Rawatan pilihan strok berdasarkan kepada jenis strok yang dialami. Oleh itu, perkara pertama yang biasanya dilakukan adalah untuk penilaian jenis strok menggunakan pengimejan perubatan seperti CT scan.
Untuk strok iskemia yang disebabkan oleh darah beku pada arteri, pesakit akan dirawat dengan:
- Ubat cair darah, contohnya warfarin
- Ubat antiplatelet, contohnya aspirin
- Pemecahan bekuan darah (sekiranya kurang dari 3 jam sejak strok berlaku). Rawatan ini hanya terdapat di hospital yang mempunyai peralatan serta kepakaran rawatan strok.
Strok pendarahan haruslah dikecualikan melalui pengimejan perubatan kerana rawatan pencairan darah akan menyebabkan strok pendarahan menjadi lebih teruk.
Bagi strok pendarahan, rawatan yang boleh diberikan termasuk:
- Penilaian neurosurgeri untuk mengesan dan merawat punca pendarahan
- Pengawasan pesakit untuk memastikan tekanan darah, paras gula serta suhu badan adalah optimum untuk meningkatkan peluang untuk pulih.
Untuk semua pesakit strok, rawatan yang paling penting adalah pemulihan (“stroke rehabilitation”) selepas serangan strok. Pemulihan ini bertujuan untuk membantu pesakit strok menjalankan kehidupan mereka secara berdikari berdasarkan kemampuan mereka, termasuklah pembelajaran semula kemahiran diri yang diperlukan. Pemulihan ini mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk memulihkan fungsi pesakit. Contohnya:
- Rawatan fisioterapi untuk menguatkan otot yang lumpuh atau lemah.
- Terapi pekerjaan melibatkan pembelajaran kegiatan seharian contohnya memakai baju, menulis dan mandi.
- Terapi pertuturan dan bahasa bertujuan untuk membantu pesakit strok untuk mengatasi masalah pertuturan dan pemahaman.
- Ahli psikologi untuk membantu pesakit yang mengalami gangguan emosi akibat strok.
Penyakit strok ini merupakan satu punca kehilangan upaya yang serius malah boleh menyebabkan kematian. Oleh itu, kita haruslah mencegah strok dengan menjadi lebih peka terhadap kesihatan diri. Sesiapa yang mempunyai faktor risiko strok haruslah mengawal berat badan dan masalah kesihatan seperti kencing manis dan darah tinggi, serta berhenti merokok untuk mengelakkan ditimpa serangan strok.
Jika terdapat sebarang persoalan, anda boleh berbincang dengan doktor kami di www.doctoroncall.com,my.