Bagaimana Merawat Kurap Serta Apakah Punca dan Gejalanya?
Apakah yang dimaksudkan dengan kurap?
- Kurap atau nama lainnya ‘ringworm’ merupakan sejenis jangkitan kulat yang berlaku pada kulit manusia. Dalam dunia perubatan, kurap turut dikenali sebagai ‘tinea’. Kawasan yang sering dijangkiti termasuklah kulit kepala, kemaluan, dan kaki. Selain itu, rambut dan kuku juga boleh terkena jangkitan kulat.
- Kebiasaannya, kurap tidak terjadi kepada manusia yang sihat. Sebaliknya, mereka yang lemah sistem imun tubuh badan berisiko untuk mendapat penyakit ini. Sebagai contoh, orang tua, kanak-kanak, penghidap kencing manis, pesakit kegagalan buah pinggang, HIV, dan AIDS.
Penyebab kepada penyakit kurap
- Kurap disebabkan oleh jangkitan kulit oleh sejenis kulat (fungi) yang dikenali sebagai ‘dermatophyte’. Diagnosis akan diberikan mengikut kawasan yang dijangkiti.Sebagai contoh, jangkitan di bahagian kaki dipanggil ‘tinea pedis’ (athlete’s foot).
- Jika berlaku di bahagian alat sulit pula, ia dinamakan ‘tinea cruris’. Walaupun nama berbeza, tetapi secara umumnya punca penyakit ini masih tetap sama iaitu kulat ‘dermatophyte’.
- Berbeza dengan gelaran popularnya iaitu ‘ringworm’ (‘ring’ = cincin, dan ‘worm’ = cacing), penyakit ini bukanlah disebabkan oleh jangkitan cacing. Sebaliknya, gelaran ini digunakan sebagai rujukan kepada bentuk ruam yang terhasil setelah dijangkiti kurap.
Bagaimana Kurap Boleh Berjangkit
- Kurap boleh berjangkit melalui sentuhan kepada manusia, haiwan, tumbuhan, mahupun objek yang telah terjangkit. Oleh itu, cara yang terbaik untuk mengelakkan penyakit ini ialah dengan menjauhi daripada bersentuhan dengan seseorang atau haiwan yang telah disahkan menghidapi kurap pada kawasan yang terlibat sehingga rawatan diberikan.
- Selain itu, tanah, permukaan, serta objek yang telah dipegang oleh manusia atau haiwan juga boleh membawa kulat kurap dan perlu diuruskan dengan berhati-hati. Contohnya seperti dinding,lantai, pakaian, cadar, tuala, dan sikat.
Gejala-gejala penyakit kurap
- Simptom yang terjadi banyak bergantung kepada sistem imun seseorang selain daripada kawasan yang terlibat sama ada jangkitan di kepala, kaki, alat sulit, kuku, dan sebagainya.
- Secara umumnya, gejala yang biasa berlaku ialah:
Ruam
Kulit kering, bersisik, kemerah-merahan
Bisul
Gatal-gatal
Keguguran rambut (botak)
Rambut rosak
Kelemumur
Kuku bertukar warna kuning atau hitam serta berkeruping
- Ruam Kurap
Ruam yang terjadi dalam penyakit kurap biasanya dihuraikan sebagai plak asimetri bersisik yang timbul di atas permukaan kulit. Kebiasaannya ruam ini berwarna kemerah-merahan, dengan bahagian tengah yang lebih cerah berbanding sempadannya (border) yang lebih gelap. Bentuk ini dipanggil ‘central clearing’, dan dinamakan sebagai ‘ringworm’ dalam jangkitan kurap.
Selain itu, ada juga keadaan dimana timbul bisul-bisul kecil yang mengandungi air di sekeliling ruam ini selain daripada bintik-bintik merah di bahagian tengah. Walaupun begitu, ciri-ciri ini tidaklah boleh digunapakai dalam setiap ruam kurap kerana terdapat kes dimana kurap datang dengan manifestasi lain.
Tindakan sekiranya anda dijangkiti kurap
Antara langkah penting sekiranya dijangkiti kurap, ialah elakkan dari menggaru kawasan yang gatal sekiranya ada. Tindakan ini boleh menyebabkan kulat merebak ke kawasan lain sama ada melalui air nanah daripada bisul kecil yang pecah ataupun daripada kulit yang sedia dijangkiti.
Sewaktu mandi pula, bersihkan badan dengan baik dan kemudian keringkan kawasan yang dijangkit. Kelembapan boleh menggalakkan penumbuhan kulat dan perlulah dielakkan. Selain itu, barangan peribadi seperti tuala dan pakaian pula harus ditukar dengan kerap.
Sekiranya ruam seperti ini atau gejala lain muncul, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. Jika diabaikan, saiznya boleh membesar dan merebak ke tempat lain.
