masalah keracunan makanan boleh dirawat dengan memberikan ubat tahan muntah. Individu tersebut digalakkan minum minuman isotonik bagi membantu mengembalikan mineral dalam badan yang telah hilang.
B) Melembutkan najis jika sembelit
Sekiranya menghadapi masalah usus tersumbat, maka individu tersebut haruslah berjumpa dengan doktor kerana mereka akan membantu menyelesaikan masalah tersebut. Ini dapat membantu menangani masalah muntah kuning tersebut.
C) Melancarkan ‘bile’
Masalah seperti ‘bile reflux’ akan dirawat dengan ubat. Ubat tersebut akan membantu mencairkan hempedu sekaligus senang untuk dikeluarkan. Ini juga mencegahnya dari berpatah balik ke esophagus. Selain itu, sekiranya ubat tersebut tidak berfungsi dengan baik, maka individu tersebut dinasihatkan menjalani pembedahan. Kaedah ini akan dapat menyelesaikan masalah muntah kuning.
D) Mengelak alkohol
Masalah muntah kuning juga dapat dicegah apabila seseorang itu berhenti minum minuman beralkohol secara berlebihan. Seperti yang diketahui ramai, alkohol membahayakan kesihatan serta boleh menyebabkan berlakunya radang perut kerana sifatnya yang berasid. Untuk menyelesaikan masalah ini, seseorang itu haruslah mengurangkan atau lebih baik berhentikan terus pengambilan minuman yang beralkohol supaya masalah ini dapat diselesaikan dan dirawat dengan efektif.
E) Kurangkan makanan pedas
Janganlah kita selalu mengambil makanan yang pedas kerana makanan pedas juga akan menyebabkan berlakunya iritasi pada tisu dalam perut sekaligus jika berlarutan akan menyebabkan berlakunya keradangan. Oleh itu, untuk mengelakkan masalah ini kita perlulah mengurangkan memakan makanan yang pedas. Kaedah ini juga dapat membantu mencegah masalah muntah berwarna kuning
Bilakah anda harus jumpa doktor?
Jika anda mempunyai simptom tersebut disertai dengan muntah kuning, sila berjumpa doktor dengan segera:
- Tidak dapat membuang air besar dalam jangka masa panjang
- Muntah yang tidak berhenti
- Demam/suhu tinggi
- Simptom dehidrasi seperti pitam
Kesimpulannya, terdapat pelbagai penyebab muntah kuning. Jika terdapat sebarang kemusykilan, sila berjumpa doktor. Anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor kami di laman www.doctoroncall.com.my
References