Selamat Tinggal Kulit Kusam! Ketahui Punca & Cara Mengatasinya
Pernahkah anda bayangkan jika anda tidak perlu lagi menggunakan solekan untuk menutupi kulit wajah yang kusam? Bahagianya! Sudah tentu setiap individu terutama kaum wanita mempunyai impian untuk memiliki kulit yang sihat dan menawan. Impian inilah yang menjadi pemangkin untuk kita berani mencuba bermacam-macam skincare untuk kulit kusam sehingga ada yang sanggup berhabis ribuan ringgit. Namun, kadangkala tidak semuanya serasi dengan kulit dan memberikan hasil yang diinginkan. Sabar, jangan mudah putus asa. Masalah kulit kusam bukanlah perkara yang mustahil untuk diatasi dan tidak semestinya anda perlu menjalani rawatan yang mahal untuk mendapatkan kulit yang sihat dan cantik. Apa yang penting, anda harus mengenal pasti punca kulit kusam terlebih dahulu serta cara yang betul untuk mengatasinya. Ikuti kupasan artikel ini untuk info lanjut.
Ketahui Tanda Kulit Kusam
Apabila kulit anda mulai kelihatan tidak bermaya, anda mungkin mengalami masalah kulit kusam. Ciri-ciri kulit kusam adalah seperti:
- Kulit kering
- Gelap di bawah mata
- Kulit kelihatan kurang berseri
- Kulit kelihatan lebih gelap daripada biasa
Apakah Punca Kulit Kusam?
Masalah kulit wajah yang kusam sedikit sebanyak boleh mengurangkan keyakinan diri seseorang. Mari kenali apakah punca-punca kulit kusam kerana, terdapat punca-punca yang anda boleh elakkan seperti tabiat-tabiat tertentu. Berikut adalah punca-punca kulit kusam:
- Pengumpulan Sel-Sel Kulit Mati
Secara semulajadi, sel-sel kulit yang mati akan tertanggal dan diganti dengan sel kulit yang baru tanpa kita sedari. Namun, ada kalanya sel-sel kulit ini tidak tertanggal dengan sendirinya sehingga menyebabkan pengumpulan sel-sel kulit mati. Hal inilah yang menyebabkan kulit kelihatan kusam dan tidak bermaya.
- Dehidrasi
Dehidrasi berlaku apabila kuantiti air di dalam tubuh badan tidak mencukupi. Dehidrasi boleh menjadi punca terjadinya kulit kusam. Sekiranya anda kurang minum air, pori-pori dan garis kedutan kulit akan lebih jelas kelihatan. Kulit juga kurang bermaya. Satu kajian di Portugal telah dijalankan untuk membandingkan jumlah pengambilan air yang berbeza dan impaknya terhadap fisiologi kulit. Keputusan kajian menunjukkan pengambilan air yang mencukupi setiap hari (merangkumi air yang diminum dan air dalam makanan) dapat memberikan dampak yang positif terhadap kesihatan kulit.
- Kurang Kelembapan
Kelembapan kulit yang rendah menyebabkan kulit kering sekaligus menjadi kusam dan tidak bermaya. Antara cara untuk mengekalkan kelembapan kulit adalah dengan memakai krim pelembap kulit atau moisturiser. Anda disyorkan untuk menggunakan pelembap sebanyak dua kali sehari serta minum air dengan kuantiti yang mencukupi.
- Penuaan
Proses penuaan pada kulit ditandai dengan gejala utama iaitu garis kedutan yang nampak jelas pada kulit disebabkan ketegangan kulit yang semakin berkurang seiring meningkatnya usia. Hal ini sekaligus menyebabkan kulit menjadi kusam dan tidak bermaya. Walaupun proses penuaan adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan sebagai manusia biasa, namun, terdapat beberapa cara untuk melambatkan proses penuaan seperti memakai krim pelindung matahari (sunblock) dan mengamalkan waktu tidur yang cukup setiap hari.
- Stress / Tekanan
Salah satu jurnal Dermatologi, menyatakan tekanan emosi boleh menjadi penyebab penyakit kulit seperti psoriasis dan dermatitis menjadi teruk. Artikel jurnal itu juga menyebut tentang terdapat banyak bukti yang mengaitkan tekanan dan keradangan kulit. Walaupun kajian lanjut masih perlu dilakukan, tetapi hubungkait emosi dan kesihatan kulit adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan.
