Minta penjelasan mengenai jenis-jenis dan gejala penyakit kelamin wanita (Sexually Transmitted Disease)?

Anonymous

Salam, doktor. Saya seorang wanita berusia 28 tahun yang mengalami masalah perempuan. Saya perasan bahawa kadang-kadang selepas menjalankan hubungan dengan teman lelaki saya, berlakunya pendarahan walaupun tidak sakit. Hal ini sudah berlaku selama 3 bulan yang lalu. Dalam bulan lepas juga, saya perasan bahawa keputihan dari faraj seringkali berbau busuk dan berwarna coklat. Saya juga sering mengalami rasa sakit semasa kencing dan saya amat bimbang bahawa saya mengalami penyakit kelamin. Sepanjang perhubungan dengan teman lelaki ini, kami tidak menggunakan kondom tetapi saya ada makan pil perancang.

Pada pendapat doktor, adakah saya mengalami masalah wanita biasa atau gejala penyakit kelamin wanita? Dapatkah penyakit ini dirawat? Saya juga khuatir sama ada teman lelaki saya telah curang dan mengakibatkan saya menghidap penyakit ini. Saya berasa malu nak berjumpa dengan doktor untuk masalah ini. Terima kasih doktor kerana sudi memberi nasihat.

Anonymous
Salam, doktor. Saya seorang wanita berusia 28 tahun yang mengalami masalah perempuan. Saya perasan bahawa kadang-kada... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

Terima kasih atas soalan anda, cik. Berdasarkan gejala yang digambarkan oleh cik, saya berpendapat bahawa cik haruslah berjumpa dengan doktor supaya doktor dapat menjalankan pemeriksaan dan ujian untuk mengetahui punca pendarahan semasa seks serta bau busuk dari faraj. Namun, gejala seperti ini memang sejajar dengan jangkitan penyakit kelamin wanita (“sexually transmitted disease”).

Rawatannya terpulang kepada jenis penyakit yang dihidapi oleh cik. Biasanya, teman lelaki cik juga akan diperiksa untuk doktor. Cik tidak haruslah mengesyaki teman lelaki cik curang tanpa bukti yang kukuh kerana mungkin penyakit ini sudah dihidapi oleh cik sejak dari pasangan sebelum ini. Cik janganlah risau dahulu kerana hanya selepas berjumpa doktor barulah dapat mengetahui penyebab gejala ini. Biasanya, doktor akan memeriksa bahagian faraj untuk mengenal pasti sama ada terdapat ketumbuhan seperti ketuat pada bahagian luar faraj.

Selepas itu, doktor akan menggunakan alat seperti spekulum untuk memeriksa bahagian dalam faraj. Doktor dapat memerhatikan keadaan pangkal rahim sama ada sihat. Sekiranya terdapat keputihan yang luar biasa dalam faraj, doktor dapatlah mengambil sampel untuk diuji. Selain itu, doktor dapatlah mengambil sampel dari pangkal rahim untuk dikaji sama ada terdapat sel kanser rahim. Pemeriksaan ini tidaklah menyakitkan atau mengambil masa yang lama. Oleh itu, cik tidak haruslah malu untuk berjumpa dengan doktor kerana boleh mendatangkan pelbagai manfaat kesihatan. 

Terima kasih atas soalan anda, cik. Berdasarkan gejala yang digambarkan oleh cik, saya berpendapat bahawa cik harusla... See More

Apakah penyakit kelamin wanita

Penyakit kelamin wanita biasanya disebarkan melalui hubungan seks sama ada melalui cara oraldubur atau melalui faraj. Anatomi bahagian faraj wanita menjadikan wanita lebih cenderung untuk dijangkit penyakit kelamin berbanding lelaki. Kebanyakan kalinya, penyakit kelamin dalam kalangan wanita tidak menunjukkan sebarang gejala. Oleh itu, pesakit tidak akan mendapat rawatan yang sesuai. Dalam jangka masa yang panjang, penyakit kelamin ini bukan sahaja akan mengakibatkan masalah ketidaksuburan, tetapi juga boleh meninggikan risiko menghidap kanser pangkal rahim.

Apakah gejala penyakit kelamin wanita

Walaupun penyakit kelamin yang berbeza mungkin mempunyai gejala unik, namun kebanyakan penyakit kelamin wanita mempunyai tanda yang agak sama. Sekiranya anda mengalami tanda-tanda seperti rasa gatal pada bahagian faraj, ruam atau kutil pada faraj, keluaran lendir yang pelik sama ada kuantiti, bau atau warna serta rasa sakit semasa menjalankan hubungan seks, anda haruslah berjumpa dengan doktor

Apakah jenis penyakit kelamin wanita

Chlamydia

  • Jangkitan chlamydia merupakan jangkitan bakteria yang sangat biasa berlaku dalam kalangan wanita.
  • Chlamydia ini senang dirawat menggunakan ubat antibiotik tetapi sekiranya tidak dirawat mungkin mengakibatkan ketidaksuburan.
  • Biasanya chlamydia ini tidak memberikan tanda bagi pesakit wanita, tetapi mungkin pesakit akan mengalami gejala yang tidak spesifik seperti keputihan yang berbeza atau radang salur kencing

Gonorrhea

  • Gonorrhea merupakan jangkitan bakteria yang sering melibatkan lelaki dan wanita.
  • Biasanya penghidap gonorrhea akan mengalami lendir bernanah dan salur kencing sakit semasa kencing.
  • Doktor biasanya akan menguji serta merawat penyakit chlamydia dan gonorrhea dengan antibiotik semasa membuat pemeriksaan kesihatan.

