Apakah punca sakit pinggang semasa hamil (Lower Back Pain During Pregnancy) dan bagaimana cara mengatasinya?

Anonymous
Selamat pagi, doktor. Saya seorang guru berusia 32 tahun. Saya mengajar di sebuah sekolah menengah kluster. Kami mempunyai 2 orang anak dan pada masa ini saya sedang hamil dan kandungan saya sudah mencecah 28 minggu. Oleh sebab saya mengajar di sekolah saya mempunyai banyak kelas yang perlu diajar dan juga termasuk dengan kelas tambahan pada waktu petang. Selain itu, saya sering kali menggunakan papan hitam untuk menulis nota bagi pelajar-pelajar saya. Saya juga sering kali berdiri untuk waktu yang lama untuk memastikan pelajar-pelajar akan fokus kepada arahan dan tunjuk ajar yang diberikan. 

Sejak kebelakangan ini, saya mendapati saya mempunyai masalah sakit pinggang. Pada mulanya, sakitnya boleh ditahan tetapi lama kelamaan saya tidak boleh tahan sakit tersebut. Ini menyebabkan saya mempunyai masalah kerana tidak dapat berdiri untuk waktu yang lama. Di samping itu, disebabkan masalah sakit pinggang ini saya sering kali terpaksa mengambil cuti dan berehat di rumah untuk melegakan sakit tersebut. Bolehkah doktor memberitahu saya apakah punca sakit pinggang semasa hamil ini? Apakah yang boleh saya lakukan untuk melegakannya?
Anonymous
Selamat pagi, doktor. Saya seorang guru berusia 32 tahun. Saya mengajar di sebuah sekolah menengah kluster. Kami me... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima kasih puan atas soalan tersebut.
Terima kasih puan atas soalan tersebut.</div> ... See More

Apakah punca sakit pinggang ketika hamil

Sakit pinggang semasa hamil merupakan suatu masalah yang sangat biasa kita dengar dalam kalangan ibu mengandung. Terdapat beberapa punca utama sakit pinggang semasa hamil:

  • Perubahan hormon dalam badan. Perubahan hormon akan menyebabkan sendi pinggul menjadi lebih longgar serta menjadikan ligamen di situ lebih fleksibel sebagai persediaan untuk proses bersalin. Apabila berlakunya perubahan ini, ianya akan menyebabkan wanita tersebut mengalami sakit pinggang kerana tidak biasa kepada perubahan tersebut dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Ini juga dikenali sebagai "symphysis pubis dysfunction" atau SPD.
  • Pusat graviti tidak stabil. Apabila semakin hampir dengan waktu bersalin, maka badan ibu mengandung akan menjadi tidak stabil kerana pusat gravitinya tidak stabil. Hal ini akan menyebabkan sakit pinggang kerana badan wanita tersebut akan membengkok untuk memberikan sokongan bagi mengangkat beban kandungan. 
  • Pertambahan berat badan. Wanita juga akan mengalami masalah sakit pinggang semasa hamil kerana berat badan bertambah dengan mendadak.
  • Mengangkat objek berat. Wanita juga akan mengalami sakit pinggang semasa hamil apabila mengangkat objek berat atau bebanan berlebihan sewaktu mengandung. Ini juga membawa risiko mengalami masalah slip disc.
  • Seterusnya, wanita mengandung juga perlu kerap berehat dan tidak melakukan kerja yang berat kerana boleh mengelakkan sakit pinggang.

Apakah cara menghilangkan sakit pinggang semasa hamil

Rawatan yang boleh diberikan terdiri dari beberapa kaedah yang mudah untuk dipraktikkan.

  1. Cara pertama adalah dengan mengelakkan diri daripada berdiri atau duduk untuk masa yang terlalu lama. Wanita tersebut haruslah aktif bergerak supaya sendi pinggang tidak kaku.
  2. Kaedah seterusnya untuk menghilangkan sakit pinggang adalah tidak terus berdiri dari posisi berbaring. Hal ini kerana apabila wanita tersebut secara tiba-tiba cuba berdiri maka ianya akan memberikan tekanan yang berlebihan kepada sendi pinggang lalu menyebabkan sakit pinggang.
  3. Wanita hamil juga harus memastikan mereka memakai kasut yang sesuai. Hal ini kerana kasut yang tidak rata atau kasut yang terlalu tinggi bukan sahaja akan menyebabkan sakit tumit dan tapak kaki malah akan menyebabkan tekanan berlebihan pada sendi pinggang lalu mengakibatkan sakit pinggang yang teruk.
  4. Wanita mengandung tidak seharusnya melakukan sebarang kerja berat. Hal ini kerana memikul barang berat tidak baik untuk kesihatan janin serta mengakibatkan sakit pinggang

Apakah tips untuk melegakannya

Terdapat pelbagai tips yang boleh diamalkan oleh para ibu mengandung. Antaranya adalah:
  1. Meletakkan ‘heating pad’ pada bahagian pinggang yang sakit. Hal ini akan dapat membantu mengurangkan kesakitan.
  2. Wanita hamil dikehendaki mendapatkan rehat secukupnya. Hal ini boleh dilakukan dengan berbaring dan merehatkan bahagian pinggang dan bahagian belakang. Apabila wanita tersebut berbaring, maka postur badan dapat diluruskan serta melegakan sebarang sakit pinggang atau sakit belakang.
  3. Wanita hamil juga dinasihatkan untuk melakukan senaman ringan yang mudah. Ini dapat membantu melonggarkan sendi pinggang serta memudahkan proses bersalin. 

Apakah senaman yang sesuai untuk wanita hamil

Semua senaman ringan selamat dilakukan sewaktu hamil dan ianya dapat memudahkan proses bersalin. Namun demikian sekiranya wanita tersebut berasa sakit, maka berhentilah dengan serta merta. Terdapat beberapa jenis senaman yang sangat sesuai bagi wanita hamil seperti:

  • Jogging 
  • Aerobik 
  • Berbasikal menggunakan alat senaman
  • Berjalan 
  • Berenang 
 

Apakah senaman yang perlu dielak wanita hamil

Walaupun ianya selamat untuk melakukan beberapa senaman, namun terdapat juga senaman yang harus dielakkan supaya tidak mendatangkan kesan negatif kepada wanita atau kandungan. Antara senaman yang harus dielakkan adalah:

  • Aktiviti yang memerlukan wanita hamil untuk melompat seperti lompat tali 
  • Sukan seperti bola sepak,bola jaring, bola tampar dan sebagainya
  • Aktiviti yang berisiko untuk jatuh seperti menunggang kuda
  • Tahan nafas semasa melakukan sebarang aktiviti
  • Bersenam dibawah panas terik
  • Aktiviti yang boleh mengakibatkan trauma pada bahagian abdomen

Bilakah wanita hamil perlu risau

Terdapat beberapa isyarat kecemasan yang perlu dibawa ke hospital untuk dirawat. Antara simptom yang membimbangkan adalah:

  • Sakit pinggang yang sangat teruk sehingga terjaga pada waktu malam
  • Sakit pinggang yang disertai dengan pendarahan melalui faraj
  • Sakit pinggang berserta tekanan darah tinggi dan tompokan darah pada permukaan seluar dalam

Kesimpulannya, sakit pinggang sewaktu hamil merupakan permasalahan umum yang boleh dielakkan. Wanita hamil haruslah mengamalkan tips-tips mudah untuk mengelakkan sakit tersebut dari berlarutan. Sekiranya, sakit tersebut berserta dengan darah keluar dari faraj maka dengan segera harus berjumpa dengan doktor.Anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor kami di laman www.doctoroncall.com.my

References