Bahagian perut pada sebelah kanan terdiri daripada beberapa organ seperti :
Hati
Hempedu
Sebahagian daripada pankreas
Duodenum dan sebahagian usus besar dan kecil anda
Buah pinggang kanan (di belakang belakang organ lain)
Kesakitan juga boleh berpunca daripada kulit dan saraf yang terdapat pada bahagian perut di kawasan tersebut.
Antara punca-punca yang menyebabkan sakit perut pada sebelah kanan adalah :
Masalah usus:
Beberapa masalah pada usus boleh menyebabkan rasa sakit dirasai pada bahagian sebelah kanan perut. Sebagai contoh:
Ulser duodenum (duodenal ulser)
Sakit yang dirasai beberapa jam selepas makan dan boleh dilegakan dengan mengambil antacid. Keadaan ini haruslah dirawat sebelum menjadi parah seperti muntah darah yang merupakan kecemasan dan perlu dibawa terus ke hospital jika berlaku.Gastroenteritis
Kebiasaannya ia berpunca daripada jangkitan pada usus. Penyakit ini cenderung memberikan anda rasa sakit pada perut atau lebih bertumpu pada bahagian tengah perut; Walau bagai manapun, kadang-kadang rasa sakit mungkin berada di bahagian perut sebelah kanan. Ia biasanya dikaitkan dengan cirit-birit dan / atau muntah. Anda mungkin mengalami demam ringan.Masalah pencernaan (dispepsia)
Boleh menyebabkan kesakitan di bahagian atas perut anda, bersama dengan refluks asid dan kembung.Penyakit Crohn dan Ulserative Colitis
Keadaan jangka panjang seperti penyakit Crohn dan ‘Ulserative Colitis’ boleh menimbulkan kesakitan pada perut di dalam masa-masa tertentu. Ia biasanya menyebabkan cirit birit, kadang kala berserta darah.
Bahagian perut sebelah kanan bukanlah kawasan yang sering terasa sakit dalam penyakit yang dikenali sebagai “irritable bowel syndrome”, ia hanya berlaku dalam kalangan sesetengah pesakit. Kesakitan yang dialami boleh dirasai daripada bahagian dalam dan luar kawasan perut, perut kembung dan cirit-birit ataupun sembelit.
Sakit haid:
Kekejangan haid (dysmenorrhea) adalah gejala haid. Ia boleh berlaku sebelum atau semasa tempoh haid anda keluar. Kekejangan paling kerap dirasai hanya pada sebelah bahagian perut atau kedua-dua bahagian bawah perut di mana otot rahim anda akan menghasilkan pergerakan
Serangan Apendisitis :
Apendisitis adalah radang atau jangkitan pada usus buntu (appendix). Pesakit akan mengalami sakit pada bahagian bawah perut sebelah kanan, demam panas, berasa loya dan muntah.
Ia merupakan salah satu daripada penyakit yang sering menyebabkan rasa sakit yang berlaku pada bahagian bawah kanan perut. Anda dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor untuk mengetahui lebih lanjut.
Hernia:
Hernia berlaku apabila terdapat organ dalaman yang terkeluar daripada kawasan asal disebabkan oleh struktur tisu atau otot lemah yang memegangnya menjadi lemah atau mempunyai masalah. Terdapat beberapa jenis hernia bergantung kepada kawasan dan punca yang menyebabkannnya. Kebanyakannya terletak pada kawasan perut. Sekiranya berlaku komplikasi seperti organ yang terjerut pada sesuatu kawasan, ia boleh menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan pada kawasan yang terjejas.
Batu karang dan jangkitan buah pinggang:
Kesakitan yang berlaku pada bahagian perut sebelah kanan pada kebiasaannya merujuk kepada masalah yang berlaku pada buah pinggang sama ada kesakitan tersebut dirasai pada bahagian hadapan mahupun belakang
Batu karang akan menyebabkan seseorang itu berasa sakit pedih yang datang dan pergi pada bahagian belakang. Ia boleh berlaku dalam masa beberapa minit sehingga beberapa jam. Darah juga turut boleh ditemui di dalam air kencing.
Jangkitan pada buah pinggang boleh menyebabkan sakit dirasai sepanjang saluran kencing termasuklah pada belakang tubuh, kawasan hadapan, sebelah kanan perut ataupun pada bahagian bawah perut. Gejala-gejala seperti demam, sakit apabila melakukan pergerakan dan semakin kerap ke tandas boleh ditemui pada penyakit ini.
Penyakit kayap:
Dalam sesetengah kes kayap, seseorang boleh berasa sakit selama beberapa hari sebelum ruam muncul. Kesakitan yang dirasai adalah tajam atau membakar. Bahagian perut sebelah kanan adalah tempat yang paling biasa untuk ruam kayap berlaku.
Sesetengah mendapat sebuah kondisi yang dikenali sebagai ‘postherpetic neuralgia’ iaitu kesakitan yang masih dirasai walaupun kayap telah sembuh.
Masalah pada hempedu:
Tidak semua kes batu hempedu menunjukkan sebarang gejala, namun ia boleh menyebabkan kesakitan yang teramat apabila ia tersangkut pada saluran hempedu. Kesakitan ini dikenali sebagai ‘biliary colic’ dan pada kebiasaannya berlaku selepas seseorang itu mengambil makanan yang berlemak. Sekiranya terdapat jangkitan yang berlaku ia digelar sebagai ‘cholecystitis’ dan keadaan ini akan menyebabkan rasa sakit yang dirasai lebih teruk pada bahagian perut sebelah kanan bersama peningkatan suhu yang tinggi.
Masalah hati:
Walaupun sebahagian besar daripada organ hati terletak pada bahagian kanan perut, namun ia bukanlah organ utama yang memberikan rasa sakit. Rasa sakit yang berpunca daripada organ hati termasuklah:
Radang hati (hepatitis):
Penyakit ini akan menyebabkan demam kuning dan pesakit akan berasa tidak sedap badan terutamanya pada bahagian kanan perut. Namun begitu, tidak semua rasa sakit pada bahagian ini merupakan gejala kepada masalah radang hati. Terdapat beberapa jenis hepatitis antaranya termasuklah hepatitis A, hepatitis B dan hepatitis C.Abses (abcess):
Ia adalah koleksi nanah yang terkumpul pada sekitar hati atau di bawah tulang rusuk. Ia akan menyebabkan rasa sakit, kemerah-merahan dan demam.Penyakit hati disebabkan oleh alkohol (alcoholic hepatitis):
Pengambilan alkohol yang terlalu banyak boleh merosakkan organ hati dengan menjejaskan fungsinya, menjadikan kulit kuning dan berasa sakit perut sebelah kanan.Kanser hati:
Ia boleh berpunca daripada organ hati sendiri ataupun tersebar daripada kanser lain. Namun begitu, kanser yang berpunca daripada hati adalah luar biasa dan jarang berlaku. Kanser darah tertentu, seperti limfoma atau leukemia boleh menyebabkan saiz hati bertambah besar lantas menyebabkan ketidakselesaan kepada pesakit.
Sista ovari:
Sista ovari (ovarian cyst) adalah kantung berisi cecair yang terbentuk pada ovari. Kebanyakan sista tidak menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan dan akhirnya ia akan hilang sendiri. Namun bagi sista ovari yang terlalu besar sehingga pecah, ia boleh menyebabkan gejala yang serius.