Kesihatan Am

Ketahui Tentang Masalah Kesihatan Mental Di Malaysia

Baca Soalan

    Sihat adalah keadaan di mana tubuh, mental dan sosial sejahtera sehingga dapat menjadi produktif dari segi sosial mahupun ekonomi. Belakangan ini rakyat Malaysia sering dikhabarkan dengan peningkatan kes pesakit dengan masalah mental. Hakikatnya ia bukanlah peningkatan jumlah penderita sakit mental tetapi disebabkan kebanyakan daripada mereka baru sahaja di kesan atau di diagnosis dengan kondisi tersebut. Menurut World Health Organization (WHO), orang yang dikatakan sihat secara mental adalah individu yang menyedari potensi dirinya, mampu untuk mengatasi tekanan hidup yang normal, mampu bekerja secara produktif dan dapat menyumbang kepada masyarakat

    Antara gejala yang dapat dikaitkan dengan masalah mental adalah tingkah laku yang pelik dan di luar batas, perubahan ‘mood’ yang terlalu cepat seperti kesedihan yang terlampau atau kegembiraan yang luar biasa. Biasanya pesakit dengan masalah mental berhalusinasi iaitu terbayang seperti melihat, mendengar dan merasa sesuatu yang tidak dirasakan oleh orang lain. Selain itu, penderita juga dapat mempunyai kepercayaan mengarut yang tidak dapat dipatahkan dengan akal yang sihat dikenali sebagai delusi. Akan tetapi, tidak semua pesakit akan mengalami gejala yang disebutkan. Hal ini demikian kerana sebetulnya ‘sakit jiwa’ hanyalah satu istilah payung bagi beratus jenis masalah mental di bawahnya. Maka tidak hairanlah apabila sesiapapun dengan masalah mental terlihat dengan pelbagai ragam seperti kecelaruan jantina serta mempunyai gejala yang bermacam-macam. Malah, sesetengah pesakit dengan kelainan struktur otak akibat trauma kemalangan atau nyanyuk juga dapat dikategorikan sebagai sakit mental apabila mereka mempunyai gejala yang sama. 

    Masalah mental yang utama yang terjadi di Malaysia adalah skizofrenia, kemurungan (depression), dan keresahan (anxiety)


Skizofrenia

Skizofrenia adalah sejenis masalah mental yang timbul sekitar usia belasan tahun sehingga 30-an. Ia adalah keadaan yang terjadi tanpa diketahui penyebabnya namun kajian mendapatkan ia sangat dipengaruhi oleh keturunan. Skizofrenia dapat terjadi kepada sesiapapun dari seorang pelajar sekolah sehinggakan saintis, bujang mahupun yang berkahwin serta tidak mengira jantina. Gejala utama yang sering pada skizofrenia adalah delusi serta halusinasi. Penderita biasanya terlihat bercakap sendiri dan melihat bayangan walhal tidak tercapai di pancaindera manusia lain. Selain itu, mereka juga sering mempunyai delusi seperti mengaku mempunyai kekuatan yang luar biasa, mengangkat diri menjadi nabi yang baru sehinggakan ada yang menobatkan diri menjadi Tuhan. Skizofrenia tidak timbul dengan tiba-tiba kerana gejala skizofrenia muncul seperti graf yang naik secara perlahan.


Kemurungan (Depression)

Kemurungan tidak boleh dikelirukan dengan tekanan (stres) dan kesedihan akibat sesuatu. Kemurungan adalah suatu keadaan seseorang mempunyai masalah perasaan sehingga tiada lagi perasaan gembira, sebaliknya perasaan sedih yang terjadi secara berpanjangan diikuti dengan hilang keinginan untuk bekerja dan melakukan aktiviti harian seperti mandi, makan dan sebagainya. Hal ini menyebabkan tubuh berada dalam keadaan kurang bertenaga sehingga menyebabkan pesakit berasa makin lemah. Kadang, kemurungan yang berat juga disertai dengan rasa ingin bunuh diri. 


Keresahan (Anxiety)

Keresahan adalah keadaan apabila seseorang mengalami kerisauan yang keterlaluan. Ia boleh jadi merupakan kerisauan tentang sesuatu yang sedang berlaku seperti sewaktu di berada di tempat yang tinggi atau yang melibatkan aktiviti harian seperti kebersihan ataupun tanpa sebab. Antara diagnosis yang sering berkaitan dengan keresahan adalah gangguan panik, fobia di tempat awam, masalah kebimbangan umum, serta obsessive compulsive disorder (OCD). Pesakit biasanya mengalami masalah untuk fokus terhadap pekerjaan harian akibat fikiran yang sering terganggu dengan keresahan ini. Pada pesakit dengan gangguan OCD contohnya, pesakit sering resah memikirkan tentang kebersihan tangannya setiap kali ia tersentuh sesuatu sehingga ia akan sering mencuci tangannya setiap kali ia menyentuh sesuatu.


Kesimpulannya, yang dijelaskan diatas adalah tiga masalah mental utama yang terjadi di Malaysia. Harus ditegaskan di sini bahawa diagnosis penyakit mental hanya boleh dilakukan oleh seorang doktor pakar psikiatri yang berpengalaman dan melalui pelatihan yang diiktiraf. Penyakit jiwa adalah penyakit yang tidak kelihatan di mata kasar namun ia sangat memberi kesan terhadap kualiti kehidupan dan taraf kesihatan seseorang. Adalah sukar bagi pesakit jiwa untuk menyedari masalah yang dialami dengan sendiri. Justeru, masyarakat sekeliling adalah dianjurkan untuk prihatin dengan kesihatan mental individu lain. Sebolehnya sebagai masyarakat awam hendaklah kita mempelajari secara dalam kondisi masalah mental di sekeliling kita agar tidak memandang serong akan mereka. Seandainya sesiapapun dicurigai mempunyai masalah jiwa, digalakkan untuk mendapatkan pertolongan ke doktor agar keadaan pesakit dapat dikawal dan tidak bertambah teruk. Ketahuilah bahawa setiap penyakit di atas boleh ditangani dan dirawat dengan terapi dan ubat-ubatan yang sesuai. 

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?