Human Papillomavirus (HPV)

  • Jangkitan HPV boleh mengakibatkan ketumbuhan ketuat di sekitar faraj serta dubur. Ketuat ini mungkin sakit atau gatal. Namun majority pesakit tidak mempunyai gejala.
  • Jangkitan HPV boleh mengakibatkan kanser pangkal rahim. Terdapat vaksin untuk mencegah jangkitan HPV.

Herpes bahagian kemaluan (“Genital herpes”)

  • Penyebab penyakit herpes ini merupakan virus herpes simplex
  • Majoriti yang terjangkit tidak mengalami gejala tetapi ada yang mengalami demam dan ruam melepuh serta ulser pada bahagian kemaluan
  • Virus ini tidak dapat dihilangkan daripada badan tetapi ubat antiviral mampu mengurangkan simptomnya

Sifilis

  • Penyakit sifilis disebabkan oleh bakteria Treponema palidum
  • Gejala awal adalah pesakit akan mengadu terdapat ulser yang tidak sakit pada bahagian faraj. Ulser ini akan pulih. Selepas itu, pesakit mungkin mengalami ruam pada tapak kaki dan tangan.
  • Penyakit sifilis boleh mengakibatkan masalah jantung dan saraf sekiranya tidak dirawat dalam peringkat awal
  • Sifilis boleh dirawat dengan antibiotik tetapi komplikasi terhadap organ tidak dapat dirawat

Kutu bahagian kemaluan (“pubic lice”)

  • Kutu ini tinggal dalam bulu kemaluan dan boleh mengakibatkan rasa gatal serta bintik-bintik berwarna kebiruan di tempat yang digigit oleh kutu ini
  • Ubat sapu dan syampu khas boleh digunakan untuk membasmi kutu ini

HIV

  • Penyakit HIV juga boleh berjangkit melalui darah ataupun cecair keluaran badan seperti lendir faraj dan air mani
  • Pada mulanya pesakit mungkin mengadu demam atau sakit sendi beberapa bulan selepas dijangkiti, walaupun kebanyakannya tidak mengalami gejala
  • HIV hanya dapat dikenalpasti dengan ujian darah
  • Lama-kelamaannya, tanpa rawatan, virus HIV akan merosakkan sistem imun pesakit sehingga maut kerana badan pesakit sukar melawan penyakit
  • Walaupun setakat ini HIV tidak dapat dirawat, ubat boleh digunakan untuk melambatkan kerosakan terhadap sistem imun badan

Trichomoniasis

  • Penyakit ini disebabkan oleh Trichomonas vaginalis
  • 70% pesakit tidak mengalami gejala, tetapi jika ada biasanya pesakit mengadu rasa gatal, keluar lendir yang amat busuk atau sakit semasa hubungan seks
  • Orang lelaki tidak menunjukkan tanda tetapi sering menjadi pembawa penyakit kelamin ini
  • Mudah dirawat dengan antibiotik

Kulat Candidiasis (“thrush”)

  • Penyakit ini disebabkan bakteria baik di faraj tidak mampu melindungi daripada penularan kulat Candida albicans
  • Pesakit akan mengadu merah-merah di faraj, rasa gatal yang amat teruk, serta keputihan yang pekat tetapi tidak busuk
  • Boleh dirawat menggunakan krim, ubat pil makan , ataupun pesari (ubat sumbat ke dalam faraj)

Penyakit radang pelvis (“pelvic inflammatory disease”)

  • Penyakit ini merupakan jangkitan kuman sistem reproduktif wanita, yang termasuk organ tiub Fallopio, rahim dan ovari akibat daripada jangkitan merebak dari bahagian faraj
  • Biasanya disebabkan oleh bakteria chlamydia atau gonorrhea ataupun keda-duanya
  • Penyakit ini mengambil masa yang lama untuk mendatangkan komplikasi seperti kanser, kitaran haid tidak tentu, kemandulan, mengandung luar rahim dan keguguran kandungan
  • Penyakit ini boleh dirawat dengan antibiotik tetapi kesan infeksi sukar dirawat. Kadang-kadang pembedahan perlu dilakukan sekiranya ingin merawat kemandulan akibat tiub Fallopio tersumbat

Apakah cara mencegah penyakit kelamin wanita

Walaupun pesakit tidak mengalami sebarang gejala ataupun gejala hilang selepas beberapa hari, namun penyakit kelamin ini masih boleh berjangkit kepada pasangan seks yang seterusnya. Di samping itu, kebanyakan jenis penyakit kelamin wanita tidak menunjukkan gejala. Hal ini menyebabkan ramai wanita tidak mendapat rawatan dan menghadapi komplikasi dalam jangka masa yang panjang.

Oleh itu, setiap orang haruslah sentiasa berwaspada apabila menjalankan hubungan seks. Wanita haruslah menggunakan kondom untuk mengelakkan diri daripada terjangkit penyakit kelamin. Walaupun ubat perancang dapat mengelakkan kehamilan, namun ubat tersebut tidak akan mencegah penyakit kelamin.

Selain itu, para wanita yang pernah menjalankan hubungan seks haruslah proaktif dengan mendapat pemeriksaan doktor sekurang-kurangnya sekali dalam tiga tahun walaupun tidak mengalami gejala. Wanita juga digalakkan untuk mendapat vaksin HPV kerana virus tersebut merupakan penyebab kanser pangkal rahim. Dengan begitu, kesihatan sistem reproduktif dapatlah terjamin.

Sekiranya cik masih mempunyai soalan selepas berjumpa dengan doktor, cik boleh merujuk kepada laman web kita di www.doctoroncall.com.my untuk maklumat lanjutan.

References