- Merokok
Merokok menyebabkan seseorang kelihatan lebih tua daripada usianya. Kajian epidemiologi menunjukkan bahawa merokok adalah faktor utama penuaan kulit pada usia lebih muda. Rook menyebabkan kulit kusam melalui pelbagai cara. Kajian dalam tabung uji menunjukkan bahawa ekstrak asap tembakau mengganggu pengeluaran kolagen dan meningkatkan pengeluaran zat tropoelastin dan matriks metalloproteinases (MMP), yang menurunkan protein matriks, dimana ia menyebabkan pengeluaran bahan elastosis yang tidak normal. Merokok meningkatkan jumlah MMP dan menyebabkan ketidakseimbangan tisu-tisu kulit. Rokok juga mempercepatkan penuaan kulit dengan pembebasan radikal bebas yang kita sememangnya tahu berbahaya.
- Kurang Tidur
Satu kajian telah dijalankan di Sweden untuk melihat sama ada tempoh waktu tidur mempengaruhi daya tarikan, kesihatan, riak wajah serta kebolehan seseorang melakukan interaksi sosial. Hasil kajian mendapati individu yang tidak mendapat tidur yang cukup, kelihatan letih dan menyebabkan penampilan yang kurang menarik, tubuh badan yang kurang sihat serta mempunyai riak wajah mengantuk dan tidak bermaya. Kurang tidur juga boleh memberikan kesan kepada warna kulit wajah, menjadikannya kelihatan kurang segar dan kusam. Kurang tidur membuatkan sistem ketahanan tubuh terjejas sehingga kemungkinan berlakunya keradangan turut meningkat. Keradangan mempengaruhi pembentukan kolagen dan hyaluronic acid yang amat penting dalam mengekalkan kecerahan dan kesegaran kulit. Oleh itu, tidur dan rehat yang cukup adalah penting utuk kulit segar menawan.
- Sinaran Matahari
Walaupun sinaran matahari membantu tubuh anda untuk menghasilkan vitamin D, namun, terdedah kepada sinaran matahari terlalu lama boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan kulit. Kulit yang terdedah kepada sinaran UV (ultra violet) secara langsung terutama dalam tempoh jam 10 pagi hingga 4 petang, boleh menyebabkan kulit menjadi kusam. Ia juga menjejaskan kelembapan kulit, menyumbatkan pori-pori kulit dengan kotoran sekaligus mempercepat proses penuaan. Bukan itu sahaja, terlalu kerap terdedah kepada sinaran uv matahari juga boleh meningkatkan risiko anda menghidap kanser kulit.
- Hormon
Kesihatan kulit juga sebenarnya dipengaruhi oleh kadar hormon di dalam tubuh badan anda. Bagi wanita, paras hormon estrogen yang tinggi berupaya mengekalkan kelembapan kulit dan mengurangkan penghasilan minyak. Justeru, hormon estrogen yang berkurang pada hari-hari terawal seorang wanita didatangi haid menjadikan kulit mereka lebih kering dan tidak bermaya.
- Diet Tidak Sihat
Amalan diet yang tidak sihat menyebabkan anda tidak mendapat nutrient yang cukup bukan sahaja untuk kesihatan badan tetapi juga untuk kulit anda. Kulit anda memerlukan pelbagai vitamin untuk kekal cantik. Tabiat pemakanan yang tidak seimbang boleh menyebabkan anda kekurangan nutrient yang diperlukan kulit. Pengambilan kalori berlebihan juga dikaitkan dengan pelbagai masalah kulit.
Bagaimanakah Cara Mengatasi Kulit Kusam?
- Lakukan Rutin Exfoliate Kulit
Apakah itu exfoliate kulit? Exfoliate atau exfoliation sebenarnya merupakan proses membuang sel-sel kulit yang mati pada kulit wajah. Lapisan sel mati yang tebal menghalang kulit daripada menerima kebaikan yang terkandung dalam produk penjagaan kulit wajah. Rutin exfoliation juga dapat membersihkan pori-pori wajah yang tersumbat. Anda disarankan untuk melakukan rutin ini dalam 2 hingga 3 kali seminggu.
Terdapat dua kaedah exfoliation kulit, iaitu secara manual atau menggunakan bahan kimia. Cara exfoliation manual adalah dengan menggosok wajah dengan scrub daripada kain atau span yang sedikit kasar. Anda juga boleh menggunakan produk scrub wajah yang mengandungi bahan seperti apricot seed, black sugar dan coffee ground yang boleh membantu anda menanggalkan sel-sel mati ini. Kebanyakan produk scrub digunakan seperti pencuci muka atau bersama alat exfoliant. Exfoliation menggunakan bahan kimia pula dilakukan melalui rawatan kulit menggunakan bahan kimia seperti AHA (Alpha Hydroxy Acid) dan BHA (Beta Hydroxy Acid), glycolic acid dan juga retinol.
