Adakah Boleh Antibiotik Digunakan Dalam Semua Jenis Jangkitan Kuman?

Antibiotik - Kesan Kerintangan Ubat Terhadap Penyakit Jangkitan Bakteria
Anonymous

Salam sejahtera doktor, nama saya Muhd Atiq dan saya seorang pelajar di sebuah universiti tempatan. Baru-baru ini saya mengalami gejala selesema dan batuk kering. Saya cuba melihat dalam talian mengenai kondisi yang saya alami ini dan saya berasa saya mempunyai selesema atau jangkitan influenza. Persoalan saya adalah, bolehkah saya menggunakan ubat antibiotik yang diberikan kepada adik saya? Hal ini kerana adik saya juga mempunyai gejala yang hampir serupa dan diberikan ubat antibiotik kepadanya. Selain itu, saya juga ingin mendapatkan kepastian doktor mengenai perkara ini kerana saya ada terdengar tentang krisis kerintangan antibiotik baru-baru ini. Harap doktor dapat memberikan penjelasan lanjut kepada saya. Sekian

Anonymous
Salam sejahtera doktor, nama saya Muhd Atiq dan saya seorang pelajar di sebuah universiti tempatan. Baru-baru ini say... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

Salam sejahtera juga diucapkan kepada saudara Muhd Atiq dan terima kasih atas soalan yang diajukan. Berdasarkan keterangan dan soalan yang anda berikan, terdapat beberapa kemungkinan kepada gejala yang anda alami seperti demam selesema biasa, jangkitan influenza ataupun jangkitan koronavirus (memandangkan sekarang adalah wabak virus ini). Namun begitu, diagnosis yang tepat memerlukan konsultasi bersama doktor dan orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat diagnosis sendiri secara atas talian. Manakala bagi penggunaan ubat antibiotik untuk demam dan antibiotik untuk batuk, ianya tidak disarankan sama sekali kerana organisma terlibat adalah berbeza. Bagi menjawab soalan berkaitan antibiotik dan krisis kerintangannya, saya akan menghuraikan dengan lebih lanjut dalam artikel dibawah. 

Akhir kata, antibiotik merupakan penemuan paling berharga dalam sejarah dunia perubatan moden. Oleh itu, marilah kita sebarkan mesej ini kepada khalayak umum mengenai kepentingan antibiotik dan mengapa semua orang perlu cakna mengenainya.

Salam sejahtera juga diucapkan kepada saudara Muhd Atiq dan terima kasih atas soalan yang diajukan. Berdasarkan keter... See More

Apakah yang dimaksudkan dengan antibiotik dan apakah kegunaannya?

Dalam dunia perubatan moden, penemuan antibiotik merupakan anugerah kepada kesihatan manusia. Dengan adanya antibiotik serta ubat-ubatan antimikrobial yang lainnya, jangka hayat populasi manusia meningkat dengan dramatik berikutan kekurangan kes kematian akibat jangkitan kuman. Maksud antibiotik adalah sejenis ubatan yang digunakan untuk membunuh atau membendung penyebaran kuman bakteria. Terdapat pelbagai jenis ubat antibiotik dan fungsi antibiotik mengikut jenis jangkitan dan bakteria yang terlibat.

Antara salah faham umum mengenai kelas ubat ini adalah bahawa ianya boleh digunakan dalam segala jenis jangkitan kuman. Sebenarnya antibiotik sememangnya khusus untuk melawan bakteria sahaja dan ia tidak boleh melawan jangkitan yang disebabkan oleh virus seperti selesema dan influenza ataupun jangkitan kulat seperti kandidiasis. Kadangkala, antibiotik diberikan kepada pesakit yang mendapat jangkitan virus kerana risiko untuk mereka mendapat jangkitan sekunder oleh bakteria adalah tinggi. 

Walaubagaimanapun, kes ini jarang berlaku dan hanya boleh diberikan dengan nasihat doktor sahaja. Disebabkan salah faham ini, lahirnya isu yang sangat berat dalam dunia perubatan yang memberi impak negatif kepada masyarakat kita iaitu, kerintangan antibiotik. 

Adakah salah jika kita menggunakan antibiotik tanpa tujuannya dan apakah kesannya?

Acapkali kita mendengar di media sosial mahupun di media massa mengenai kegunaan betul ubat antibiotik dan risiko jika disalahgunakan. Tidak semua bakteria adalah jahat bahkan terdapat bakteria baik yang berfungsi dalam usus untuk kesihatan usus kita serta diluar kulit kita sebagai perisai daripada jangkitan kuman lain. Jangkitan oleh bakteria boleh berlaku oleh pelbagai faktor dan boleh terjadi pada saluran udara, kulit, organ dalaman mahupun dalam saluran darah. 