Aktiviti harian seperti bekerja atau bersekolah pula boleh diteruskan seperti biasa, melainkan kondisi penyakit yang teruk seperti kurap yang merebak luas atau kegatalan melampau sehingga mengganggu aktiviti harian.
Penyakit lain yang mirip kepada kurap
- Walaupun kurap banyak terjadi terutamanya di negara-negara dunia ketiga, namun untuk mengesahkan diagnosis penyakit ini memerlukan pemerhatian yang tinggi.
- Ini kerana gejala kurap seperti ruam selalunya tidak ketara, selain daripada bentuk ruam yang seakan-akan sama dengan beberapa penyakit lain.
- Antaranya:
Psoriasis
Urtikaria
Leprosi
Discoid Eczema
Sifilis Sekunder
Kanser kulit
Ujian bagi mengesahkan jangkitan kurap
- Ujian darah tidak membantu dalam kebanyakan kes jangkitan kurap kerana kulat tidak masuk ke dalam darah dan sekadar berada di permukaan kulit. Pada kebanyakan masa, ujian yang dilakukan adalah ‘skin scraping’, iaitu mengikis sedikit kulit yang dijangkiti untuk dilihat sampelnya di bawah mikroskop.
- Terdapat juga satu lagi cara iaitu ‘skin culture’, dimana bahagian kulit yang telah terjangkit akan diambil dan disimpan di dalam makmal selama beberapa hari untuk membiakkan kulat. Cara ini lebih panjang dan memakan masa serta tidak dilakukan melainkan tiada keputusan muktamad daripada kaedah ‘skin scraping’.
Cara merawat kurap
- Setelah diagnosis disahkan, rawatan akan dimulakan oleh doktor. Kaedah ubati bergantung kepada luas kawasan yang telah dijangkiti, kurap yang berulang, atau yang tidak sembuh setelah menerima rawatan pertama.
- Sekiranya kawasan yang dijangkiti kecil dan terhad pada satu kawasan, maka ubat sapu krim akan diberikan. Contohnya ‘clotrimazole’, ‘miconazole’, ‘terbinafine’, atau ‘amorolfine’. Ubat ini perlu disapu pada kawasan yang dijangkiti selama beberapa kali sehari selama 2 ke 4 minggu bergantung kepada ubat.
- Sekiranya kawasan yang terlibat lebih besar, merebak, atau tidak berjaya dirawat dengan ubat krim, maka ubat dalam bentuk pil atau kapsul akan diberikan. Antaranya ialah ‘itraconazole’ dan ‘terbinafine’.
- Ubat oral ini perlu diambil dalam jangka masa yang lebih panjang, bermula dari sebulan hingga ke 6 bulan bergantung kepada bahagian badan yang terlibat.
- Pastikan nasihat daripada doktor adalah jelas berkenaan kesan sampingan ubatan serta elakkan daripada mengambil ubat tanpa arahan doktor.
Komplikasi kurap
- Jangkitan kurap tidak serius serta jarang merebak sehingga memasuki dalam badan. Mereka yang berisiko untuk mendapat komplikasi ialah golongan yang lemah sistem imun.
- Rawatan buat mereka juga mengambil masa yang lebih panjang.
Mereka yang berisiko dijangkiti kurap
- Selain orang tua, kanak-kanak, dan mereka yang lemah sistem imun tubuh badan, beberapa golongan lain juga turut berisiko untuk mendapat jangkitan kulat. Hal ini kerana mereka lebih kerap terdedah kepada sumber penyakit sama ada melalui pekerjaan ataupun pengambilan ubatan.
- Selain itu, kurangnya penjagaan kebersihan turut menjadi salah satu risiko.
- Kumpulan ini termasuklah:
Veterinar dan penjaga zoo (terdedah kepada haiwan)
Pembantu makmal (terdedah kepada sampel kulat di dalam laboratori)
Pekebun (terdedah kepada tumbuhan yang dijangkiti kulat)
Atlet (sentiasa dalam keadaan lembab kerana berpeluh)
Pengambilan steroid (ubat sapu atau makan yang melemahkan sistem imun)
Berkongsi barang peribadi seperti baju atau sikat (kedai gunting rambut)
Langkah mencegah jangkitan kurap
- Langkah pencegahan amat penting supaya penyakit ini tidak terkena atau berulang kembali, terutamanya kepada golongan yang berisiko di atas.
- Antaranya adalah seperti yang di bawah:
Mendidik diri dan orang ramai mengenai kurap
Sentiasa menjaga kebersihan diri dan pakaian
Tidak berkongsi barangan peribadi seperti sikat dan sebagainya
Elakkan berada lama dalam keadaan basah atau berpeluh
Amalkan gaya hidup sihat untuk elakkan penyakit seperti diabetes
Tidak mengambil ubatan terutama steroid tanpa preskripsi
Jauhi binatang yang dijangkiti kurap
Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran
Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)
18 Aug 2018