Jika pada suatu hari, anda berjalan dan sedang menikmati keindahan alam sekeliling, namun, tiba-tiba anda mendapati sekeliling anda menjadi kabur, anda harus terus mengunjungi doktor di hospital. Walau apa pun diagnosis yang diberikan oleh doktor, penglihatan kabur dan gelap adalah suatu perkara yang bahaya tidak kira hanya selama beberapa saat atau berjam-jam. Antara salah satu penyebab hilang penglihatan atau penyebab mata tiba-tiba kabur ialah Glaukoma.
Glaukoma ialah jenis sakit mata yang didefinisikan sebagai sekumpulan penyakit yang merosakkan saraf mata iaitu saraf optik yang amat penting kepada manusia kerana berfungsi dalam menghasilkan imej penglihatan. Kerosakan saraf ini kebiasaannya disebabkan oleh tekanan pada bebola mata yang tinggi.
Glaukoma merupakan antara penyumbang terbesar kepada punca hilangnya penglihatan kepada golongan warga emas yang berusia 60 tahun ke atas. Namun begitu, ia masih lagi boleh berlaku pada setiap lapisan usia. Kebanyakan pesakit mengalami kondisi ini secara tiba-tiba. Kadang-kala, penglihatan pesakit sebenarnya telah pun terjejas namun pesakit tidak menyedarinya kerana perubahan yang tidak begitu jelas sehinggalah penyakit ini mencapai tahap yang membimbangkan.