Seperti yang telah dinyatakan di atas, setiap jangkitan boleh disebabkan oleh bakteria yang berbeza, maka ianya memerlukan antibiotik khusus untuk melawan organisma ini. Pemilihan antibiotik adalah berdasarkan kemungkinan jenis bakteria yang dijangkiti, lokasi jangkitan serta status kesihatan pesakit. Jika tidak digunakan dengan tepat dan seharusnya, terdapat beberapa komplikasi yang boleh terhasil daripada penyalahgunaan antibiotik seperti:

  1. Kesan sampingan ubat ini - Penggunaan setiap ubat pasti mempunyai kesan sampingan mereka tersendiri dan antibiotik juga tidak terkecuali. Antara kesan yang seringkali direkodkan adalah seperti rasa mual dan muntah. Hal ini pastinya tidak diingini oleh pesakit tambahan pula jika mereka sebenarnya tidak memerlukan rawatan antibiotik. 
  2. Terdapat risiko alahan - Alahan terhadap antibiotik adalah perkara yang boleh terjadi dan risikonya adalah samada kecil ataupun merbahaya. Alahan kecil adalah seperti timbul ruam dan kegatalan manakala sekiranya seseorang itu lebih sensitif terhadap alahan, maka risiko alahan yang lebih besar seperti sesak nafas dan “kejutan” boleh berlaku!
  3. Penggunaan antibiotik berlebihan boleh membawa kepada krisis kerintangan - Perkara ini menjadi isu utama yang menyebabkan pelbagai kesukaran merawat pesakit dihospital kerana pada masa kini, tidak banyak pilihan antibiotik yang boleh melawan bakteria yang mempunyai kerintangan tinggi. 

Penyalahgunaan antibiotik boleh disebabkan faktor seperti pesakit yang meminta antibiotik, doktor tidak cakna dengan garis panduan serta kurang faham mengenai isu ini secara amnya. 

Boleh doktor terangkan mengenai kerintangan antibiotik?

Kerintangan antibiotik berlaku apabila antibiotik digunakan secara berlebihan yang tidak dihabiskan ataupun apabila tidak diperlukan. Apabila situasi ini terjadi, bakteria akan beradaptasi dengan antibiotik bagi melawan mereka dan hal ini menyebabkan mereka bertambah kuat dan menjadi rintang terhadap antibiotik. Kesan kerintangan antibiotik ini adalah sangat serius kerana jika bakteria bertambah kuat, maka jangkitan yang biasa dialami pesakit pada masa akan datang seperti jangkitan paru-paru pun akan menjadi sukar untuk dirawat dan hal ini boleh menyebabkan kematian. Adakah kita mahu hidup seperti nenek moyang kita dahulu dimana jangka hayat begitu pendek akibat jangkitan-jangkitan kuman?

Oleh sebab isu kerintangan antibiotik ini sangat serius, adakah terdapat panduan dan pencegahan yang boleh diamalkan?

Setiap lapisan anggota masyarakat bermula dengan anggota kesihatan sehinggalah kepada individu perlu memainkan peranan dalam membendung gejala ini daripada bertambah buruk. Berikut adalah beberapa langkah seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani permasalahan ini:

  1. Pastikan anda mendapat antibiotik apabila perlu sahaja
  2. Jangan gunakan antibiotik orang lain walaupun anda mempunyai jangkitan yang serupa
  3. Habiskan antibiotik anda seperti yang disarankan walaupun anda berasa seperti sudah sihat
  4. Jangan meminta atau memaksa doktor untuk menulis preskripsi antibiotik sekiranya tidak diperlukan
  5. Elakkan daripada mendapatkan beberapa jenis antibiotik daripada doktor yang berbeza
  6. Patuhi nasihat doktor berkenaan pengambilan ubat dan langkah pencegahan jangkitan kuman
  7. Tidak menyimpan sebarang antibiotik untuk kegunaan masa akan datang
  8. Amalkan penjagaan kebersihan seperti membasuh tangan dan penjagaan kesihatan seperti bersenam selalu

Dengan mengambil langkah-langkah proaktif ini, nescaya isu serius ini akan dapat sama-sama ditangani. Bagi peringkat pekerja sektor kesihatan seperti doktor dan jururawat, mereka mempunyai garis panduan khusus mereka sendiri yang perlu dipathui bagi membendung gejala ini. 

References