- Kerap Bersenam
Cara mengatasi wajah kusam dan hitam tidak terhad kepada penggunaan produk penjagaan kulit wajah, senaman juga dapat membantu. Kerap bersenam dapat merangsang aliran darah, yang sangat penting untuk mengekalkan kulit berseri. Aliran darah yang lancar juga membolehkan segala nutrisi penting sampai ke kulit anda, menjadikannya sihat dan cantik.
- Makan Makanan Seimbang & Kekal Terhidrat
Anda adalah apa yang anda makan. Kaitan nutrisi dan kesihatan kulit telah lama menjadi topik kajian para saintis di seluruh dunia. Antara makanan yang dikatakan baik untuk kulit adalah makanan mengandungi antioksidan yang tinggi serta khasiat lain seperti vitamin A, C, E, Flavonoids dan Polyphenol. Zat-zat ini boleh didapati dalam pelbagai sayur-sayuran dan buah-buahan. Nutrisi dalam makanan juga banyak yang dimasukkan ke dalam produk-produk penjagaan kulit. Selain pengambilan makanan sihat, anda juga perlu menjauhi makanan yang kaya lemak, tinggi gula dan juga garam. Kajian juga menunjukan, mengehadkan mengambilan kalori dalam diet seharian turut memberi manfaat kepada kesihatan kulit.
Selain itu, pastikan anda minum sekurang-kurangnya enam gelas air putih setiap hari. Kandungan air yang mencukupi dalam tubuh membantu mengekalkan kesihatan kulit. Elakkan atau hadkan pengambilan minuman berkafein kerana kafein mengganggu penyerapan vitamin dan mineral dalam badan, seperti vitamin C dan zat besi, dimana keduanya memainkan peranan penting dalam kesihatan kulit anda.
- Jangan Merokok & Elakkan Daripada Terdedah Dengan Asap Rokok
Selain kesan buruk terhadap tubuh badan, merokok juga dapat menjejaskan kesihatan kulit. Rokok mengandungi pelbagai bahan kimia berbahaya yang merosakkan struktur kulit wajah terutamanya bahan yang digelar kolagen dan elastin. 2 bahan ini memberikan kekuatan dan keanjalan kulit. Sebab itulah mereka yang merokok atau terdedah kepada asap rokok kelihatan lebih tua daripada usia.
- Menggunakan Pelindung Matahari
Penggunaan krim pelindung matahari (sunblock) dapat melindungi kulit anda daripada bahaya sinaran UV terutama jika anda terdedah kepada panas terik lebih dari satu jam lamanya. Sunblock juga dapat memperlambat proses penuaan serta mengurangkan risiko terkena kanser kulit.
- Pakai Produk Penjagaan Kulit Yang Sesuai
Pastikan anda menggunakan produk penjagaan kulit yang bersesuaian dengan jenis kulit anda. Hal ini kerana rutin penjagaan bagi jenis kulit yang normal, kering, sensitif, berminyak ataupun kombinasi adalah berbeza-beza. Pemilihan produk yang salah dapat menyebabkan kulit menjadi kusam dan kadangkala boleh menyebabkan alahan. Selain itu, sebelum mencuba sebarang produk, anda perlu menyemak kandungan bahan yang digunakan samada selamat ataupun tidak, serta produk tersebut perlulah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Anda boleh bertanya kepada doktor ataupun ahli farmasi sekiranya anda mempunyai sebarang keraguan.
- Dapatkan Tidur/Rehat Yang Mencukupi
Tidur yang cukup membantu sel-sel kulit diperbaharui dengan baik. Jumlah tidur yang disyorkan bagi orang dewasa adalah selama 6 hingga 8 jam sehari. Sesibuk mana sekalipun anda, pastikan anda tetap meluangkan masa untuk berehat demi kesihatan anda juga. Di samping itu, tidur dan rehat yang mencukupi dapat mengurangkan risiko stress yang boleh menyumbang kepada masalah yang sama.
- Dapatkan Pandangan Pakar Kulit Jika Mempunyai Masalah Kulit
Anda dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan pakar kulit sekiranya mempunyai masalah kulit yang sukar dirawat. Konsultasi secara langsung mengenai keadaan kulit anda adalah lebih baik untuk menentukan kaedah rawatan yang paling sesuai untuk menyelesaikan masalah kulit yang anda hadapi.
Kesimpulan
Kulit yang kusam boleh diatasi jika betul caranya Tidak salah untuk anda mencuba mana-mana produk untuk kulit kusam seperti serum untuk kulit kusam, akan tetapi, produk tersebut adalah yang berdaftar dan selamat serta bebas daripada bahan kimia berbahaya. Pastikan juga anda mengambil berat dan mengamalkan gaya hidup sihat bagi memastikan kesihatan kulit dan tubuh badan secara menyeluruh.
Rujukan: