Batuk berdarah atau secara terma medikalnya dikenali sebagai hemoptisis ialah gejala yang digeruni ramai. Hal ini kerana perkataan berdarah memberi gambaran buruk dan serius kepada umum serta sering dikaitkan dengan penyakit-penyakit berbahaya seperti barah. Namun, jika diselami dan diperiksa dengan teliti, ia bukan hanya menjurus kepada penyakit barah semata-mata. Ia boleh disebabkan oleh masalah seperti jangkitan virus yang lazim dialami oleh masyarakat akibat batuk yang berterusan sehingga menyebabkan kahak berdarah. Berikut ialah penyebab-penyebab utama masalah tersebut:
Bronkitis
Jika anda seorang perokok tegar, mengalami batuk berkahak yang berterusan selama 3 bulan dalam masa 2 tahun berturut-turut, mengalami sakit dada dan sesak nafas, anda mungkin mengalami masalah ini. Umum mengetahui asap rokok mengandungi seribu satu bahan yang boleh merosakkan paru-paru. Bronkitis ialah akibat daripada bahan kimia rokok yang menyebabkan keradangan paru-paru sehingga mukus menyempitkan ruang udara paru-paru sehingga sesak nafas.
Bronkiektasis
Melindungi daripada jangkitan paru-paru yang kronik dan kerap adalah amat penting kerana pesakit boleh mengalami komplikasi seperti Bronkiektasis. Hilang berat badan, sesak nafas, batuk berkahak yang banyak dan berlebihan serta berdarah ialah gejala yang menjurus kepada masalah ini. Kebanyakan pesakit akan mengalami kegagalan fungsi paru-paru jika tidak dirawat.
Abses paru-paru
Abses merupakan jangkitan yang menghasilkan nanah didalam selaput yang tidak boleh dirawat hanya dengan antibiotik. Hal ini kerana antibiotik tidak boleh menembusi lapisan tersebut. Ia merupakan komplikasi penyakit paru-paru berkuman. Pesakit akan mengalami mulut berbau, batuk berkahak, demam yang kadang-kadang kebah dan kadang-kadang semakin meneruk. Jika dibiarkan berterusan pesakit boleh maut akibat sepsis.
Penyakit autoimun
Pelbagai jenis penyakit unik yang boleh menyebabkan masalah ini seperti granulomatosis, Lupus, Sindrom Churg-Strauss dan sebagainya menyebabkan keradangan salur darah kepada paru-paru. Salur darah tersebut menjadi mudah rosak lebih-lebih lagi apabila tekanan dan trauma fizikal diberikan sepanjang batuk berterusan. Maka, doktor kebiasaannya akan melihat tanda-tanda fizikal lain yang boleh menjadi petanda kepada penyakit tersebut. Sebagai contoh, Lupus boleh dikaitkan dengan kaum wanita, ruam pada kulit, sakit pada sendi di jari, masalah kerosakan buah pinggang dan sebagainya.
Barah paru-paru
Lazimnya, pesakit yang menghidapi penyakit ini ialah seorang perokok tegar, mengalami sesak nafas, berat badan menurun dengan mendadak, batuk berdarah, masalah pada kelenjar adrenal dan perubahan enzim hati. Namun, jika diteliti, tiada satu gejala pun yang benar-benar menjurus kepada penyakit yang digeruni ramai ini. Oleh itu, ujian seperti biopsi ialah ujian yang diperlukan untuk mengesahkan penyakit tersebut.
Kesan sampingan ubat pencair darah
Pencair darah boleh memberi risiko pendarahan jika pesakit tidak mengambil rawatan mengikut waktu yang ditetapkan. Kadang-kala pesakit mungkin terlupa dan mengambil ubat tersebut secara berlebihan dan hal ini memberi risiko kepada batuk berdarah.
Darah beku di saluran pulmonari (Pulmonary Embolism)
Walaupun jarang berlaku, terdapat risiko untuk mengalami batuk berdarah melalui kondisi ini.