Penyebab, Gejala, Diagnosis, Pengubatan Dan Pencegahan Penyakit Keputihan
Setiap wanita sudah pasti telah mengalami keputihan dalam seumur hidup mereka. Kejadian ini seringkali merupakan keputihan yang biasa dan normal tetapi terdapat juga keputihan yang disebabkan oleh penyakit atau jangkitan kuman. Ia adalah amat penting untuk golongan wanita berwaspada dan mengambil tahu tentang jenis-jenis keputihan. Adalah cukup baik jika anda boleh membezakan keputihan yang normal dan keputihan yang tidak normal.
Keputihan Normal
Apakah yang dimaksudkan dengan keputihan yang normal?
Keputihan normal juga dikenali sebagai keputihan fisiologis. Anda harus faham bahawa keputihan sebenarnya berfungsi sebagai mekanisme pembersihan dalam sistem reproduksi wanita.
Cecair yang dibuat dalam kelenjar-kelenjar dalam vagina dan serviks anda adalah untuk membawa sel-sel mati dan bakteria keluar daripada tubuh badan anda. Ini menjadikan vagina bersih dan dapat membantu mencegah jangkitan bakteria. Jumlah, konsistensi, bau dan warna boleh berubah-ubah mengikut kitaran haid anda. Warna keputihan normal adalah apabila keputihan yang dialami jernih atau putih susu. Konsistensi dan jumlah juga bergantung kepada kitaran haid anda. Sekiranya, anda dalam fasa subur (ovulasi), anda mungkin perasan keputihan anda lebih licin (seperti putih telur) dan jernih. Ini untuk membantu proses kehamilan. Jenis keputihan saat hamil boleh bertambah jumlahnya. Ciri-ciri keputihan hamil adalah putih susu, cair dan tidak berbau. Keputihan yang dikira normal tidak membawa sebarang bau yang tidak disenangi.
Keputihan Tidak Normal
Keputihan tidak normal atau keputihan patologik menunjukkan gejala penyakit yang kronik. Anda harus sentiasa memerhati perubahan yang berlaku pada badan anda. Seringkali, keputihan patologik berwarna kuning, hijau atau kelabu dan selalunya diiringi dengan bau yang busuk. Keputihan ini juga bersifat kental dan melekit. Jumlah keputihan yang dikeluarkan juga amat banyak apabila dibandingkan dengan keputihan yang normal. Bahagian faraj juga akan terasa gatal dan kelihatan kemerahan kerana keradangan yang berlaku dalam kawasan tersebut. Jika anda mempunyai gejala-gejala seperti ini, keputihan anda tidak normal dan anda harus mendapatkan rawatan dengan segera. Kebanyakan wanita yang mempunyai masalah ini selalunya berasa malu untuk berjumpa dengan doktor, malah cuba merawat jangkitan penyakit tersebut sendiri dengan menggunakan jamu atau meruang faraj (lebih dikenali sebagai ‘vaginal douching’). Mengikut kajian yang dijalankan, sebanyak 75% wanita yang sudah berumah tangga mengalami masalah keputihan tidak normal. Penyakit ini amat senang untuk dirawat dengan adanya antibiotik.
Faktor Risiko yang Menyebabkan Masalah Keputihan
Terdapat beberapa sebab yang dapat menyumbang kepada masalah ini. Antaranya, ialah kebersihan. Kebersihan faraj yang diabaikan boleh mengundang jangkitan kuman dan kulat. Keadaan yang lembap pada bahagian vagina (selepas membuang air kecil dan selepas hubungan intim) juga boleh membantu pembiakan organisma yang tidak diingini.
Selain dairpada faktor kebersihan diri, hormon juga memainkan peranan yang amat penting dalam produksi keputihan. Sebarang perkara yang mengganggu ketidakseimbangan hormon dalam darah anda boleh menyebabkan keputihan yang tidak sihat.
