Ketahui 8 Punca Kulit Berminyak & Bagaimana Cara Merawatnya

8 Punca Kulit Berminyak & Cara Untuk Merawatnya - DoctorOnCall

Pernah anda tertanya-tanya kenapa muka anda sentiasa berminyak? Pelbagai produk dan pencuci muka anda cuba tetapi muka anda tetap berminyak. Sehinggakan anda rasa malu dan tiada keyakinan diri untuk menampilkan diri di khalayak ramai. Bukan sahaja masalah muka berminyak ditambahkan pula dengan jerawat di muka. Ikuti artikel ini untuk mengetahui apa punca kulit berminyak dan apakah cara untuk menghilangkan kulit berminyak.

Kulit Berminyak

Untuk pengetahuan anda, kulit muka kita menghasilkan minyak semula jadi yang dipanggil sebum. Sebum ini dihasilkan oleh kelenjar minyak (sebaceous gland) yang terdapat pada kulit muka. Minyak atau sebum yang dihasilkan ini berfungsi untuk memerangkap kelembapan muka muka dan mencegah jangkitan bakteria pada kulit.

Namun begitu, apabila kelenjar minyak dihasilkan lebih banyak daripada biasa, kulit muka anda akan kelihatan berminyak dan akan menyebabkan pori pada muka tersumbat seterusnya menyebabkan pertumbuhan jerawat.

Punca Kulit Berminyak

Kita sudah tahu bahawa minyak yang terhasil pada kulit adalah bermanfaat namun terlalu banyak minyak atau sebum akan menyebabkan masalah. Jadi, apakah punca kulit berminyak? Apakah yang boleh penyebab penghasilan sebum yang terlalu banyak?

1. Genetik

Genetik adalah antara punca utama kulit berminyak. Perkara ini tidak dapat dielakkan kerana anda mewarisi genetik daripada ibu bapa anda. Jika ibu atau bapa anda mempunyai masalah kulit berminyak maka anda boleh mewarisi masalah kulit berminyak. Namun, jangan terlalu risau, anda boleh merawat masalah kulit berminyak melalui beberapa cara.

2. Usia

Pada usia remaja atau akil baligh, produksi sebum akan meningkat akibat dipengaruhi hormon androgen. Tetapi perkara ini tidak kekal selama-lamanya. Semakin usia anda meningkat, hormon androgen akan berkurang dan secara tidak langsung mengurangkan penghasilan minyak daripada kelenjar minyak. Oleh itu, penjagaan kulit pada usia remaja sangatlah penting.

3. Cuaca

Cuaca juga memainkan peranan dalam produksi sebum pada kulit kita. Malaysia yang mempunyai cuaca panas dan lembap sepanjang tahun menyebabkan peningkatan penghasilan sebum. 

4. Hormon yang tidak stabil

Ketidakstabilan hormon adalah antara punca utama kulit berminyak dan menyebabkan pertumbuhan jerawat. Peningkatan hormon androgen sewaktu hamil atau wanita yang menghidapi PCOS (polycystic ovarian syndrome) boleh mengalami masalah kulit berminyak. Paras hormon sewaktu haid juga boleh menyebabkan peningkatan sebum, sebab itulah ramai wanita yang mengalami masalah jerawat apabila datang haid. Ketika ini, paras hormon estrogen & progesteron menurun mendadak, menyebabkan meningkatnya penghasilan sebum.

5. Mencuci muka secara kasar

Mungkin anda rasa lebih kuat anda menggosok dan mencuci muka, lebih bersih muka anda. Sebenarnya, perbuatan mencuci muka dengan kasar sama ada menggunakan alatan seperti kain atau span atau produk pencuci boleh menyebabkan kulit muka anda hilang kelembapan. Apabila ini terjadi, kelenjar minyak muka anda akan lebih aktif menghasilkan minyak. Jadi ingat, mencuci muka dengan kasar bukannya mengurangkan minyak di muka anda! Oleh itu, penting untuk menggunakan produk yang mesra kulit dan mencuci muka dengan lembut. 

6. Bahan solekan

Pemilihan bahan solekan adalah antara perkara yang penting dalam mengelakkan peningkatan sebum. Anda disarankan untuk menggunakan bahan solekan yang berkualiti tinggi dan bebas minyak atau cari bahan solekan yang mempunyai label “non-comedogenic”. Label non-comedogenic bermaksud bahan solekan tersebut tidak menyebabkan pori tersumbat. Penggunaan bahan solekan yang tidak sesuai boleh merosakkan kulit, menjadikan kulit kering atau lebih berminyak.

7. Diet pemakanan yang tidak sihat

Pemilihan makanan yang tidak sihat juga merupakan punca meningkatnya penghasilan minyak pada kulit. Kurangkan pengambilan adalah gula, karbohidrat, produk tenusu, makanan segera, coklat serta makanan yang berminyak untuk menjaga kesihatan kulit anda.

8. Stres

Apabila anda stres, tubuh badan anda akan menghasilkan hormon cortisol yang boleh menyebabkan kelenjar minyak menghasilkan lebih banyak sebum. Inilah yang menyebabkan kulit anda berminyak dan lebih cenderung untuk tumbuh jerawat. Oleh itu, mengawal emosi dan mengurus tekanan dengan baik adalah salah satu cara mengelakkan masalah kulit. 

Cara Mengatasi Kulit Berminyak

1. Cuci muka

Walaupun perkara ini nampak mudah, jika tidak kena pada caranya, kulit anda boleh menjadi terlalu kering atau tambah berminyak. Pada zaman ini, terdapat pelbagai pencuci muka untuk kulit yang berminyak. Oleh itu, pastikan anda memilih jenis pencuci muka yang sesuai untuk anda. 

