Penyebab, Risiko dan Cara Mengatasi Kekurangan Berat Badan
Apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan berat badan?
Kekurangan berat badan atau underweight adalah merujuk kepada berat badan yang terlalu rendah. Secara amnya, kekurangan berat badan didefinisikan sebagai BMI yang lebih rendah dari 18.5 atau berat badan yang 15% hingga 20% lebih rendah berbanding dengan purata berat individu lain dengan umur dan jantina yang sama.
Biasanya mereka yang mengalami masalah kekurangan berat badan akan mempunyai tanda-tanda seperti badan kurus kering, hilang berat badan dengan cepat, keletihan, lemah dan tidak bertenaga.
Punca-punca badan kurus kering
Jika badan semakin kurus penyakit apa yang boleh menyebabkan masalah ini? Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan masalah kekurangan berat badan.
- Salah satu punca yang agak biasa ialah masalah genetik atau keturunan. Jika ibu bapa mempunyai berat badan yang kurang, maka anak-anak juga akan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah kurang berat badan.
- Selain itu, usia yang makin meningkat juga akan menyebabkan penyusutan berat badan terutamanya bagi golongan warga emas kerana selera makan yang berkurangan apabila usia makin meningkat.
- Di samping itu, orang yang mempunyai masalah kewangan atau hidup dalam kesusahan akan menghadapi masalah untuk membeli makanan yang berkhasiat. Mereka ini mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami masalah badan kurus kering dan kekurangan nutrisi. Keadaan ini sering berlaku di negara-negara yang mengalami pergolakan politik atau bencana alam.
- Orang yang menghidap penyakit-penyakit serius juga sering mengalami penyusutan berat badan yang mendadak. Salah satu penyakit yang sering menyebabkan penurunan berat badan ialah penyakit hipertiroid atau kelenjar tiroid yang terlalu aktif. Penyakit ini akan meningkatkan kadar metabolik badan pesakit dengan mendadak. Akibatnya, pesakit akan membakar tenaga pada kadar yang lebih cepat dan berat badan mereka makin susut.
- Selain itu, penyakit barah dan jangkitan kuman yang kronik seperti TIBI dan HIV juga akan menyebabkan masalah kekurangan berat badan. Hal ini demikian kerana semasa pesakit menghidap penyakit barah atau jangkitan kronik, badan anda akan menggunakan banyak tenaga untuk melawan sel-sel barah dan kuman-kuman di dalam badan. Pesakit-pesakit barah, TIBI dan HIV juga sering tidak mempunyai selera makan.
- Ramai pesakit kencing manis juga mengalami masalah kekurangan berat badan terutamanya bagi pesakit kencing manis jenis 1 (Type 1 Diabetes Mellitus).
- Pesakit yang mengalami masalah penghadaman seperti penyakit seliak (Coeliac disease) juga akan mengalami kekurangan berat badan kerana badan mereka tidak dapat menyerap zat-zat makanan dengan berkesan. Pada zaman sekarang, terdapat pelbagai ubat-ubatan serta ramuan tradisional yang boleh meninggalkan kesan sampingan seperti kekurangan berat badan.
- Selain itu, orang yang mengalami stres atau tekanan emosi dan mereka yang menghidap penyakit psikiatrik seperti kemurungan atau anorexia nervosa juga sering mengalami masalah kekurangan berat badan kerana golongan ini tidak mempunyai selera makan.
Risiko kekurangan berat badan
Kekurangan berat badan boleh mendatangkan pelbagai komplikasi. Orang yang mengalami masalah kekurangan berat badan biasanya juga akan mengalami masalah malnutrisi kerana mereka tidak mengambil zat-zat makanan yang secukupnya untuk menjamin keberkesanan fungsi-fungsi badan mereka.
- Sebagai contoh, ramai yang menghadapi masalah kekurangan berat badan akan mengalami kekurangan zat kalsium dalam badan mereka.
- Kondisi ini akan meningkatkan risiko menghidap penyakit osteoporosis.
- Orang yang tidak mengambil zat besi yang secukupnya akan mengalami masalah kekurangan darah atau anemia.
- Orang yang kurus kering mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit berjangkit.
- Zat dalam makanan seperti protein adalah penting untuk menjana sistem imunisasi badan. Kekurangan zat akan menyebabkan sistem pertahanan badan menjadi lemah dan risiko untuk menghidap penyakit berjangkit akan meningkat.
- Orang yang terlalu kurus juga akan menjadi tidak bermaya dan kurang bertenaga. Akibatnya, produktiviti dan tumpuan mereka semasa bekerja akan terjejas.
- Bagi golongan wanita, masalah kekurangan berat badan yang serius boleh menyebabkan haid yang tidak teratur dan kesukaran untuk mengandung.
- Bagi golongan wanita hamil yang tidak mengambil zat makanan yang secukupnya, perkembangan bayi dalam perut boleh terjejas dan komplikasi kepada anak dan ibu boleh berlaku.
Bagaimana hendak menaikkan berat badan?
Orang yang mengalami masalah kekurangan berat badan adalah digalakkan untuk berjumpa dengan doktor secepat mungkin untuk mendapatkan rawatan yang paling sesuai.
Cara yang paling berkesan dan selamat untuk menaikkan berat badan adalah dengan merawat sebarang penyakit yang menyebabkan penyusutan berat badan dan mengamalkan diet yang seimbang. Doktor akan merujuk pesakit kepada pakar pemakanan untuk merancang strategi paling sesuai untuk meningkatkan berat badan pada kadar yang sihat.
- Kalori dan zat lain yang diperlukan untuk meningkatkan berat badan adalah bergantung kepada umur, jantina dan keperluan tenaga seharian pesakit.
- Diet yang seimbang untuk menambah berat badan biasanya kaya dengan protein, buah-buahan dan sayur-sayuran.
- Makanan yang berminyak, bergula dan makanan segera (proses) harus dihindarkan.
- Senaman penting untuk menambah berat badan. Senaman yang kerap akan menggunakan protein dalam diet untuk membina otot. Mereka yang terlalu kurus biasanya tidak mempunyai otot yang kuat. Oleh itu, golongan ini akan mudah berasa lemah dan menjadi letih dengan cepat. Dengan membina otot-otot badan yang kuat, pesakit akan menjadi lebih bertenaga dan berat badan mereka juga akan meningkat kerana perkembangan otot akan menyumbang kepada penambahan berat badan. Selain membina otot, senaman yang kerap juga boleh meningkatkan kekuatan tulang dan menambahkan selera makan.
- Bagi pesakit yang menghidap penyakit serius, ubat-ubatan boleh digunakan untuk menambah selera makan tetapi ubat-ubatan tersebut hanya boleh digunakan atas nasihat doktor sahaja. Sebagai contoh, bagi pesakit yang menghidap penyakit mental seperi kemurungan atau anorexia nervosa, ubat-ubatan seperti mirtazipine dan amitriptyline boleh digunakan untuk merawat penyakit psikiatrik di samping meningkatkan selera makan.
- Bagi pesakit-pesakit kronik seperti pesakit barah atau pesakit HIV, zat-zat tambahan yang mengandungi vitamin dan mineral akan diberi untuk mengelakkan masalah kekurangan nutrisi manakala ubat anitihistamine seperti diphenhydramine atau promethazine boleh digunakan untuk meningkatkan selera makan mereka.
Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran
Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)
18 Aug 2018