MC atau nama penuhnya ‘medical certificate’, merupakan suatu sijil kenyataan legal yang dikeluarkan oleh doktor yang bertauliah bagi mengesahkan bahawa seseorang itu tidak mampu untuk bekerja ataupun berurusan secara rasmi disebabkan sakit yang sedang dialami. Dalam bahasa Melayu, MC turut dikenali sebagai sijil cuti sakit.
Betulkah maksud MC itu ""Medical Certificate"" dan apakah hak pesakit mendapat sijil sakit?
Selamat pagi doktor. Saya encik A berusia 28 tahun, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Dua hari lepas anak saya telah ditahan di hospital kerana menghidapi jangkitan paru-paru. Ada diantara kawan-kawan saya mengesyorkan untuk mengambil cuti MC bagi memudahkan saya menjaga anak di hospital. Mereka sendiri juga pernah membeli MC yang diiklankan oleh sebuah syarikat percetakan. Saya masih kurang jelas tentang hal ini kerana belum pernah berlaku kepada saya.
Apakah sebenarnya maksud MC, dan di dalam kes ini adakah saya layak mendapat MC? Juga, bolehkah saya mengikuti saranan kawan saya? Mohon pandangan doktor dalam hal ini.
Terima kasih atas soalan anda. Maksud MC ialah ‘medical certificate’ atau dalam bahasa Melayu ianya dipanggil sebagai sijil cuti sakit. Sijil ini cuma boleh dikeluarkan oleh doktor yang telah berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Council, MMC). Sijil cuti sakit ini boleh diberikan hanya apabila seseorang itu sendiri menghidapi penyakit dan tidak mampu meneruskan apa-apa urusan rasminya seperti pekerjaan sebagai contoh. Setiap slip MC adalah istimewa kerana mempunyai nombor siri yang tersendiri dan tidak boleh digunakan dalam cara yang salah seperti menipu atau mengulang cetak. Hukuman boleh dikenakan kepada mana-mana doktor dan pesakit sekiranya menyalahgunakan sijil ini.
Apakah maksud MC
Apakah kegunaan MC
MC yang diperolehi membolehkan seseorang yang sedang menghidapi penyakit bercuti selama beberapa hari daripada pekerjaannya bagi membantu proses penyembuhan berlaku.
Apa yang ada dalam MC
Maklumat yang diperlukan dalam MC adalah nama pesakit. Selain itu, tandatangan dan cop daripada doktor dan hospital juga akan ada bagi mengesahkan sijil tersebut. Jumlah hari pelepasan yang diluluskan juga akan ditulis di dalam surat MC.
Buat pengetahuan anda, maklumat tentang penyakit yang dialami adalah rahsia antara doktor dan pesakit dan tidak akan ditulis di atas kertas MC. Sekiranya berlaku situasi dimana maklumat tentang penyakit diperlukan, sebagai contoh, pertanyaan daripada majikan, maklumat rahsia ini boleh didedahkan setelah mendapat keizinan (consent) pesakit.
Siapakah yang boleh mengeluarkan MC
Di Malaysia, hanya doktor-doktor yang telah sah berdaftar dengan Malaysian Medical Council (MMC) sahaja yang boleh mengeluarkan MC kepada pesakit. Setiap daripada doktor ini mempunyai nombor pengesahan pendaftaran masing-masing iaitu apa yang dipanggil sebagai Annual Practicing Certificate (APC).
Nombor ini juga mempunyai kegunaan kepada pesakit. Mereka boleh memastikan sama ada seseorang doktor tersebut adalah bertauliah atau tidak. Pencarian boleh dilakukan melalui laman sesawang MMC sendiri. Maklumat lengkap mengenai pendaftaran doktor akan diberikan. Sekiranya tidak ditemui, pesakit boleh melaporkannya kepada pihak MMC untuk diambil tindakan lanjut.
Di hospital-hospital kerajaan, doktor berpangkat ‘Medical Officer’ dan keatas seperti doktor pakar dan konsultan boleh mengeluarkan sijil cuti sakit. Doktor pelatih atau ‘House Officer’ pula tidak dibenarkan mengeluarkan MC.
Apakah cara mendapati MC
MC boleh diperolehi daripada doktor kerajaan ataupun swasta. Kuota pengeluaran MC adalah berbeza di hospital dan klinik-klinik kerajaan berbanding institusi kesihatan swasta.
Sekiranya terdapat gejala-gejala yang menunjukkan anda sedang menghidapi penyakit serta tidak mampu meneruskan apa-apa urusan, sebagai contohnya pekerjaan pada hari tersebut, MC boleh diperolehi dengan cara berjumpa mana-mana doktor di hospital atau klinik awam dan swasta. Setelah penilaian terhadap tahap kesihatan anda dilakukan, doktor akan mengeluarkan sijil cuti sakit selama beberapa hari bergantung kepada kondisi pesakit tersebut.
Situasi apakah yang tidak akan diberikan MC oleh doktor
- MC tidak akan diberikan bilamana seorang pesakit kelihatan sihat, gagal memberikan sejarah penyakit dengan lengkap, selain tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk tidak menghadiri sesuatu aktiviti yang seharusnya diikuti.
- Doktor juga selalunya mengelak untuk memberikan MC kepada kenalan rapat seperti keluarga atau saudara mara. Situasi ini boleh menimbulkan bias dan penipuan dalam mengeluarkan MC. Pesakit sebaliknya akan dirujuk kepada doktor lain.
Memahami tanggungjawab seorang doktor
- Perlu difahami bahawa seorang doktor tidak boleh mengeluarkan MC dengan sewenang-wenangnya tanpa alasan yang kukuh kerana doktor juga tertakluk dengan peraturan dan undang-undang yang wujud dalam dunia kesihatan. Fakta ini perlu diberi penekanan kerana sehingga kini masih lagi terdapat segolongan pesakit tidak bertanggungjawab yang datang meminta MC tanpa ada penyakit yang jelas.
- Seorang doktor adalah bertanggungjawab untuk menjaga nilai-nilai profesional serta etika semasa bekerja. Kejujuran dan ketiadaan bias sewaktu menilai tahap kesihatan pesakit adalah dituntut sebelum membuat pertimbangan bagi memberikan MC.
- Disebabkan MC ialah dokumen yang legal, seorang doktor yang mengeluarkan MC tanpa sebab yang kukuh, ataupun yang menipu sebagai cara mencari keuntungan, boleh dikenakan tindakan disiplin dan undang-undang melalui Malaysian Medical Council (MMC).
- Salinan MC juga akan disimpan oleh doktor dan pihak hospital sebagai bukti, selain untuk melindungi keselamatan doktor dan pesakit sekiranya berlaku apa-apa tindakan undang-undang.
Tanggungjawab seorang pesakit
- Selain doktor, pesakit juga mempunyai tanggungjawab yang perlu dipatuhi. Permohonan mendapatkan sijil cuti sakit perlulah dilakukan dengan berhemah.
- Pesakit juga adalah bertanggungjawab untuk memastikan slip MC sampai ke tangan majikan. Tanggungjawab doktor adalah mengeluarkan MC sahaja.
- Slip MC tidak boleh diolah dalam apa jua cara sama ada untuk tujan baik atau buruk kerana ianya merupakan dokumen yang legal dan boleh menjadi bahan bukti.
- Pesakit juga perlu memastikan bahawa doktor yang mengeluarkan slip MC adalah bertauliah dan telah berdaftar dengan Malaysian Medical Council (MMC).
- Pesakit tidak boleh mendapatkan MC palsu sekiranya doktor tidak meluluskan cuti sakit kerana ini adalah satu tindakan jenayah.