Apa Itu PCOS, Gejala, Kesan Kepada Kesuburan Dan Kesihatan Serta Rawatannya.

PCOS: Sebab Masalah Haid & Kesannya Terhadap Kesihatan- DoctorOnCall
Anonymous
Selamat sejahtera doktor. Saya Maria berumur 28 tahun dan sudah berkahwin selama 3 tahun namun belum dikurniakan zuriat. Untuk pengetahuan doktor kitaran haid saya sentiasa berubah, sekejap banyak dan sekejap sikit serta tidak menentu. Namun saya tidak pernah mengambil berat tentang hal tersebut sehinggalah sekarang kerana sudah 3 tahun mencuba saya akhirnya berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat baru-baru ini. Melalui imbasan ultrasound doktor mendapati terdapat sista dalam ovari saya. Doktor mengesyaki saya menghidapi masalah sindrom polisistik ovari. Sekarang saya sedang menunggu ujian darah lain sebelum saya disahkan menghidapi penyakit tersebut. Bolehkah doktor menerangkan dengan lebih lanjut mengenai penyakit ini serta masih bolehkah saya mengandung?
Anonymous
Selamat sejahtera doktor. Saya Maria berumur 28 tahun dan sudah berkahwin selama 3 tahun namun belum dikurniakan zuriat.... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima kasih puan Maria atas soalan yang diajukan. Kitaran haid tidak menentu merupakan simptom lazim bagi penyakit PCOS ini. Untuk pengetahuan puan, sebab penyakit ini tidak diketahui sebabnya lagi, namun genetik dipercayai memainkan peranan dalam sindrom ini. Sebanyak 5-10% wanita lingkungan umur reproduktif menghidapi sindrom ini. Kebiasaanya, hormon LH akan menghasilkan androgen dan kemudiannya ditukar ke hormon estrodiol dengan bantuan hormon FSH. Estradiol sangat diperlukan untuk kematangan telur. Namun terdapat ganguan dalam penghasilan hormon ini dalam PCOS dan menyebabkan kesukaran untuk hamil. Namun begitu, masih ada usaha dan rawatan untuk mengatasi masalah ini. Ketahui lebih lanjut apa itu PCOS dan cara mengatasinya dengan membaca artikel di bawah.
Terima kasih puan Maria atas soalan yang diajukan. Kitaran haid tidak menentu merupakan simptom lazim bagi penyakit PCOS... See More

Apa Itu Sindrom Polisistik Ovari (PCOS)?

Sista merupakan kantung yang tertutup, yang mempunyai selaput tersendiri dan terasing dari bahagian tisu yang berhampiran dan mengandungi air. Ianya lazim untuk wanita mempunyai sista terbentuk dalam ovari mereka. Namun begitu, dari nama sindrom itu sendiri, poli membawa maksud banyak, makanya sista yang terbentuk adalah terlalu banyak. Sista ini terbentuk dari folikel yang membesar. Sehingga satu ketika dalam kitaran normal, folikel ini akan pecah bagi melepaskan telur untuk persenyawaan. Tetapi sekiranya proses ini tidak berlaku, folikel yang mengandungi air ini akan kekal dalam keadaan sedia ada dan membentuk sista.

Keputusan hasil imbasan ultrasound bagi penyakit sista ovari dan PCOS adalah sama dimana terdapat banyak sista terbentuk dalam ovari. Namun begitu PCOS menyebabkan gangguan hormon manakala ovari sista adalah sebaliknya. Penyakit ini menyebabkan metabolisme hormon androgen dan estrogen serta pengeluaran hormon androgen tidak normal. Makanya, terlalu banyak hormon luteinising (LH) dihasilkan berbanding hormon perangsang folikel (FSH), lalu menyebabkan folikel-folikel pada ovari menghasilkan lebih banyak hormon testosteron (hormon lelaki) berbanding hormon wanita iaitu estrogen. Hal ini menghalang ovulasi serta menghasilkan simptom-simptom lain berkaitan dengan sindrom ini. Kekurangan pengeluaran estrogen ini menyebabkan hormon progesteron yang dihasilkan oleh wanita dengan PCOS ini berkurangan. Hormon ini berfungsi untuk menghentikan pengeluaran hormon LH dan FSH. Oleh hal yang demikian, penghasilan LH tidak dapat dihentikan dan menyumbang pada sindrom ini.