Cara-cara mencuci muka bagi kulit berminyak yang betul adalah:

  • Mencuci muka 2 kali sehari. Pada waktu pagi selepas bangun tidur dan pada waktu malam sebelum tidur

  • Cuci dengan air suam dan pencuci muka yang sesuai untuk kulit berminyak. Elakkan pencuci muka yang mempunyai wangian.

  • Lap muka anda dengan lembut seperti menekap kain tuala untuk mengeringkan muka. Anda juga tidak sepatutnya menggosok muka dengan tuala kerana kekasaran pada kulit boleh menyebabkan iritasi dan mendorong kelenjar sebaceous untuk menghasilkan lebih banyak sebum. 

2. Toner

Penggunaan toner adalah antara perkara penting yang perlu dilakukan setelah mencuci muka. Toner berfungsi untuk meneutralkan semula pH kulit selepas mencuci muka. Kulit muka kita memerlukan pH yang neutral di sekitar 4.7 - 5.75 untuk melindungi kulit daripada jangkitan bakteria. Toner juga mempunyai fungsi untuk membersihkan kotoran daripada pori muka yang tidak dapat dibersihkan oleh pencuci muka. Penggunaan setiap hari boleh mengurangkan saiz pori dan secara tidak langsung mengurangkan penghasilan sebum yang berlebihan.

3. Astringent

Astringent adalah produk berasaskan air seperti toner yang biasanya digunakan selepas mencuci muka untuk menanggalkan lebihan solekan yang tertinggal. Astringent biasanya mengandungi lebih tinggi kandungan alkohol dan bahan lain seperti salicylic acid yang sesuai untuk merawat kulit yang berjerawat. 

Astringent menanggalkan minyak pada kulit dengan lebih baik, namun penggunaan berlebihan boleh menyebabkan iritasi dan kulit kering. Anda disarankan untuk menggunakan astringent sekali sahaja setiap hari, sama ada pada waktu pagi atau malam. Mereka yang mempunyai kulit kering, jenis normal atau sensitif tidak disarankan menggunakan produk ini.

4. Penggunaan serum

Serum juga boleh membantu mengatasi masalah kulit berminyak dengan mengecilkan pori dan mengurangkan lebihan minyak pada muka. Serum adalah antara rutin penjagaan kulit yang anda perlu lakukan selepas mencuci muka dan toner. Antara bahan baik biasanya terkandung dalam serum adalah asid hyaluronic, asid salicylic, asid alpha hydroxy (AHA) atau vitamin C. Kandungan asid hyaluronic di dalam serum bagus untuk melembabkan kulit tanpa menyebabkan kulit berminyak. 

Mereka yang memiliki kulit berminyak haruslah mengelakkan penggunaan serum yang berasaskan minyak atau mengandungi bahan seperti minyak bijian.

5. Pelembap muka

Pelembap muka adalah antara perkara yang sangat penting dalam mengatasi kulit berminyak. Ramai juga yang beranggapan bahawa muka akan lebih berminyak jika menggunakan pelembap muka. 

Untuk pengetahuan anda, pelembap muka berfungsi untuk mengekalkan kelembapan pada kulit anda dan mencegah masalah kulit kering. Kesihatan kulit bergantung pada kelembapan kulit anda. Pelembap muka akan melindungi kulit anda daripada keradangan, jangkitan dan juga pertumbuhan jerawat. 

Apabila kulit muka menjadi kering, kulit muka akan meningkatkan penghasilan sebum dan menyebabkan pori tersumbat dan tumbuhnya jerawat. Cari pelembap muka yang mempunyai ciri-ciri bukan komedogenik dan elakkan pelembap muka yang mempunyai mineral oil, cocoa butter ataupun petroleum.

6. Pakai clay mask

Clay mask adalah antara rutin penjagaan kulit muka berminyak yang bagus. Namun hanya perlu dilakukan maksimum 3 kali seminggu dan tidak melebihi 15 minit. Clay mask berfungsi untuk menyerap minyak yang berlebihan daripada kulit .

7. Exfoliate

Kulit berminyak akan menyebabkan kulit yang sudah mati sukar untuk tertanggal secara semula jadi. Penggunaan exfoliate atau produk yang membantu kulit mengelupas boleh menangani masalah kulit berminyak dan mencegah pori tersumbat disebabkan kulit mati yang terkumpul. Selain itu, exfoliating mampu mengecilkan pori dan mengurangkan lebihan minyak pada kulit muka. Antara produk exfoliation yang disarankan adalah produk yang mengandungi alpha dan beta hydroxy acid. Menurut pakar, anda digalakkan untuk melakukan exfoliation 2-3 kali seminggu. Menggunakan lebih daripada itu boleh menyebabkan kulit menjadi luka.

Mengatasi kulit berminyak ini bukan perkara yang mudah. Agak sukar untuk melakukan rutin penjagaan serta mencari produk yang sesuai untuk menjaga kulit anda. Sekiranya masalah kulit berminyak anda adalah serius seperti menyebabkan masalah jerawat yang teruk, anda boleh dapatkan nasihat pakar kulit bagi mendapatkan cara merawat kulit berminyak yang sesuai dengan anda. 


Rujukan:

Ditulis oleh Haris Asyraf, Bachelor's Degree In Medicine and Surgery (MBBCh) of Zagazig University, Egypt on

Disemak oleh DoctorOnCall Panel Doctor