Cara Untuk Menyembuhkan Sakit Telinga (Ear Pain)?

Anonymous
Salam doktor. Saya ingin bertanya mengenai sakit telinga. Saya seorang ibu berusia 28 tahun dan tidak bekerja. Kira-kira 3 hari yang lepas, saya berasa sakit di kawasan luar telinga dan rasa berdengung di dalam telinga sebelah kanan sahaja. Sakit itu datang secara tiba-tiba dan ia terasa seperti mencucuk-cucuk dan berdenyut. Selain daripada itu, telinga saya nampak kemerahan di bahagian lubang telinga. Baru-baru ini, saya dapat merasakan telinga saya semakin sakit dan kemungkinan ada bengkak di dalam telinga. Kadang-kadang, saya tidak dapat tidur dengan selesa atau nyenyak kerana kesakitan yang saya alami. Untuk melegakan kesakitan telinga tersebut, saya akan mengambil 2 biji Panadol selepas makan.

Untuk pengetahuan doktor, boleh dikatakan setiap hari saya menggunakan fon telinga untuk mendengar lagu dengan kelantangan yang tinggi. Suami saya ada menasihatkan supaya jangan mendengar lagu terlalu kuat tetapi saya tidak mengendahkannya. Selain itu, saya selalu menggunakan putik kapas untuk mencuci telinga dan boleh dikatakan setiap hari dan kawan-kawan saya ada memberitahu yang amalan itu adalah tidak baik. Jadi, doktor, apakah penyebab kepada sakit telinga saya dan apakah ubat yang sesuai untuk mengatasi masalah ini? Adakah ia disebabkan oleh jangkitan kuman dan akan membuatkan saya pekak? Haruskah saya pergi ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan lebih lanjut?
Anonymous
Salam doktor. Saya ingin bertanya mengenai <strong>sakit telinga</strong>. Saya seorang ibu berusia 28 tahun dan ti... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan butiran-butiran yang anda beri, kemungkinan penyebab kepada sakit telinga ini adalah kerana jangkitan bakteria sama ada di luar, bahagian tengah atau bahagian dalam telinga. Saya mengesyorkan anda untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang lebih sempurna dan untuk mengelakkan daripada mendapat komplikasi yang lebih teruk seperti pekak. Sakit telinga adalah simptom yang biasa dan ia boleh disebabkan oleh pelbagai jenis penyakit. Sakit telinga boleh melibatkan sama ada sebelah sahaja atau kedua-dua belah telinga, tetapi biasanya ia melibatkan sebelah telinga sahaja. Sakit telinga juga boleh digambarkan dengan perasaan terbakar atau panas, mencucuk-cucuk atau berdenyut. Sakit telinga yang serius memerlukan rawatan dengan segera dan kadangkala ubat tahan sakit dari farmasi atau klinik seperti acetaminophen (Paracetamol) atau ibuprofen turut digunakan untuk merawat.
Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan butiran-butiran yang anda beri, kemungkinan penyebab kepada sakit telinga ini... See More

APAKAH PENYEBAB SAKIT TELINGA?

Sakit telinga boleh dibahagikan kepada 3 kategori iaitu:

1)  Bahagian luar telinga

Heliks dan aurikuler membentuk bahagian luar bagi tulang rawan telinga dan bahagian ini boleh mendapat jangkitan atau kecederaan. Antara sebabnya ialah:

- Jangkitan kulit atau selulitis

- Selaran matahari / “sunburn”

- Irritasi kulit yang kronik seperti dermatitis atopik

- Trauma – kecederaan aurikular biasanya berlaku selepas ditumbuk. Apabila darah beku terbentuk, pesakit akan berasa amat sakit kerana kecederaan tulang rawan telinga.

- Trauma atau jangkitan saluran telinga:

  • Trauma kulit saluran telinga dengan aktiviti seperti membuang tahi telinga dengan menggunakan putik kapas atau objek yang tajam. Ini akan melukakan kulit dan seterusnya dijangkiti oleh kuman.

  • ‘Swimmer’s ear’ – jangkitan boleh disebabkan oleh air yang bertakung dalam saluran telinga. Suasana yang lembab dalam saluran telinga memberi persekitaran untuk bakteria merebak.

  • Tahi telinga yang berlebihan.

  • Objek asing yang tersumbat dalam telinga seperti manik atau kacang biasanya berlaku pada kanak-kanak.