Apakah Simptom Yang Dialami Oleh Pesakit PCOS?

Pesakit PCOS lazimnya mengalami masalah datang haid tidak tentu. Kebanyakan wanita akan mengalami haid sedikit atau tidak datang haid untuk 2-3 bulan kemudian haid datang dengan banyak atau berpanjangan.Simptom lain dalam penyakit ini dimanifestasikan oleh tahap hormon testosteron yang tinggi seperti:

  • Hirsutism iaitu mempunyai banyak bulu di muka atau badan yang lebih dari biasa 
  • Kehilangan rambut di kepala.
  • Obesiti dan sindrom metabolic
  • Jerawat atau kulit muka berminyak.
  • Kemurungan atau berubah mood
  • Mandul
  • Acanthosis nigricans (hitam di bahagian lipatan kulit)

Namun ada juga wanita yang langsung tidak mengalami apa-apa simptom seperti di atas.


Pastikan minda anda tenteram dan badan anda selesa walaupun anda haid tidak teratur akibat PCOS 

Bagaimanakah PCOS Di Diagnosa?

Lazimnya, wanita dengan penyakit PCOS ini mempunyai masalah haid tidak teratur. Maka, beberapa ujian darah serta imbasan akan dilakukan untuk memastikan bahawa masalah haid tersebut bukan disebabkan oleh masalah lain seperti tumor kelenjar adrenal, tumor ovari, masalah hormon tiroid, masalah hormon prolaktin acromegaly, cushing syndrome dan sebagainya. 

Di samping itu, terdapat kriteria khas iaitu kriteria Rotterdam untuk mendiagnos penyakit ini. Diagnosis PCOS diberi sekiranya terdapat 2 daripada 3 gejala ini.

  • Haid tidak teratur- Jarang, tidak teratur atau haid berpanjangan 
  • Terlebih androgen- memberi rupa fizikal seperti lelaki sebagai contoh bulu terlebih lebat di wajah, dada dan bahagian bawah abdomen atau dari ujian darah yang menunjukkan tahap hormon androgen yang tinggi.
  • Ovari polisistik- dari imbasan ultrasound yang menunjukkan lebih dari 8 sista dalam satu ovari yang bersaiz kurang dari 10mm atau penambahan dalam stroma ovari

Apakah Rawatan Bagi PCOS?

Sekiranya anda ingin mendapatkan rawatan PCOS secara tradisional kerana takut akan ubat-ubatan hospital, jangan bimbang. Hal ini kerana rawatan pertama dalam masalah ini adalah perubahan gaya hidup seperti mengamalkan pemakanan yang sihat serta bersenam. Ini bagi mengelakkan komplikasi penyakit ini pada masa akan datang. Malangnya, penyakit ini tiada ubat dan rawatannya hanyalah untuk mengawal atau mengurangkan simptom dari penyakit ini. Antara tujuan ubat-ubatan adalah untuk mengurangkan tahap insulin, mengembalikan kesuburan, merawat hirsutism serta jerawat dan mengembalikan kitaran normal haid.

Antara ubat-ubatan yang diberikan adalah:

  • Ubat perancang keluarga: mengembalikan kitaran haid yang normal dan mengurangkan simptom hirsutism (bulu lebat).
  • Agen penyekat: androgen (Androgen-blocking agent): membantu mengurangkan masalah hirsutism (bulu lebat) sekiranya ubat perancang keluarga tidak berkesan. 
  • Clomiphene citrate: untuk menggalakkan kesuburan.
  • Metformin: mengawal penyakit diabetes yang sering berlaku dalam wanita yang menghidapi PCOS

Bolehkan Masalah PCOS Ini Memberi Kesan Kesihatan Lain Kepada Penghidapnya?

PCOS boleh menyebabkan banyak masalah kesihatan lain kepada wanita yang menghidapinya. Antara komplikasinya adalah:

  • Penambahan berat badan
  • Penebalan lapisan endometrium (endometrial hyperplasia) atau kanser endometrium
  • Tinggi kolesterol (dyslipidaemia)
  • Diabetes 
  • Masalah jantung

Perlukah Saya Pergi Mendapatkan Rawatan Doktor?

References