Seperti yang dijelaskan di atas, anemia adalah keadaan dimana seseorang itu kekurangan sel darah merah. Namun begitu, penggunaan terma anemia aplastik adalah kurang tepat untuk menunjukkan sekadar kekurangan sel darah merah. Definisi yang lebih tepat bagi terma ini adalah “pancytopenia” iaitu kondisi yang melibatkan ketiga-tiga jenis sel darah iaitu sel darah merah, sel darah putih dan platelet yang berkurangan akibat datipada kegagalan fungsi sumsum tulang.
Anemia Aplastik, Adakah Perlu Saya Risau Akan Gejala Dan Bahayanya?
Salam sejahtera doktor. Nama saya Amelia dan saya berasa sangat risau dengan keadaan anak saudara saya. Anak saudara saya berusia 15 tahun dan menghidapi penyakit yang saya kurang faham mengenainya. Pada awalnya anak saudara saya ini sangat aktif dan beberapa bulan lepas dia mula menunjukkan gejala-gejala sakit seperti lemah badan, sesak nafas dan warna kulit menjadi semakin pucat. Apabila anak saudara saya dibawa ke hospital, doktor mengesahkan bahawa anak saudara saya menghidapi kondisi yang dikenali sebagai anemia aplastik. Boleh doktor terangkan dengan lebih mudah akan kondisi ini supaya saya lebih faham? Terima kasih.
Berdasarkan keterangan yang anda berikan, penyakit anemia aplastik ini adalah sejenis penyakit darah yang amat jarang ditemui. Gejala-gejala yang dialami oleh anak saudara anda ini ialah simptom umum bagi anemia iaitu kekurangan sel darah merah. Sel darah merah amat penting bagi tubuh badan manusia kerana ia mempunyai beberapa fungsi seperti mengangkut oksigen dan nutrien ke organ dan tisu. Antara penyakit yang boleh menunjukkan simptom serupa adalah seperti asma, anemia akibat daripada kurang nutrien dan demam virus. Penerangan lanjut mengenai kondisi anak saudara anda akan diterangkan dengan lebih lanjut dalam artikel bawah.
Apakah yang dimaksudkan dengan anemia aplastik?
Bagaimana seseorang itu boleh menghidapi anemia aplastik?
Penyakit ini mempunyai beberapa punca yang telah dikenalpasti sebagai penyebab kepada kegagalan sumsum tulang untuk menghasilkan sel-sel darah seperti:
- Sesetengah ubat - seperti ubat yang digunakan dalam rawatan kanser, ubat pembendung sistem imun seperti Azathioprine dan sesetengah antibiotik seperti Chloramphenicol.
- Kesan radiasi tinggi - kita selalu mendengar bahawa radiasi adalah berbahaya dan boleh menyebabkan komplikasi seperti kanser. Hal ini juga tidak terkecuali bagi kes anemia aplastik kerana ianya boleh menyebabkan kerosakkan pada sum-sum tulang.
- Toksin - walaupun jarang berlaku, namun terdapat kes-kes yang telah direkodkan mengenai pendedahan berpanjangan pada toksin seperti “benzene” dan mereka yang bekerja dalam industri berat.
- Penyakit auto-imun - penyakit ini adalah keadaan dimana sel darah putih menyerang sum-sum tulang badan dengan sendirinya. Kondisi auto-imun tidak diketahui puncanya namun ianya mungkin disebabkan ketidakseimbangan genetik sel darah putih.
- Jangkitan kuman - sesetengah jangkitan kuman terutamanya jangkitan oleh virus hepatitis dan HIV, boleh menyebabkan anemia aplastik.
- Faktor genetik - kanak-kanak atau orang muda adalah golongan yang sering didiagnos dengan penyakit anemia aplastik ini dan dalam sesetengah kes, ianya berpunca daripada kecacatan genetik seperti yang dilihat pada pesakit “Anemia Fanconi”.
Adakah gejala-gejala anemia aplastik ini sama dengan anemia yang lain?
Bagi kebanyakkan orang, mereka mungkin tidak mengetahui jenis anemia atau klasifikasi anemia kerana ia bukanlah kondisi yang kerap berlaku ke atas individu. Simptom anemia aplastik mempunyai sedikit persamaan dengan gejala anemia yang lain seperti muka pucat disamping simptom-simptom tambahan seperti:
- Mudah dan kerap mendapat jangkitan kuman - hal ini berikutan kekurangan sel darah putih untuk melindungi badan daripada kuman. Antara jangkitan kuman yang sering dialami oleh pesakit adalah seperti jangkitan saluran udara dan jangkitan air kencing.
- Mudah mendapat luka/lebam dan darah lambat kering - hal ini terjadi kerana kurangnya platelet yang berfungsi untuk membeku darah apabila terdedah kepada persekitaran luar dan menghalang pendarahan dalaman secara spontan.
- Degupan jantung laju dan sesak nafas - kerana kekurangan sel darah merah untuk membekalkan oksigen kepada badan dan menyebabkan jantung dan paru-paru terpaksa bekerja keras dengan oksigen terhad dalam darah.
