Mengapa Pengendali Makanan Wajib Menerima Vaksin Typhoid?

Suntikan Typhoid - Kegunaan & Kesan Sampingan - DoctorOnCall

Penyakit tifoid lebih dikenali sebagai demam kepialu dalam kalangan rakyat Malaysia. Penyakit demam kepialu adalah satu penyakit yang boleh membawa maut. Pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mencegah penyakit ini dan menguatkuasa undang-undang berkaitan makanan agar demam kepialu tidak merebak dalam negara. Namun jangkitan ini masih terjadi akibat sikap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dalam mematuhi garis panduan penyediaan makanan atau produk lain berasaskan makanan. Penyakit demam kepialu ini sangat asing dalam kalangan negara maju kerana mereka telah berjaya dalam memerangi penyakit ini dan usaha mencegah penyakit ini terus berjaya di negara-negara tersebut. Namun yang demikian, penyakit tifoid ini terus menjadi beban dan menular dalam kalangan negara-negara membangun. 

Kenali Penyakit Typhoid

Demam kepialu adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh sejenis bakteria yang dikenali sebagai ‘Salmonella typhi’. Bakteria ini biasanya disebarkan oleh mereka yang dijangkiti atau mereka yang telah sembuh dari gejala tetapi masih mempunyai bakteria di dalam tubuh dipanggil carrier atau pembawa. Pesakit demam kepialu atau pembawa bakteria Salmonella typhi  ini memindahkan bakteria tersebut kepada individu sihat yang lain melalui beberapa cara. 

  1. Najis pesakit demam kepialu mengandungi jumlah bakteria Salmonella typhi yang tinggi. Fasiliti sanitasi yang kurang baik boleh menyebabkan pencemaran sumber air dengan bakteria ini. 

  2. Sumber air yang tercemar apabila digunakan bagi penyediaan makanan atau sebagai sumber air minuman menyebabkan bakteria ini disebarkan kepada orang lain dengan mudah.

  3. Tabiat tidak mencuci tangan selepas ke tandas juga memudahkan bakteria ini dipindahkan ke tempat atau pada orang lain. Penyedia makanan terutamanya amat mudah memindahkan bakteria ini ke dalam makanan semasa proses penyediaan sekaligus menjangkiti mereka yang makan atau minum makanan dan minuman yang disediakan. 

Apakah perbezaan antara pesakit demam kepialu dan pembawa bakteria Salmonella typhi? Pesakit demam kepialu adalah mereka yang mempunyai simptom jangkitan dan jangkitan ini masih aktif. Pembawa bakteria pula adalah mereka yang tidak lagi mempunyai simptom dan disalah anggap sebagai telah ‘sembuh’. Seseorang itu boleh menjadi pembawa sekiranya mereka tidak mendapat rawatan yang sewajarnya untuk membunuh bakteria tersebut dalam badan mereka. Rawatan yang salah atau antibiotik yang tidak mencukupi mengakibatkan terdapat sebilangan kecil bakteria ‘Salmonella typhi’ yang bersembunyi didalam badan pembawa.

Vaksin Typhoid

Apa itu suntikan typhoid? Suntikan typhoid adalah sejenis suntikan vaksin yang digunakan untuk mencegah penyakit typhoid atau tifoid. Suntikan ini boleh didapati di klinik atau hospital kerajaan dan swasta di Malaysia. Suntikan ini bertujuan untuk merangsang sistem imunisasi badan untuk menghasilkan antibodi bagi melawan jangkitan bakteria Salmonella typhi. Penggunaan vaksin ini telah terbukti mampu mencegah demam kepialu dari terus merebak di banyak negara termasuk Malaysia. Bolehkah anda membezakan antara fakta dan mitos vaksin?

Siapakah Yang Perlu Mengambil Suntikan Typhoid ?

Pengendali makanan adalah diwajibkan untuk menghadiri kursus pengendalian makanan dan mempraktikkannya di tempat kerja. Kursus ini adalah antara inisiatif murni pihak kerajaan dalam usaha mencegah sebarang penyakit berjangkit yang mampu merebak melalui makanan atau minuman. Usaha ini tidak hanya mencegah demam kepialu, tetapi beberapa penyakit lain seperti kolera dan keracunan makanan. Mereka yang gagal mematuhi garis panduan ini boleh dikenakan denda dan boleh didakwa di mahkamah. Selain itu, pengendali makanan juga wajib mendapatkan suntikan tifoid. Selain suntikan, ubat makan juga turut terdapat di dalam negara sebagai alternatif kepada pengendali dan pengusaha kedai makan atau premis makanan.

