Oleh kerana rokok diperbuat daripada pelbagai bahan kimia yang merbahaya, tidak hairanlah kesannya sangat memudaratkan. Ia boleh mengancam dan menjejaskan pelbagai sistem di dalam tubuh badan termasuklah otak, jantung, paru-paru, sistem reproduksi, kesihatan mental dan banyak lagi. Antara kesan atau akibat bahaya yang disebabkan oleh perbuatan merokok ialah:
Strok atau nama lainnya angin ahmar merupakan sejenis penyakit yang mana saluran darah ke otak menjadi sempit dan mengakibatkan otak kekurangan oksigen kerana darah yang sampai ke otak menjadi sedikit. Strok juga boleh mengakibatkan kelumpuhan pada separuh, seluruh atau sesetengah anggota badan bergantung kepada kawasan otak yang terjejas. Pada masa yang sama, saluran darah ke jantung juga boleh terjejas dan menjadi sempit dan hal ini boleh mengakibatkan kerosakan kepada sel jantung kerana kekurangan bekalan oksigen. Lama kelamaan, bekalan oksigen ke jantung terus berkurangan, sel di jantung akan mati dan mengakibatkan kegagalan jantung. Masalah strok dan jantung ini disebabkan oleh nikotin yang mengakibatkan saluran darah menjadi rosak dan sempit.
- Masalah pernafasan & kanser paru-paru
Asap rokok akan menghakis dan merosakkan lapisan saluran pernafasan dan paru-paru. Hal ini kerana bahan yang terkandung di dalam rokok mempunyai banyak bahan karsinogenik dan asap rokok akan menyebabkan tisu dan sel pada lapisan paru-paru untuk mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Apabila lapisan saluran pernafasan kerap terdedah kepada bahan karsinogenik, perubahan mendadak akan berlaku pada tisu dan sel tersebut dan ia boleh berubah menjadi sel kanser. Pada masa yang sama, hal ini juga akan merangsang saluran pernafasan untuk menjadi lebih sempit, menyebabkan rembesan lendir dan cecair yang berlebihan pada paru-paru, dan akibat daripada ini, pesakit akan mengalami masalah kesukaran bernafas, batuk, semput dan kepenatan yang berpanjangan. Apabila pesakit didiagnos penyakit kanser paru-paru, peluang untuk sembuh adalah sangat nipis boleh menyebabkan kematian.
- Masalah sistem reproduksi
Perokok lelaki pula, anda mungkin terdedah kepada risiko mati pucuk. Alangkah malangnya jika badan sihat dan tegap tetapi kalah di medan asmara. Sudahlah kalah awal, perokok juga berkemungkinan untuk mandul. Ya! Kajian mendapati radikal bebas dan karsinogenik dari rokok boleh menjejaskan testis dan sistem reproduksi secara keseluruhannya. Kiraan sperma akan berkurangan dan hal ini akan mengurangkan kesuburan seseorang lelaki dan menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan zuriat.
Anda mungkin merasakan yang merokok boleh menghilangkan stress, tetapi stress seperti apakah yang boleh diselesaikan melalui kaedah ini ? Adakah dengan merokok masalah boleh diselesaikan? Tepuk dada, tanya selera. Merokok boleh menyebabkan seseorang lebih tertekan kerana kebergantungan dan ketagihan terhadap rokok sukar untuk dipisahkan. Otak seorang perokok akan sering memikirkan tentang tabiat tersebut walaupun ianya menyakiti kesihatan dan kewangannya. Seperti menangisi bekas kekasih lama, tabiat merokok sukar dilepaskan walaupun diri telah berulang kali disakiti.
- Kesihatan anak-anak dan ahli keluarga terjejas
Alangkah indahnya jika asap yang dihembuskan tidak memberi mudarat kepada orang di sekeliling yang menghirup dan menghidu asap tersebut. Apakah daya kerana udara yang kita hirup dikongsi secara bersama terutamanya insan yang sebumbung dengan kita. Asap yang dilepaskan memberikan kesan kesihatan yang lebih mudarat kepada penghidu terutamanya kepada si anak kecil yang tidak berdosa. Anak-anak kecil mudah terdedah kepada penyakit seperti asma dan batuk jika bersama dengan perokok. Isteri tersayang yang telah berjanji sehidup semati lebih terdedah untuk mendapatkan risiko kanser paru-paru daripada si suami yang tak henti-henti menghembuskan asap rokoknya dari siang ke malam.
The best CSS cleanup tool helps you to organize your style files.