Wanita yang menggunakan pil perancang merupakan antara pesakit yang paling kerap mendapati keputihan yang tidak normal. Ubat antibiotik pula boleh membunuh kuman semulajadi yang terletak dalam faraj. Kuman-kuman ini merupakan kuman yang baik dan membantu menghalang kuman yang berbahaya daripada menjangkiti badan kita. Dengan tiadanya kuman baik ini, kuman dan kulat yang lain boleh membiak dengan cepat dan baik tanpa gangguan.
Gaya kehidupan wanita boleh mempengaruhi pelbagai proses dalam tubuh badan mereka, terutamanya pada paras hormon mereka. Stres atau tekanan yang terlampau boleh menjejaskan keseimbangan hormon dan fungsi organ reproduksi mereka.
Gaya hidup yang tidak sihat seperti melakukan seks secara rambang boleh menyebabkan wanita lebih cenderung kepada jangkitan kuman pada faraj. Jika anda selalu mendapat jangkitan kuman atau jangkitan kulat pada faraj, anda mungkin berpenyakit kencing manis.
Kandungan gula yang tinggi dalam darah boleh mempercepatkan pembiakan organsima dan mengurangkan keberkesanan sistem imun anda. Individu yang telah dijangkiti AIDS, barah atau kanser sel darah putih juga boleh mendapat jangkitan faraj berkali-kali.
Komplikasi Masalah Keputihan
Kebanyakan pesakit yang mengalami keputihan memandang remeh tentang masalah mereka kerana berfikiran masalah ini hanya berlaku pada luaran faraj mereka. Ini adalah salah.
Jangkitan kulat atau kuman yang diabaikan dan tidak dirawat dengan sepenuhnya boleh membawah padah yang serius. Jangkitan pada faraj secara kronik (tempoh masa yang lama) boleh menyebabkan kemandulan dan kandungan luar rahim pada masa akan datang.
Jangkitan yang dibiarkan berpotensi untuk merebak pada pangkal rahim (serviks), rahim dan juga tiub Fallopian. Kandungan luar rahim merupakan komplikasi yang amat serius kerana boleh menyebabkan pendarahan dalaman yang parah dan kematian kepada si ibu. Wanita yang mempunyai sistem daya tahan yang lemah, boleh menyebabkan jangkitan kuman yang dianggap remeh merebak ke seluruh badan melalui darah.
Oleh sebab itu, ia adalah amat disarankan agar anda mendapatkan rawatan dengan segera jika mendapati keputihan anda tidak normal atau anda mempunyai gejala penyakit yang lain seperti tersebut di atas.
Pencegahan Penyakit Keputihan
Cara mengatasi keputihan adalah amat mudah.
- Sentiasa pastikan bahagian vagina anda kering dan bersih.
- Gunakan sabun bahagian intim yang tidak menganggu pH pada bahagian tersebut.
- Elakkan penggunaan teknik meruang atau ‘vaginal douching’. Badan anda telah direka untuk membersihkan dalamannya dengan sendiri.
- Sewaktu haid, sentiasa tukar lampin wanita dan bersihkan tempat tersebut. Jika anda menggunakan tampon, jangan lupa untuk mengeluarkan dan menggantikan tampon anda.
- Elakkan penggunaan seluar dalam yang diperbuat daripada fabrik satin dan yang terlalu ketat.
- Guna seluar dalam yang diperbuat daripada fabrik kapas yang dapat menyerap peluh anda.
- Pastikan anda membuang air kecil dan membersihkan kawasan vagina selepas hubungan intim.
- Amalkan seks selamat dengan menggunakan kondom dan kurangkan aktiviti seks yang berisiko tinggi.
- Selalu prihatin dan berwaspada akan perubahan yang berlaku pada tubuh badan anda. Jangan pandang remeh akan masalah keputihan dan jangan berasa malu atau janggal untuk mendapatkan rawatan doktor. Penyakit ini sering berlaku dan boleh dirawat dengan mudah jika anda mendapatkan bantuan awal.