Sekiranya anda merupakan pengusaha premis makanan atau pengendali dalam industri makanan, tentu anda tertanya-tanya mengenai harga suntikan typhoid ataupun suntikan vaksin. Harga suntikan typhoid adalah berpatutan dan senarai klinik yang menyediakan suntikan typhoid boleh diketahui secara atas talian. Individu yang telah menerima atau mengambil suntikan tifoid akan menerima sijil suntikan typhoid sebagai bukti. Penguatkuasa berhak meminta untuk melihat sijil ini untuk memastikan makanan yang disediakan di premis tersebut adalah selamat. 

Vaksin typhoid perlu diambil oleh pengendali makanan sebelum mereka mula bertugas atau mula mengendalikan makanan. Suntikan ini perlu diambil setiap tiga tahun sekali, selagi mana mereka terlibat dalam sektor pengendalian makanan.

Adakah Suntikan Typhoid Selamat?

Suntikan ini adalah selamat, namun, individu tertentu atau kes terpencil mungkin akan mendapat kesan sampingan dari suntikan ini. Berikut adalah antara kesan suntikan typhoid :

  • Demam

  • Sakit kepala 

  • Tidak Sedap badan

  • Sengal-sengal badan

  • Sakit pada tempat suntikan

  • Bengkak pada tempat disuntik

  • Merah atau radang pada tempat suntikan

  • Sakit dada

  • Sesak nafas

  • Sakit pada bahagian sendi

  • Kulit gatal 

  • Lemah badan atau badan tidak bermaya

 Jika anda mengalami sebarang kesan sampingan setelah menerima sutikan tifoid, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor. Jika kesan sampingan tersebut serius, rawatan lanjut akan diberikan. Simptom atau gejala demam kepialu adalah seperti berikut:

  • Demam

  • Lemah tubuh badan

  • Sakit otot

  • Berpeluh

  • Sakit perut

  • Kurang selera makan

  • Batuk kering

  • Turun berat badan

  • Cirit-birit atau sembelit

  • Ruam pada badan

Demam kepialu boleh mengakibatkan komplikasi seperti berikut sekiranya tidak dirawat:

  • Radang jantung

  • Jangkitan kuman pada paru-paru

  • Radang pankreas

  • Jangkitan kuman pada buah pinggang

  • Jangkitan kuman pada pundi kencing

  • Halusinasi

  • Radang meninges atau meningitis


Cara Mencegah Dari Terkena Jangkitan Demam Kepialu

 Langkah-langkah pencegahan yang perlu dilaksanakan oleh pengendali dan pengusaha premis makanan seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah:

  1. Mendapatkan suntikan tifoid.

  2. Menghadiri kursus pengendalian makanan.

  3. Menjaga kebersihan restoran atau premis makanan.

  4. Memakai penutup kepala, apron, dan kasut bertutup bagi kakitangan yang bertanggungjawab mengendalikan makanan.

  5. Memastikan hanya bahan mentah yang segar digunakan.

  6. Mempraktikkan proses pembekuan daging dan ayam yang betul.

  7. Menyediakan makanan dan minuman dengan menggunakan sumber air terawat.

  8. Masak makanan dengan sempurna hingga takat didih.

  9. Bahan mentah perlulah diasingkan dari bahan makanan yang telah dimasak.

  10. Menggunakan bekas bertutup untuk menyimpan makanan yang telah dimasak.

  11. Menggunakan alatan menghidang dan alatan memasak yang bersih.

  12. Sentiasa membasuh tangan dengan sempurna sebelum menyediakan makanan atau setelah ke tandas.

  13. Menjaga kebersihan tandas.

  14. Air yang hendak digunakan untuk menyediakan minuman hendaklah dimasak dahulu atau gunakan air yang telah dirawat.

 Amalan gaya hidup sihat dan penjagaan kebersihan dalam pemakanan seharian adalah penting untuk mencegah jangkitan ini. Pilihlah premis makanan yang bersih dan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia. Pastikan anda minum dari sumber air bersih atau yang telah dirawat. Kerap basuh tangan dan jaga kebersihan tangan adalah penting dalam mencegah jangkitan tifoid. Elakkan makan makanan yang telah rosak, terdedah, tercemar, atau mentah. Jika anda telah dijangkiti, elakkan daripada menyediakan makanan, kerap basuh tangan, dan habiskan antibiotik yang telah diberikan doktor. kegagalan melakukan perkara-perkara tersebut boleh mengakibatkan jangkitan kepada individu lain. Menjaga kesihatan diri adalah tanggungjawab kita bersama. Rujuk kepada doktor untuk mengetahui tentang vaksin Typhoid dengan lebih lanjut.

Ragu-ragu tentang vaksin? Konsult Doktor Kami Secara PERCUMA!