- Sakit kepala dan lemah badan - oleh sebab kurang oksigen yang sampai ke otak, otot-otot dan organ-organ badan yang menyebabkan penghasilan tenaga berkurangan walaupun menerima cukup nutrisi.
Jika anemia aplastik dan anemia yang lain mempunyai gejala serupa, bagaimanakah ianya boleh didiagnos oleh doktor?
Bagi mendapat diagnosis anemia aplastik, beberapa ujian perlu dilakukan seperti:
- Ujian darah “Complete Blood Count” - Ujian darah ini boleh melihat secara am sekiranya hanya sel darah merah yang terlibat ataupun keseluruhan sel-sel darah juga terlibat.
- Biopsi tulang sum-sum - ini ialah ujian standard yang paling utama dalam mengenalpasti anemia aplastik dan penyakit-penyakit berkaitan tulang sumsum. Biopsi adalah prosedur menggunakan jarum besar dibawah pengaruh anestesia umum untuk mengambil spesimen tulang sumsum bagi proses pengenalpastian dibawah mikroskop.
Adakah terdapat cara merawat atau penawar bagi anemia aplastik ini?
Terdapat beberapa kaedah rawatan moden bagi kondisi ini namun ianya tidak dapat sama sekali disembuhkan walaupun dengan pengetahuan sains moden terkini. Antara kaedah-kaedah rawatan bagi anemia aplastik ini adalah seperti:
- Penggunaan ubat antibiotik/antivirus - penggunaan ubat-ubat ini adalah berikutan pesakit anemia aplastik yang sering mendapat jangkitan kuman. Terdapat potensi bahaya anemia aplastikjika mendapat jangkitan kuman yang boleh berubah menjadi “sepsis”. Sepsis adalah keadaan apabila kuman sudah berada dalam saluran darah dan merebak ke seluruh organ dan menyebabkan kegagalan organ. Ia boleh menyebabkan kematian pada seseorang.
- Penggunaan ubat anti-imun (“immunosuppressant drugs”) - bagi sesetengah kes yang diketahui punca seperti penyakit auto-imun, penggunaan ubat kelas ini dapat memperlahankan penyakit ini. Antara ubat yang sering kali digunakan adalah seperti Eltrombopag.
- Penggunaan ubat peransang darah - kategori ubat ini adalah seperti Erythropoetin dan “Thrombopoetin Receptor Agonist (TPO)”. Rawatan-rawatan ini adalah bertujuan bagi meransang sel-sel darah untuk bertambah dan seterusnya mengurangkan gejala yang dialami oleh pesakit.
- Transfusi darah - kebanyakkan pesakit anemia aplastik perlu menerima transfusi darah berikutan skala penyakit ini yang begitu teruk. Transfusi darah yang dilakukan adalah jenis transfusi darah penuh yang mempunyai sel darah merah, platelet dan plasma.
- Pemindahan sumsum tulang - yang juga dikenali sebagai pendermaan sumsum tulang yang boleh dilakukan oleh penderma yang sesuai. Doktor akan membuat pembedahan pemindahan bahagian sumsum tulang yang sihat daripada penderma kepada pesakit.
Antara perkara lain yang pesakit anemia aplastik boleh lakukan adalah mengambil makanan yang berkhasiat. Makanan untuk anemia aplastik adalah seperti makanan pesakit anemia yang lain iaitu kaya dengan zat besi, asid folat dan vitamin B.
Saya berasa risau dengan penyakit anemia aplastik ini, maka adakah terdapat cara-cara pencegahan yang boleh saya ambil?
Cara-cara pencegahan anemia aplastik adalah bertujuan untuk mengurangkan risiko seseorang daripada mendapatinya. Ia tidak bermaksud sekiranya seseorang mengamalkan kaedah pencegahan yang disebutkan dibawah, maka seseorang itu tidak akan dapat penyakit ini kerana terdapat faktor lain lagi yang menyebabkan kondisi ini. Antara langkah pencegahan yang boleh diambil adalah seperti:
- Berhenti mengambil ubat-ubatan yang menyebabkan kondisi ini
- Tidak terlibat secara langsung dengan bahan toksik
- Menjauhi dan tidak terjebak dengan aktiviti berisiko yang boleh menyebabkan jangkitan hepatitis dan HIV
- Tidak selalu membuat ujian imbasan seperti X-ray dan Imbasan CT
Bilakah perlu untuk saya atau kenalan saya berjumpa dengan doktor sekiranya saya berasa ini adalah anemia aplastik?
Sekiranya anda atau kenalan/ahli keluarga anda mempunyai gejala-gejala seperti yang disebutkan dan tidak menampakkan sebarang perubahan walaupun dengan hidrasi dan pemakanan yang disarankan, maka ketika itu konsultasi lanjut bersama doktor adalah diperlukan. Ianya bertambah penting lagi sekiranya terdapat jangkitan kuman dimana pengambilan ubat anti-kuman adalah diperlukan segera. Sila rujuk doktor anda bagi membincangkan lebih lanjut mengenai kondisi ini sekiranya anda tidak berapa faham atau berasa risau.
References