Adakah Influenza A Bahaya Dan Apakah Gejala Dan Cara Bagi Mencegah Virus Ini?

Influenza - Kenali Simptom Bagi Jangkitan Demam Virus Ini Pada Kanak-Kanak
Anonymous
Salam sejahtera doktor, nama saya Fairuz dan seorang bapa kepada 3 orang anak. Anak saya yang paling sulung berusia 7 tahun manakala yang bongsu pula adalah berusia 3 tahun. Sejak awal pembukaan sekolah yang lalu, anak saya yang sulung mula mengalami demam dan selesema. Ia berlanjutan selama 3 hari dan saya membawanya kepada doktor klinik dan hanya diberitahu mempunyai selesema biasa. Baru-baru ini, berita dan media sosial semuanya kecoh mengenai virus influenza dan yang paling mengejut adalah kes dimana seorang pelajar sekolah sebaya dengan anak saya yang baru sahaja meninggal dunia akibat disyaki jangkitan ini. Soalan saya adalah, adakah anak saya juga mengalami demam influenza ini dan adakah influenza a bahaya ataupun tidak? Sekian.
Anonymous
Salam sejahtera doktor, nama saya Fairuz dan seorang bapa kepada 3 orang anak. Anak saya yang paling sulung berusia 7 ta... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Salam sejahtera kepada encik Fairuz. Saya sebagai seorang bapa dan saya juga amat memahami kebimbangan yang anda hadapi. Untuk menjawab soalan anda mengenai kondisi yang anak anda alami, saya memerlukan maklumat tambahan mengenai durasi dan gejala yang anak anda sedang hadapi. Antara punca-punca kepada gejala yang anak anda alami adalah seperti selesema, demam influenza, demam denggi ataupun jangkitan tekak. Gejala ataupun simptom influenza A pada orang dewasa serta influenza B akan dijelaskan dibawah dengan lebih lanjut. Gejala bagi jangkitan terhadap kanak-kanak juga akan diterangkan dibawah.
Salam sejahtera kepada encik Fairuz. Saya sebagai seorang bapa dan saya juga amat memahami kebimbangan yang anda hadapi.... See More

Boleh Doktor Terangkan Apa Maksud Demam Influenza? Ada Berapa Jeniskah Virus Influenza Ini?

Demam influenza adalah sejenis jangkitan saluran udara bawah. Virus ini mempunyai beberapa jenis seperti jenis A dan B. Apa itu influenza A dan B? Kedua-dua jenis virus ini boleh menjangkiti manusia dengan jenis A juga boleh menjangkiti spesis haiwan. Influenza A adalah jenis yang lebih kerap menyerang manusia dan mempunyai banyak lagi sub-set sebagai contoh influenza A H1N1

Bagaimana Virus Ini Ditularkan?

Virus ini sememangnya berada dalam komuniti tetapi tidak berapa aktif untuk menjadi wabak. Ianya selalu menjadi wabak di negara kita pada musim hujan dimana penyebarannya ketika itu lebih meluas. Virus ini disebarkan melalui orang ke orang dengan beberapa cara iaitu:

  • Melalui batuk
  • Melalui bersin
  • Menyentuh permukaan yang disentuh pesakit 
  • Titisan seperti daripada air liur pesakit

Apakah Gejala-Gejala Demam Influenza Yang Perlu Saya Awasi Ya Doktor?

Oleh sebab jangkitan virus ini mempunyai beberapa persamaan dengan jangkitan lain, adalah penting untuk ibu bapa mahupun orang ramai untuk cakna akan simptom influenza B pada orang dewasa, simptom influenza A pada orang dewasa, simptom influenza B pada kanak-kanak dan juga jenis A pada mereka berikutan risiko kesihatan yang boleh dialami pesakit. Antara gejala-gejala yang perlu diambil tahu adalah seperti:

  • Demam - Apa yang membezakan demam bagi jangkitan influenza dan demam sakit-sakit lain adalah suhu pesakit selalunya tinggi dan diantara 38 darjah Celsius hingga 40 darjah Celsius dan boleh bertahan sehingga 3-4 hari. Bagi kanak-kanak, mereka lebih mudah mendapat suhu yang tinggi berbanding orang dewasa.
  • Sakit sendi dan otot - Antara simptom utama jangkitan virus ini adalah sakit sendi yang jarang dijumpai dalam selesema biasa.
  • Selesema - Gejala ini juga kerap menjadi yang pertama timbul dan menyebabkan kesukaran doktor untuk menentukan samada ianya adalah selsema biasa ataupun jangkitan influenza melainkan jika sememangnya terdapat wabak virus ini pada ketika itu. 
  • Batuk - Oleh sebab virus ini menjangkiti saluran udara bawah, maka ia akan mencetuskan keradangan pada saluran udara dan juga tindak balas (refleks) batuk bagi badan mengeluarkan virus ini daripada badan. 
  • Menggigil - Mungkin anda akan tertanya-tanya mengapa simptom ini penting bukan? Hal ini kerana gejala ini tidak dijumpai dalam semua kes demam dan sekiranya pesakit mempunyai simptom ini, ia boleh membantu doktor mengarahkan perhatian mereka kepada jangkitan oleh virus ini berbanding penyakit-penyakit lain. 
  • Sakit kepala - Simptom ini tidak berapa khusus kepada demam influenza ini namun ianya masih penting untuk membezakan antara selesema dan penyakit influenza ini. 
  • Muntah dan Cirit-birit - Bagi sesetengah pesakit terutamanya kanak-kanak, mereka juga boleh mengalami simptom ini berbanding dengan orang dewasa. Dan sekiranya teruk, maka rawatan khusus di hospital adalah diperlukan bagi mengelakkan dehidrasi. 

