Apabila membincangkan permasalahan atau isu diet, ianya selalu digambarkan sebagai sesuatu yang sukar dibuat dan dicapai. Namun, hakikat dan realiti sebenarnya ialah ianya hanya akan menjadi sukar apabila mentaliti seseorang individu tidak betul. 80% diperolehi dari pengubahsuaian cara atau habit pemakanan dan hanya 20% dari senaman. Konsepnya adalah mudah, semakin banyak kalori yang anda ambil atau makan, semakin anda akan bertambah berat. Begitu juga apabila anda mengurangkan kalori melalui pemakanan atau senaman, semakin banyak berat badan anda yang akan turun dan semakin tinggi peluang anda untuk kurus.
Terdapat ramai individu yang mengalami kelaparan apabila memulakan diet. Perkara ini mungkin terjadi apabila salah faham dari segi cara pemakanan dan bagaimana untuk menangani kelaparan ketika hendak berdiet. Perasaan lapar akan dialami apabila tiada makanan yang berada di dalam perut. Perut akan membesar jika seseorang telah biasa mengambil makanan dengan jumlah yang banyak dan mereka terpaksa untuk mengambil makanan dalam jumlah yang banyak untuk memuaskan kelaparan. Jika individu telah biasa dengan pengambilan jumlah makanan yang sedikit, perut mereka akan mengekalkan saiz kecil dan perkara ini membolehkan mereka untuk mengambil makanan dengan hanya jumlah yang kecil untuk melegakan kelaparan.
Kesilapan yang sering terjadi semasa sesetengah individu yang beranggapan bahawa mereka perlu makan dengan kuantiti yang sedikit dalam rutin diet mereka. Hal ini kurang tepat sebaliknya apa yang perlu dikurangkan adalah pengambilan kalori daripada makanan. Jika mereka memantau dan memastikan pengambilan kalori yang sedikit walaupun jumlah makanan yang diambil adalah banyak, ianya turut akan berkesan. Seperti contoh, satu kon ais krim coklat mempunyai 200 ke 230 kilo kalori dan satu pinggan hanya nasi putih mempunyai 200 kilo kalori. Walaupun jumlah kalori bagi kedua-dua makanan ini adalah lebih kurang sama, namun individu yang bijak akan memilih satu pinggan nasi berbanding satu kon ais krim coklat kerana ianya lebih mengenyangkan dan boleh melegakan kelaparan. Namun, pengambilan makanan yang berlebihan tidak digalakkan walaupun ia mempunyai kandungan kalori yang sedikit kerana “sikit-sikit lama-lama jadi bukit” dan kalori yang sedikit jika diambil berterusan dan dengan kuantiti yang banyak lama kelamaan akan membuahkan perut yang buncit juga.