2)  Bahagian tengah telinga

Bahagian tengah telinga dipisahkan daripada saluran telinga dengan gegendang telinga. Di sinilah lokasi komponen-komponen yang terlibat bagi pendengaran. Ia adalah ruang yang tertutup dan apa-apa punca yang meningkatkan tekanan di bahagian ini akan menyebabkan kesakitan:

1. Jangkitan bahagian tengah telinga iaitu ‘otitis media’ berlaku terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Kondisi ini disebabkan oleh bakteria atau virus yang menjangkiti cecair yang berada di bahagian tengah telinga.

2. Jangkitan atau trauma gegendang telinga.


3)  Bahagian dalam telinga

Bahagian ini adalah kawasan di mana struktur telinga berkomunikasi dengan sistem saraf pendengaran yang akan menghantar mesej kepada otak. Simptom jangkitan bahagian dalam telinga iaitu “otitis interna” ialah vertigo (perasaan persekitaran berputar-putar), biasanya tidak mendatangkan kesakitan. 

APAKAH GEJALA DISEBABKAN OLEH SAKIT TELINGA?

Gejala yang dikaitkan dengan sakit telinga bergantung pada sebabnya. 

Simptom jangkitan bahagian telinga luar termasuklah 

  • Kemerahan kulit 

  • Bengkak

  • Sakit telinga

  • Lendiran cecair dari saluran telinga 

Simptom jangkitan bahagian telinga tengah dan dalam adalah: 

  • Resdung tersumbat

  • Kehilangan pendengaran sementara 

  • Vertigo

  • Untuk bayi atau kanak-kanak – selalu menangis, tidak senang duduk, menarik atau menggosok telinga yang sakit, hilang selera makan

  • Demam panas melebihi 38 degree Celsius

  • Masalah tidak boleh tidur pada waktu malam

  • Batuk dan hidung berair

  • Masalah keseimbangan

  • Sakit rahang

  • Sakit kerongkong

  • Gatal-gatal di kawasan telinga

  • Bunyi-bunyi bising di telinga / tinnitus

APAKAH RAWATAN UNTUK SAKIT TELINGA?

Ubat tahan sakit seperti paracetamol atau ibuprofen boleh digunakan untuk melegakan kesakitan dan demam. Antibiotik dalam bentuk pil atau titis telinga boleh digunakan untuk menghapuskan bakteria-bakteria. Terdapatnya rawatan tradisional seperti kegunaan minyak zaitun atau minyak pati juga dapat membantu untuk mengeluarkan tahi telinga yang berlebihan tetapi kesannya tidak dibuktikan dengan penyelidikan saintifik. Penggunaan minyak zaitun atau ubat titis telinga sepatutnya dielakkan jika gegendang telinga anda pecah.


BILAKAH ANDA HARUS BERJUMPA DOKTOR?

Dalam kebanyakan kes, sakit telinga boleh sembuh tanpa melibatkan apa-apa rawatan. Sekiranya sakit tersebut berterusan sepanjang hari dan tidak sembuh, anda disarankan berjumpa dengan doktor di hospital berdekatan anda.

Individu-individu dengan masalah seperti:

  • Selesema orang dewasa dengan hidung berair sampai mengalir ke dalam tekak.

  • Jangkitan bahagian tengah telinga dengan demam yang berpanjangan terutamanya kanak-kanak.

  • Lendiran darah, nanah atau cecair lain dari telinga.

  • Sakit telinga yang semakin buruk.

  • Sakit telinga dengan simptom seperti hilang pendengaran, demam bersuhu tinggi (lebih daripada 38 degree celcius) serta tidak lalu makan dan minum beserta hilang selera makan.

  • Vertigo dengan hilang pendengaran dan tinnitus memerlukan rawatan segera kerana ia mungkin petanda awal untuk ketumbuhan atau tumor saraf.

  • Pesakit kencing manis atau masalah sistem imun badan berisiko untuk mendapat ‘malignant otitis externa’, keadaan di mana memerlukan rawatan antibiotik yang agresif.

  • Sakit telinga dengan demam, sakit kepala, leher berasa tegang dan sensitif terhadap cahaya terang adalah petanda awal untuk radang meninges atau otak. Penyakit ini memerlukan rawatan yang segera. 

Sekiranya masalah ini berlanjutan serta memudaratkan kesihatan anda, anda disarankan untuk merujuk masalah ini dengan lebih lanjut kerana maklumat tambahan serta pemeriksaan adalah diperlukan sebelum kesimpulan dapat dibuat. Anda boleh klik pada link (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan doktor kami untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut. 

Terima kasih.


References