Senyuman akan tampak lebih berseri apabila gigi yang putih menyinari senyuman tersebut. Walaubagaimanapun, tidak semua orang memiliki gigi yang putih, bersih dan tersusun rapi. Secara amnya, gigi diselaputi dengan enamel dan jika lapisan enamel menjadi nipis akibat daripada penggunaan bahan-bahan yang tidak sesuai oleh gigi, ia mampu menyerlahkan warna gigi yang asli dan asal samada putih ataupun sedikit kekuningan. Hal ini kerana, tidak semua orang memiliki warna gigi yang putih terang benderang dan semuanya bergantung kepada faktor genetik. Ada sesetengah orang memiliki warna gigi asal yang putih dan ada segelintir orang memiliki warna gigi yang sedikit kekuningan.
Dalam masa yang sama, terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada gigi menjadi lebih kuning. Faktor terbesar ialah tabiat merokok. Merokok boleh mengakibatkan gigi menjadi lebih kuning dan individu tersebut boleh mempunyai kebarangkalian memiliki gigi hitam. Selain itu, faktor seperti minum minuman yang berwarna seperti teh, kopi, dan wain juga boleh menyebabkan gigi menjadi kuning. Oleh itu, adalah disarankan untuk minum menggunakan straw untuk mengelakkan air berwarna tersebut terkena pada gigi. Makanan yang tinggi kandungan gula atau karbohidrat juga boleh menjerumus kepada permasalahan gigi kuning. Segelintir masyarakat juga mengamalkan pengambilan sireh dan hal ini turut menyumbang kepada gigi yang berwarna kehitaman. Tambahan lagi, tabiat tidak memberus gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari dan tidak flos gigi akan mengakibatkan sisa-sisa makanan terlekat pada celah gigi dan menggalakkan lagi pertumbuhan bakteria. Hal ini akan menyebabkan kawasan di dalam mulut menjadi tidak sihat secara keseluruhannya.