Adakah Terdapat Golongan Yang Berisiko Tinggi Untuk Mendapat Jangkitan Ini Doktor?

Ya sememangnya terdapat golongan yang mudah mendapat jangkitan virus ini dan berpotensi mempunyai komplikasi yang lebih tinggi. Golongan ini adalah seperti:

  • Kanak-kanak - Sering kali kita mendengar mangsa yang dijangkiti adalah kanak-kanak sehinggakan sekolah terpaksa ditutup. Oleh sebab sistem imun kanak-kanak belum cukup matang dan kuat bagi melawan jangkitan ini berbanding orang dewasa, maka golongan ini adalah lebih mudah mendapat demam ini. Hal ini lebih membimbangkan bagi mereka yang berusia bawah 5 tahun dimana kadar kematiannya adalah lebih tinggi. 
  • Wanita mengandung - Ketika hamil, imun sistem wanita akan menjadi sedikit lemah dan sekiranya berlaku wabak ini, maka mereka berisiko untuk dijangkiti.
  • Warga tua/emas - Sama halnya dengan wanita mengandung, kekuatan sistem imun bagi warga tua juga menurun dan hal ini bertambah parah apabila ditambah dengan penyakit-penyakit yang dialami kebanyakkan oleh golongan ini. 
  • Pesakit-pesakit kronik - Antara penyakit-penyakit kronik seperti COPD, penyakit jantung, kencing manis dan penyakit buah pinggang sering menyebabkan golongan ini mudah dijangkiti virus ini. Ianya tidak difahami sepenuhnya mengapa perkara ini terjadi.
  • Pesakit imun lemah - terdapat beberapa golongan pesakit yang terdedah untuk mengalami sistem imun lemah seperti pesakit kanser, pesakit yang memerlukan ubat anti-imun dan steroid ataupun penerima organ. 

Bagaimana Demam Influenza Ini Dirawat? Adakah Antibiotik Berkesan?

Antibiotik tidak dapat melawan demam yang disebabkan virus. Untuk demam influenza ini kebanyakkan kes yang tidak serius, mereka tidak memerlukan rawatan. Namun begitu, sesetengahnya memerlukan rawatan seperti:

  • Ubat anti-virus - Ubat antivirus jarang diberikan kerana demam ini biasanya akan surut sendiri bagi orang yang sihat. Ubat antivirus yang diberikan kepada mereka yang berisiko tinggi dan diberikan dalam tempoh 48 jam selepas timbul gejala pertama. 
  • Rawatan hidrasi - Bagi kanak-kanak atau pesakit yang mengalami simptom-simptom dehidrasi, adalah penting untuk merawat segera dehidrasi bagi mengelakkan “kejutan hipovolemik”. 
  • Antibiotik - Seperti yang dinyatakan diatas, antibiotik tidak diberikan untuk jangkitan virus namun sesetengah pesakit influenza mempunyai risiko jangkitan bakteria sekunder terutamanya mereka yang mempunyai penyakit pernafasan. 
  • Ubat tahan sakit - Bagi mereka yang benar-benar tidak tahan sakit sendi dan otot

Adakah Terdapat Cara-Cara Yang Kita Boleh Ambil Untuk Cegah Virus Ini?

Virus ini boleh dicegah dengan cara seperti:

  • Membasuh tangan dengan sabun dan air selepas makan, ke tandas ataupun menyentuh permukaan yang disentuh pesakit
  • Memakai topeng muka
  • Mengelakkan kawasan yang ramai orang
  • Mengambil vaksin influenza tahunan bagi mereka yang berisiko tinggi
  • Pengasingan pesakit yang positif

Perlukah Semua Orang Mengambil Vaksin Influenza Ini?

Vaksin influenza tidak sama seperti vaksin lain dimana vaksin bagi virus ini perlu dinilai semula setiap tahun. Hal ini kerana virus influenza A mempunyai ciri-ciri mutasi yang dikenali sebagai “Antigenic Shift” yang membolehkan mereka untuk bermutasi dan mengadaptasi dengan perubahan alam sekeliling. Vaksin ini tidak wajib diambil seperti vaksin lain sebagai contoh polio, namun ianya sangat penting untuk golongan berisiko diatas untuk ambil vaksin ini secara tahunan. Disamping itu, pekerja dalam sektor kesihatan juga disarankan untuk mengambil vaksin ini kerana risiko pendedahan terhadap mereka. 

Akhir kata, virus influenza ini sememangnya ada bahayanya dan ia tidak patut dipandang remeh. Dengan mengambil langkah-langkah pencegahan yang efektif, kemungkinan untuk dijangkiti demam ini adalah rendah. Oleh itu, marilah kita sama-sama memainkan peranan dalam mencegah penularan virus influenza di negara kita ini. 

References